Tuesday, 17 February 2026

Panahan & Hidup Bersyariat

Set memanah yang tinggal beberapa set. Beberapa kali pindah randah, peralatan memanah bertebaran yang menjadi rezeki orang lain.
Pemilik Zarwa Archery (Kiri), Freddie Wong (Photographer) adalah pengedar Kaya Bow dari Korea. Latarbelakang Gunung Kinabalu di Diary Farm, Kundasang, Sabah, Malaysia.
Usaha gigih Akmal Dahalan, pemilik Ladang Alam Warisan membuahkan hasil apabila anaknya menjadi johan dunia pertandingan horseback archery di China, Disember 2025 lepas.

Sejak remaja, aku pernah terbaca sebuah hadis yang menggalakkan umat Islam belajar memanah, berkuda dan berenang. Ayat itu melekat kuat dalam jiwa. Dari situlah aku pasang niat — kalau ini sunnah yang digalakkan, aku mahu mencubanya dan melakukannya sebaik mungkin.

Minat kepada aktiviti lasak sebenarnya sudah bermula sejak sekolah rendah. Pengaruh televisyen, cerita pengembaraan dan dunia luar membuatkan aku suka berkhemah, menjelajah dan meredah kampung bersama sepupu setiap kali cuti sekolah. Sungai di Kampung Tok Lukop menjadi “kolam latihan” kami — di situlah kami belajar berenang dan membina keberanian.

Masuk sekolah menengah, aku menyertai Pengakap kerana minat berkhemah dan aktiviti luar. Rezeki menjadi Pengerusi Pengakap MRSM Kuala Terengganu, membawa pasukan ke Jambori Pengakap Se-MRSM di Taiping pada tahun 1995. Kami memenangi pertandingan Menara Tertinggi — satu-satunya kemenangan, tetapi cukup bermakna. Aku masih ingat persembahan tarian MRSM Kota Kinabalu yang menjadi johan malam itu. Mungkin dari situlah bermula kisah panjang aku dengan bumi Sabah… hingga 20 tahun menetap di Borneo bersama sumandak hati.

Impian untuk belajar memanah dan mengenali senjata membawa aku menyertai PALAPES (Pasukan Pegawai Latihan Simpanan) di USM. Di Malaysia, tidak mudah untuk belajar tentang senjata kecuali melalui pasukan beruniform. Demi mencapai matlamat itu, aku lalui latihan penuh disiplin. Aku belajar mengendalikan M16, Steyr AUG, LMG, pistol dan grenade launcher.

Jika ikutkan hati muda dulu, mahu sahaja semua itu ada di rumah untuk melatih anak-anak. Tetapi realitinya tidak dibenarkan — dan di situlah aku belajar bahawa disiplin lebih penting daripada keinginan.

PALAPES bukan sekadar tentang senjata. Ia tentang disiplin, pengorbanan dan pembentukan peribadi. Hujung minggu seawal 6 pagi sudah terpacak di padang kawad, ketika orang lain masih lena. Cuti semester orang pulang ke kampung, kami masuk hutan untuk Kem Tahunan. Penat, tetapi itulah latihan jiwa.

Disiplin itu kekal hingga hari ini. Rambut pendek puluhan tahun. Bangun seawal 4 pagi. Subuh, masak sarapan, bergerak awal. Hujung minggu bukan untuk bermalas-malasan. Jika di Sabah, pasti aku berkhemah di SCCA dan brisk walk pagi. Di Sumatera, minggu pertama ke Pekanbaru, minggu kedua ke Siak, minggu ketiga sampai Medan — 500km dari Dumai. Tahun 2023, aku dan tiga anak lelaki menjelajah Sabah 360 selama sembilan hari, berkhemah mengelilingi negeri.

Anak-anak mungkin rasa mereka “dipaksa”, tetapi aku mahu mereka merasa nikmat hidup yang sebenar — dekat dengan alam, dekat dengan disiplin.

Tahun 2013, aku dipertemukan dengan dunia panahan tradisional. Bertemu Kaya Bow dari Korea. Dari sebatang bow, kini lebih sepuluh dalam simpanan, bersama ratusan anak panah. Aku belajar membuat anak panah sendiri. Pernah cuba membuat bow walaupun belum sempat disempurnakan. Aku kenal ramai sahabat — Akmal Dahalan di Ladang Alam Warisan, Freddie Wong pembekal Kaya Bow, dan ramai lagi otai panahan dari seluruh dunia.

Horseback archery masih menjadi impian yang belum tercapai. Tetapi perjalanan ini sudah memberi terlalu banyak makna.

Kerana satu ayat hadis, aku temui 1001 manfaat —
disiplin, sahabat, keluarga, kecintaan kepada pakaian tradisional, dan kehidupan yang lebih terarah.

Indahnya hidup bersyariat.
Bila kita mendekati sunnah, kita bukan sekadar mengikut amalan — kita membentuk jiwa.

#PanahanTradisional #HidupBersyariat #SunnahLifestyle #ArcheryLife #PALAPES #Pengakap #OutdoorLife #Sabah360 #KembaraInsan #ParentingWithPurpose #Disiplin #LelakiLasak

No comments:

Post a Comment