Tuesday, 20 November 2012

GARIS PANDUAN PENGURUSAN PENYAKIT GANODERMA / PENYAKIT REPUT PANGKAL BATANG (RPB) TANAMAN SAWIT

Ref
http://www.risda.gov.my/


1.0 PENGENALAN 

Penyakit Ganoderma atau Penyakit Reput Pangkal Batang (RPB) telah dilaporkan terjadi ke atas pokok sawit yang ditanam di semua jenis tanah, iaitu tanah lanar pantai, pedalaman, gambut dan laterit. Ia juga menyerang tanaman kelapa, pokok getah dan teh. 

Di Semenanjung Malaysia, kejadian telah dilaporkan berlaku di sepanjang kawasan pantai barat terutamanya di Seberang Prai, Sungai Kerian, Teluk Intan, Banting, Gemencheh, Segamat dan Pontian. 

Di kawasan tanah jenis pantai, kejadian penyakit menjadi lebih serius apabila pokok sawit ditanam di tanah bekas tanaman kelapa yang dibiarkan reput di ladang. Ganoderma telah menyerang tanaman sawit sejak mula diusahakan di negara ini tetapi pada ketika itu ia tidak dianggap sebagai ancaman serius kerana hanya menyerang pokok yang tua (melebihi 25 tahun). 

Namun, pada masa ini penyakit RPB menjadi bertambah serius berbanding dulu kerana telah menunjukkan ancamannya terhadap pokok yang berusia kurang dari dua tahun seperti yang telah dilaporkan pada tahun 1990. Lebih 50 peratus kawasan tanaman sawit di Semenanjung Malaysia kini menghadapi ancaman serangan penyakit RPB. Serangan akan menyebabkan kemusnahan sehingga 80 peratus pokok sekiranya berlaku pada tempoh pembesarannya yang produktif. Serangan Ganoderma pada kadar 31 hingga 67 peratus akan mempengaruhi penghasilan buah tandan segar antara 26 hingga 45 peratus yang sekaligus boleh menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit.

2.0 ORGANISMA PENYEBAB 

Penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengenalpasti empat spesies Ganoderma yang hidup pada pokok sawit di Malaysia iaitu  Ganoderma boninense, Ganoderma zonatum, Ganoderma miniatocinctum  dan  Ganoderma tornatum. Kehadiran  G. boninense adalah faktor penting yang menggalakkan kejadian penyakit RPB yang tinggi di ladang sawit di  Malaysia kerana bersifat patogenik paling agresif manakala G. tornatum tidak patogenik dan hanya dijumpai hidup pada pokok sawit mati yang bertindak sebagai saprofit.



4.0 SIMPTOM PENYAKIT 

Simptom penyakit RPB yang disebabkan oleh  Ganoderma dikaitkan dengan kelemahan sistem pengangkutan air dan kekurangan nutrien jelas pada daun pokok yang dijangkiti. Simptom awal penyakit yang berlaku pada daun tidak boleh  disahkan dengan nyata  bahawa pokok tersebut diserang  Ganoderma kerana faktor fisiologi dan alam sekitar juga menunjukkan simptom yang sama iaitu; 

• air yang tidak mencukupi; 
• musim kemarau yang berpanjangan; 
• tanah sentiasa ditenggelami air; 
• tanah berasid tinggi; 
• kekurangan baja; 
• kesan fisiologi – batang dan pelepah patah 

4.1 Simptom Penyakit Pada Pokok Dewasa 

Pada pokok dewasa, simptom penyakit RPB adalah seperti berikut:  
• simptom boleh dilihat pada dedaun di mana pucuk daun dan petiol kelihatan berwarna hijau pudar berbanding dengan daun pokok sihat yang berwarna hijau; 
• pengeluaran pucuk daun yang berganda berbanding dengan pokok sihat biasanya mengeluarkan daun hingga tiga pucuk daun sebulan. Pucuk daun yang keluar didapati tidak mengembang; 
• pelepah di bahagian petiol akan patah dan jatuh tergantung mengelilingi bahagian atas batang pokok.   Pelepah yang kering ini akan gugur dan akhirnya pokok  kelihatan tidak mempunyai daun dan pelepah 
• Basidiomata atau jasad berbuah menyerupai struktur butang berwarna putih atau  bercuping (bracket-shape) mula terbentuk sama ada pada akar, batang atau  pelepah pokok. Kemunculan basidiomata ini merupakan tanda yang nyata bahawa pokok telah diserang Ganoderma.
  
Pokok sawit yang dijangkiti dijangka akan mati dalam jangka masa satu hingga tiga tahun selepas terbitnya tanda penyakit pada daun dan pelepah. Apabila pokok yang dijangkiti tumbang, Ganoderma yang berada di dalam akar dan tisu batang akan terus hidup sehingga tisu batang hancur.

4.2 Simptom Penyakit Pada Pokok Muda 

Serangan  Ganoderma  tidak hanya tertumpu pada pokok sawit yang berumur lebih daripada 10 tahun tetapi juga berlaku pada pokok muda yang baru ditanam.  Simptom dapat dilihat di mana daun dan pelepah tua berwarna kekuningan, kadangkala di  hujung daun menjadi kering atau nekrotik.  Akhirnya seluruh daun  dan pelepah menjadi layu dan kering. 

Pokok yang dijangkiti menunjukkan pertumbuhan yang lemah dan terbantut dan akhirnya tumbang.  




6.0 PENGAWALAN PENYAKIT SEBELUM/SEMASA PENANAMAN SEMULA 

Kejadian penyakit RPB yang tinggi didapati terjadi apabila sawit ditanam pada tanah bekas tanaman asalnya kelapa sekiranya pokok kelapa diracun dan dibiarkan reput di ladang, tanaman bawahan sawit dengan kelapa dan batang kelapa ditimbus ke dalam tanah sebagai satu kaedah pembersihan ladang. 

Kajian membandingkan beberapa teknik pengurusan tanam semula sawit bagi mengawal penyakit RPB mendapati teknik tanaman bawahan meningkatkan kejadian penyakit dengan  lebih cepat sementara teknik pembersihan sempurna (clean clearing) dan susunan batang (windrowing) mengikut lorong menunjukkan sedikit kemampuan untuk mengurangkan kejadian penyakit pada tanaman generasi berikutnya,  

6.1 Kaedah Pembersihan Sempurna  dan Susunan Batang 
Kaedah pembersihan sempurna telah dipraktikkan sebagai kaedah sanitasi untuk menghapuskan inokulum  di ladang.  Ia melibatkan kerjakerja meracun pokok, kemudian akar-akar di sekeliling pokok dikorek dan pokok ditumbangkan  dengan menggunakan jentolak.  Batang-batang pokok dipotong kepada tiga bahagian, kemudian disusun melonggok, dibiarkan kering dan dibakar.  Seterusnya akar-akar dan tisu-tisu pangkal batang yang masih berada di dalam tanah dikorek dan dikumpulkan untuk dimusnahkan.  

Dengan adanya jentolak hidrolik di mana cutter bucket telah diubahsuai, pokok tidak diracun sebaliknya terus ditumbangkan, windrowed ke avenue dan tisu-tisu akar dan batang dipecah-pecahkan kepada serpihan yang kecil.  Akar-akar yang tersimpul kukuh dengan pangkal batang pokok dikorek dengan menggali lubang seluas 1 x 1 x 1 meter.  Tisu-tisu akar dan batang dibiarkan sehingga cukup kering, kemudian dibakar sepenuhnya.  





Walaupun teknik pembersihan sempurna telah dijalankan ke atas pokokpokok tua tanaman asal, tetapi ianya tidak dapat menjamin kejadian penyakit berada pada peringkat yang lebih rendah. Langkah-langkah telah diambil untuk memperbaiki teknik tersebut dengan memperluaskan lubang yang dikorek kepada saiz 1.5  x 1.5 x 1.5 meter supaya dapat mengeluarkan lebih banyak akar-akar yang berada di dalam tanah.

Kaedah ini dijangka akan dapat menghapuskan inokulum Ganoderma di ladang dan seterusnya mengurangkan kejadian penyakit ke atas pokok muda yang ditanam.


6.2 Teknik Sanitasi Inovatif 

Kaedah sanitasi inovatif telah diperkenalkan untuk mengatasi masalah penyakit RPB dengan lebih signifikan.  Kaedah ini melibatkan kerja-kerja berikut:
• Menolak pokok tua secara mekanikal;
• Mengorek tanah dan tunggul batang tua dengan menggali lubang seluas 1.5 X 1.5 X 1.5 meter dan menimbus semula dengan tanah sekelilingnya;
• Memusnahkan tisu pokok tua dengan meracik batang, tunggul dan tisu akar menjadi cebisan kecil kemudian menyerakkan secara sekata sepanjang barisan tanaman pokok tua dan dibiarkan mereput;
• Membajak di kawasan antara barisan pokok tua atau sepanjang barisan penanaman baru dan diikuti dengan pembajakan putar; dan
• Menanam pokok sawit baru di  sepanjang kawasan yang telah dibajak dan jauh dari barisan tanaman lama.


8.0 PENUTUP 

Penyakit  Ganoderma atau Penyakit Reput  Pangkal Batang (RPB) merupakan penyakit paling serius  menyerang pokok sawit di Malaysia disebabkan oleh kulat  Ganoderma  sp.  Serangan penyakit ini berlaku pada kadar yang tinggi di kawasan  pantai barat Semenanjung Malaysia melibatkan kawasan yang tanaman asalnya kelapa atau sawit dan tidak terhad kepada pokok sawit tua sahaja.  Sedemikian adalah wajar dan penting pengetahuan mengenai penyakit ini serta kaedah penanaman semula dan rawatan diketahui oleh semua peringkat pegawai pelaksana.  

Semoga garis panduan ini dapat membantu pegawai  pelaksana di lapangan dalam mengurus penyakit Ganoderma ini dengan lebih baik dan mengurangkan risiko serangan penyakit ini di kalangan pekebun kecil.

Disediakan oleh,
Unit Pemindahan Teknologi
Bahagian Pengembangan dan Kesejahteraan Rakyat
RISDA




No comments:

Post a Comment