Ibarat belajar merangkak, berjalan dan mengenal ABC di sekolah tadika, naluri manusia yang sentiasa ingin tahu dan belajar tidak sepatutnya terhenti.
Dulu, jika kita meminati kartun Dragon Ball, setiap petang tepat waktu kita sudah terpacak di hadapan televisyen menunggu siaran kegemaran. Minat itu membuatkan kita setia menunggu, tekun mengikuti, dan gembira belajar sesuatu daripadanya.
Seiring waktu, hobi silih berganti apabila kita meningkat dewasa. Namun satu perkara yang tidak berubah — manusia hanya akan mahir dalam sesuatu perkara apabila hadirnya minat. Orang tua selalu berpesan, asal ada minat, pasti ada jalan.
Begitu juga dalam sebuah ikatan perkahwinan dan perjalanan hidup sebagai seorang anak, suami dan ayah. Minat untuk menjadi lebih baik perlu sentiasa dipupuk dalam diri. Bagaimana mungkin kita ingin menjadi anak yang soleh, suami yang penyayang dan ayah yang hebat kepada ibu, isteri serta anak-anak tanpa kesungguhan untuk belajar?
Ya, kita mungkin pernah melakukan pelbagai kesilapan. Namun, tidak pernah terlewat untuk kita memulakan semula proses belajar dan menanam sifat ingin tahu.
Parenting adalah sebuah perjalanan yang panjang. Memiliki anak yang ramai tidak menjamin kita mempunyai ilmu keibubapaan yang mencukupi. Kadangkala kita melalui pelbagai fasa percubaan demi percubaan dalam usaha menjadi seorang ayah yang lebih baik. Natijah akhirnya tidak lain hanyalah mengharapkan anak-anak menjadi insan soleh dan solehah yang memberi manfaat kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.
Hari ini, dunia maklumat berada di hujung jari. Kuliah agama mudah diakses pada bila-bila masa. Ilmu keibubapaan boleh dipelajari dari pelbagai sumber. Semua ini menjadi mudah apabila kita mengekalkan sifat ingin tahu seperti seorang kanak-kanak.
Ayuh, terus menimba ilmu.
Ayuh, berusaha menjadi ayah yang hebat.
Anak Lelaki, Suami, Ayah yang masih belajar menjadi yang terbaik
#ParentingJourney #AyahHebat #IlmuKeibubapaan #FamilyLeadership #AyahBelajar #SuamiPenyayang #KeluargaBahagia #IslamicParenting #TarbiatulAulad #AyahMithali #BelajarSepanjangHayat #KelantanParenting #FamilyFirst #AyahInspirasi
No comments:
Post a Comment