Friday, 18 May 2012

Dato' Dr MAZA ; Aku Bermimpi Rupanya..


Saya Bermimpi Rupanya

SAYA BERMIMPI RUPANYAProf Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Semalam saya ditabalkan dengan dengan satu pertabalan yang hebat. Saya diberikan mahligai yang mewah yang dipenuhi harta dan makanan yang jenuh. Di kelilingi wanita-wanita cantik yang bersedia menyerahkan tubuh dan melayan kehendak saya. Saya pun menjamah makanan yang sedap itu dan menikmati wanita-wanita yang jelita tersebut. Tiba-tiba saya terdengar bunyi pintu yang ditutup.
Saya menoleh, tiba-tiba saya lihat bilik saya sangat sempit jika dibandingkan kepada saiz mahligai yang indah itu. Katil saya hanya ‘single size’ yang cukup muat, tidak dapat dibandingkan keindahan katil mahligai saya. Saya bersendirian, tanpa wanita gebu dan jelita manja. Keindahan istana hanya tinggal buku-buku yang berselerakan di atas sebuah meja yang dihiasi sebuah komputer. Bunyi-bunyi merdu suara dara jelita telah bertukar menjadi bunyi gerakan rakan fellow akademik Pakistan yang tinggal bersebelahan bilik saya.
Saya lihat tubuh saya tidak lagi dihiasi pakaian yang hebat menawan, sebaliknya hanya baju-T biasa dan berkain pelikat melayu. Saya bangun menjenguk ke tingkap, akhirnya saya sedar saya masih lagi di Broad Street, Oxford. Saya hanya seorang fellow di Oxford Centre for Islamic Studies. Seorang musafir yang bersendirian. Mahligai sementara saya sudah tiada. Wanita-wanita jelita yang dapat saya tiduri dengan ‘percuma’ tanpa proses nikah sudah pergi. Makanan terhidang yang lazat-lazat juga sudah hilang. Hanya ada air sejuk dan beberapa kotak makanan segera seorang musafir hidup. Saya bermimpi rupanya.
Begitu cepat episodnya tamat. Saya mencium tangan saya, apakah masih ada kesan bau makanan, ataupun wanita yang dipegang. Ternyata tiada. Hanya bau kertas-kertas yang dipegang sebelum tidur. Semuanya sudah hilang dan berakhir. Saya mesti bangun melakukan kembali tugasan seorang insan musafir seperti sebelumnya. Rakan saya juga tidak tahu bahawa saya sudah bergelar maharaja yang besar sebentar.

Demikianlah Dunia!
Demikianlah dunia ini. Ia bagaikan mimpi. Dalam mimpi itu kita mungkin ditabal dan diberikan pelbagai kehebatan harta, nama dan gelaran. Namun, itu semua akan berakhir. Apabila sampai detik roh dicabut dari jasad, semuanya bagaikan mimpi tadi. Tiada lagi nama yang hebat, harta ataupun gelaran. Hanya yang tinggal hakikat nilai seseorang insan di sisi Tuhannya. Allah mengingatkan kita tentang hakikat ini dalam al-Quran dengan firmanNya(maksudnya):
“Dan Demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu dakwa bahawa mereka ialah sekutu-sekutu (bagi Allah) dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu dakwa” (Surah al-An’am: 94).
Segala gelaran dan kebesaran insan akan hilang pada saat dia dianugerahkan darjah pingat ‘kematian’ oleh Malaikat Maut. Segalanya bagaikan mimpi. Segala kenikmatan itu hilang. Bahkan, ada insan yang segala kepahitannya pula bagaikan mimpi. Hilang dari pandangan dan rasa. Hilang bagaikan debuan kisah yang berterbangan ke udara. Nabi s.a.w menceritakan tentang keadaan ahli neraka dan syurga. Sabda baginda:
“Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!”.
Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan”. (Riwayat Muslim).
Ya! Hilang bagaikan mimpi yang tidak muncul lagi pada rasa. Mungkin ia kekal pada ingatan, tetapi tidak pada perasaan. Azab yang menghapuskan nikmat, ataupun nikmat yang menghapuskan azab.

Inilah Kembara
Hidup adalah kembara. Kita merentasi banyak tempoh dan episod. Ada masa kita susah melalui hujan yang lebat ataupun panas yang terik. Ada masa kita sukar mencari tempat berteduh. Ada masa kita dialu-alukan. Ada masa kita makan enak. Ada masa kita hanya makan sekadar untuk meneruskan hidup. Sehingga saat kita sampai ke tempat tuju. Rumah kita yang asal. Harapnya, di sana kenikmatan yang sebenar.
Demikian hidup ini. Ia persis seperti kembara. Kembara hidup menuju kehidupan hakiki. Ada masa kita dimuliakan. Ada masa kita dihina. Ada masa kita diangkat. Ada masa kita dijatuhkan. Hal itu berterusan sehingga kita sampai ke destinasi akhir perjalanan hidup ini. Maut! Harapnya, di sanalah kita perolehi nikmat yang hakiki.
Maka Nabi s.a.w mengingatkan kita tentang hakikat ini. Kata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a:
“Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat al-Bukhari). Ya, inilah yang al-Quran tegaskan: (maksudnya) “dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat itu)”. (al-‘Ankabut: 64).
Apa yang penting, dalam kehidupan seorang insan itu, dia sentiasa peka dengan hakikat dirinya dengan tuhannya. Hanya Allah dan diri kita sahaja yang tahu bagaimana hubungan diri kita ini dari segi kerohaniannya. Segala amalan yang zahir ditentukan oleh kadar kehalusan nurani rohani insani yang ada dalam naluri seorang hamba Allah.
Manusia boleh menilai, tetapi akhirnya kedudukan nilai spiritual seseorang insan jua yang dihitung di sisi Tuhan. Pakaian kebesaran, pangkat ketinggian, kuasa dan kedudukan adalah ciptaan mimpi insan dalam kehidupan di maya pada ini. Ia akan berakhir sepantasnya dengan satu sentapan maut. Hijab antara kenikmatan hidup di dunia dengan kematian yang membawa kepada kehidupan hakiki itu bagaikan sehelai kulit bawang yang nipis. Apabila ia ditembusi, kita pun boleh berkata: “Aku rupanya bermimpi”.

No comments:

Post a Comment