Sunday, 25 December 2011

Kisah Nabi Isa AS dalam Surah Maryam

Kehamilan Maryam

Allah s.w.t. telah mengutuskan Malaikat Jibril untuk memberi khabar gembira kepada Maryam bahawa beliau akan melahirkan seorang anak lelaki. Kisah tersebut telah dipaparkan di dalam Surah Maryam melalui uslub dialog di antara Maryam dan Jibril.

Firman Allah s.w.t.:

“Jibril berkata: ‘Sesungguhnya aku ini hanyalah utusan Tuhanmu untuk memberitahu kepadamu tentang seorang anak lelaki yang suci.’”(Surah Maryam:19)

Maryam yang merupakan seorang wanita yang solehah merasa hairan dan kebingungan, mengapa dengan tiba-tiba dia dikhabarkan oleh Jibril akan kelahiran seorang anak lelaki? Bagaimanakah perkara ini harus berlaku? Sedangkan dia tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, apatah lagi untuk melakukan perbuatan-perbuatan keji yang lain? Lalu Maryam brtanya bagi memecahkan kebuntuan yang berada dalam fikirannya:

“Maryam berkata: ‘Bagaimana aku dapat melahirkan seorang anak lelaki sedangkan tidak pernah seorang manusiapun menyentuh aku dan aku bukannya seorang pezina’” (Surah Maryam; 20)

Lalu Jibril menjawab bagi merungkaikan ikatan keserabutan yang menyala-nyala di dalam kepala Maryam dan sekaligus menjadikan Maryam sebagai manusia pilihan yang mendapat rahmat:

“Jibril berkata: ‘Demikianlah Tuhanmu berfirman: Perkara tersebut amatlah mudah bagi-Ku dan agar dapat Kami jadikan suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat daripada Kami dan hal itu adalah suatu perkara yang telah diputuskan.” (Surah Maryam: 21)

Kelahiran ‘Isa a.s.

Kejadian Nabi ‘Isa a.s. adalah berbeza dengan kejadian segala manusia yang ada di atas dunia. Dia dilahirkan tanpa bapa dan oleh kerana proses kejadiannya lain daripada manusia yang lain, sudah tentu proses kematiannya juga adalah lain daripada manusia yang lain.

Firman Allah s.w.t.:

“Maka (Maryam) merasa sakit untuk melahirkan anak memaksa ia bersandar pada pangkal pohon kurma, dia berkata: ‘Aduhai! Alangkah baiknya aku mati sebelum ini dan aku menjadi barang yang tidak bererti lagi dilupakan’.” (Surah Maryam: 23)

Maryam merasa sakit yang amat sangat ketika hendak melahirkan Isa a.s. sehingga dia merasakan lebih baik mati sahaja daripada menanggung derita melahirkan kandungan tersebut tetapi keresahan itu telah ditenteramkan oleh Jibril a.s. yang menyeru dari jauh.

Firman Allah s.w.t.:

“Maka Jibril menyeru ke arahnya dari tempat yang rendah: ‘Jangan kamu bermuram durja, sesungguhnya Tuhanmu menjadikan anak sungai di bawahmu dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon tersebut akan menggugurkan buah yang mekar kepadamu.” (Surah Maryam:24-25)

Suatu hakikat yang telah disempurnakan! Kalau diikutkan kepada logik akal, tidak mungkin sekali buah kurma yang mekar seperti ayat di atas sebagai “ruthab” boleh gugur dengan digoncang, sedangkan kalau dibiar buahnya masak ranum pun ia tidak akan gugur. Ini adalah suatu hikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada Maryam dan mengikut pakar perubatan, buah kurma yang mekar boleh memudahkan si ibu melahirkan anak dengan baik.

Dan di dalam sepotong ayat yang lain pula, Allah s.w.t. telah berfirman:

“Maka makan dan minumlah serta bersenang hatilah kamu, jika kamu melihat seorang manusia maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusia pun pada hari ini.” (Surah Maryam: 26)

Untuk mengelakkan diri daripada difitnah oleh kaumnya, Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada Maryam supaya bernazar dengan melakukan ibadat puasa dan tidak bercakap-cakap dengan sesiapa pun pada hari tersebut.

‘Isa a.s. Mempertahankan Kehormatan Ibunya

Apabila Nabi Allah ‘Isa a.s. dilahirkan oleh ibunya Maryam, kelahirannya itu telah mencetuskan reaksi yang kontroversi di kalangan kaumnya. Pelbagai andaian dan spekulasi yng dilemparkan kepada Maryam sehingga di kalangan kaumnya ada yang tergamak menuduh beliau melakukan perbuatan zina sehingga melahirkan anak, tetapi dengan tegas Maryam menafikannya.

“Maka Maryam menunjukkan kepada si anaknya itu, kaumnya berkata:’bagaimana kamu boleh berbicara dengan anak yang masih di dalam buaian’” (Surah Maryam: 29)

Dengan izin Allah s.w.t., ‘Isa a.s. dapat berkata-kata dan bercakap-cakap dengan kaumnya, sekaligus menolak fitnah yang dilontarkan kepada ibunya dan di samping itu, secara tidak langsung ‘Isa a.s. walaupun masih di dalam buaian sempat berdakwah kepada kaumnya menyeru mereka kepada Allah, Tuhan yang Maha Satu:

“Berkata ‘Isa: ‘Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku Al-Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada. Dia memerintahkan kepadaku mendirikan solat dan menunaikan zakat selama aku hidup.’” (Surah Maryam: 30-31)

Jelas dan terang ungkapan mulut Nabi ‘Isa a.s. walaupun masih bayi dan sekaligus menolak dakwaan kaumnya yang menuduh ibunya yang suci itu melakukan perbuatan yang terkutuk.

Kesimpulan

Nabi ‘Isa a.s. serta ibunya Maryam adalah makhluk Allah s.w.t. yang terpilih, mereka tidak sekali-kali akan mengakui diri mereka sebagai Tuhan disebabkan nikmat yang diberikan kepada mereka, terutamanya Nabi ‘Isa a.s. Dakwaan bahawa Nabi ‘Isa itu adalah jelmaan Allah s.w.t. hanyalah cerita karut dan pembohongan semata-mata. ‘Isa a.s. sendiri menyatakan di dalam Yohanes, fasal 17, ayat 3, bahawa

“Inilah hidup yang kekal, iaitu supaya mereka mengenal Engkau, Allah Yang Esa, dan Yesus Kristus yang telah Engkau suruhkan itu.”

No comments:

Post a Comment