Selepas seharian meluangkan masa bersama teman baharu di Kota Bengkalis, akhirnya tiba waktunya untuk aku berangkat pulang. Dr. Khairul dan keluarga membawa aku ke sebuah kedai makan yang cukup terkenal dengan sarapan paginya, terletak berhampiran sebuah pelabuhan lama di Kota Bengkalis.
Aku mengambil kesempatan untuk merakamkan beberapa keping gambar pelabuhan, kapal-kapal yang sedang berlabuh dan pemandangan laut yang terbentang luas saujana mata memandang di sebelah barat.
Setelah makanan yang dipesan sampai, aku memulakan bicara. Kedua-dua anak kecil Dr. Khairul kelihatan leka bermain telefon bimbit. Kata isterinya, telefon hanya dibenarkan kepada anak-anak apabila mereka keluar dari rumah. Jadi, tidak hairanlah kedua-duanya begitu asyik mengambil peluang yang diberikan.
Aku turut berkongsi bahawa isteriku di rumah juga mengenakan peraturan yang sama kepada semua anak kami sejak kecil sehinggalah mereka meningkat remaja. Ketika di sekolah rendah, mereka hanya dibenarkan bermain telefon pada hujung minggu dengan tempoh masa yang terhad. Isteriku banyak memainkan peranan dalam mendisiplinkan anak-anak dalam hal tersebut.
Dalam perbualan bersama Dr. Khairul, aku meluahkan hasrat untuk menulis sebuah cerita tentang kehidupan golongan marhaen. Setelah hampir setahun berada di bumi Sumatera, timbul keinginan untuk menggambarkan bagaimana setiap individu bangun setiap hari dengan satu tujuan, iaitu berjuang mencari rezeki dan membina kehidupan.
Keinginan itu lahir daripada pemerhatian aku terhadap kehidupan masyarakat di sini saban hari. Namun, ketika itu aku masih tercari-cari perkataan dan ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan apa yang ingin aku ceritakan.
Dua minggu selepas pulang dari Kota Bengkalis, kembali ke kampung halaman dan seterusnya pulang semula ke bumi Sumatera, akhirnya hari ini aku mula menulis tentang perkara tersebut.
Malam ini aku bersendirian di sebuah restoran di Kota Dumai. Pelayan yang sudah seakan-akan biasa melihat kehadiran aku di sini segera datang ke meja untuk mengambil pesanan.
Setelah memesan makanan, aku mula bertanya.
"Ibu dari mana?"
"Saya dari Bukit Tinggi," jawab seorang anak gadis dengan senyuman mesra.
"Oh, Minang ya?" tanyaku lagi.
"Ya, Pak. Saya Minang."
Aku bertanya lagi sama ada ramai orang Minang yang bekerja di sini. Beliau menjawab sambil menerangkan satu persatu, termasuk beberapa orang yang kini aku sudah lupa namanya.
Setelah makanan dihantar, aku bertanya pula tentang lagu-lagu yang dipasang sejak awal tadi.
"Ibu, dari mana muzik ini dipasang?"
"Saya yang pasang," jawabnya sambil menunjukkan ke arah kaunter di pintu masuk.
Aku terus menyambung pertanyaan.
"Ibu, bolehkah pasangkan lagu Rayola?"
Mendengar permintaan itu, beliau turut tersenyum. Mungkin tidak disangka-sangka, bagaimana seorang dari Tanah Melayu yang datang ke Sumatera boleh begitu meminati lagu-lagu Minang.
Setelah selesai menikmati makan malam, aku mula membuka laptop dan menulis cerita ini. Beberapa hirupan kopi latte yang disediakan memberikan sedikit semangat. Diiringi lagu-lagu Minang nyanyian penyanyi yang cantik jelita dan bersuara merdu, Rayola, suasana malam itu cukup untuk membuatkan idea penulisanku datang mencurah-curah.
Sebenarnya, niat aku menulis cerita ini adalah kerana melihat kehidupan anak-anak muda di sini yang sanggup bermusafir jauh meninggalkan kampung halaman semata-mata untuk mencari rezeki dan membina kehidupan. Mereka keluar merantau, membawa harapan sendiri, berjuang untuk kehidupan mereka.
Jika setahun yang lalu, aku menyewa sebuah rumah, setiap hari aku akan melihat kelibat sepasang suami isteri yang datang seawal pukul 6.30 pagi untuk membuka gerai perniagaan di sebelah rumah sewaku.
Pasangan tersebut berasal dari Batu Sangkar, sebuah tempat yang terkenal dengan Istano Pagaruyung. Mereka menjual Lontong Gulai Pakis dan Lontong Gulai Nangka.
Setiap pagi sebelum ke tempat kerja, aku akan memesan Lontong Gulai Pakis, sebiji telur rebus dan secawan kopi kosong. Itu sudah cukup untuk menjadi sarapan pagiku.
Apa yang menarik perhatian aku ialah disiplin mereka. Datang tepat pada waktunya, menyediakan menu masakan yang sama setiap hari dan melayani pelanggan yang semakin bertambah. Sebelum pukul 10.00 pagi, hampir setiap hari semua makanan yang dijual sudah habis.
Mereka sudah mempunyai pelanggan tetap. Melihat kesungguhan pasangan ini berniaga membuatkan aku berasa insaf.
Mereka adalah antara simbol kegigihan insan-insan kecil di Kota Dumai yang setiap hari bangun awal pagi dan berjuang mencari rezeki. Mereka tidak meminta lebih daripada apa yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Itulah perjuangan mereka, mencari rezeki dan membina kehidupan.
Sebenarnya, gerai pasangan ini bukanlah satu-satunya gerai yang terdapat di tepi jalan di seluruh Kota Dumai. Terlalu banyak gerai kecil yang beroperasi di sini.
Setiap pagi dan petang, aku mula melihat anak-anak muda, orang dewasa dan juga golongan yang lebih berusia menyorong gerai masing-masing, membuka khemah serta menyusun kerusi untuk memulakan perniagaan.
Pelbagai jenis jualan boleh ditemui. Bermula dengan kopi, bakso, kuih-muih, roti hinggalah ayam bakar. Melalui jalan yang sama setiap hari, aku seakan-akan sudah mengingati wajah-wajah peniaga dan lokasi gerai mereka di setiap penjuru Kota Dumai.
Walaupun hasil jualan mereka mungkin tidak seberapa, itulah sumber penghidupan mereka. Setiap gerai mempunyai cerita tersendiri. Ada yang berniaga untuk menyara keluarga, membesarkan anak-anak dan memastikan kehidupan esok hari terus berjalan.
Selepas bersarapan, aku menuju ke tempat kerja di Lubok Gaung. Perjalanan melalui jalan dan simpang yang sudah sedia dipenuhi pengguna jalan raya yang lain.
Ramai lelaki dan perempuan menunggang motosikal. Tidak kurang juga kereta yang memenuhi setiap penjuru jalan. Lori-lori tangki minyak kelapa sawit pula mula memenuhi laluan, menyebabkan pergerakan kenderaan semakin perlahan.
Keadaan bertambah buruk apabila terdapat beberapa lokasi jalan bersimen yang berlubang. Ada kalanya kerja-kerja pembaikan jalan hanya dilakukan pada sebelah laluan, sekali gus menyebabkan kesesakan hampir sepanjang waktu.
Tidak hairanlah, perjalanan sejauh 20 kilometer kadangkala mengambil masa hampir dua jam untuk sampai ke destinasi.
Kesesakan jalan raya ketika pergi dan pulang dari tempat kerja di Lubok Gaung sudah menjadi perkara biasa. Alah bisa tegal biasa.
Di dalam kereta, ada kalanya aku menulis, mencipta lagu dan banyak juga waktunya aku berbual dengan teman sekerja tentang pelbagai perkara. Jika bersendirian kerana teman sekerja pulang ke kampung, aku akan mengulang dengar lagu-lagu di saluran TikTok Borneo Rider yang kini sudah mempunyai lebih daripada 200 buah lagu.
Mendengar lagu ciptaan sendiri sambil menghayati perasaan yang sentiasa berubah-ubah menjadi satu cara untuk mengisi masa sepanjang perjalanan.
Sudah semestinya mata aku sentiasa memandang ke kiri dan kanan, memerhatikan pemandangan dari dalam kereta yang bergerak perlahan akibat kesesakan jalan raya.
Rumah, kedai dan sesekali masjid tersergam indah di sepanjang perjalanan. Tidak kurang juga kawasan perumahan baharu dan deretan rumah kedai yang sedang dibina.
Jika beberapa bulan lalu kawasan tersebut hanyalah kawasan tanah gambut yang berawa, kini sebahagiannya sudah mula ditimbus dan dibangunkan dengan jalan raya, rumah kediaman serta premis perniagaan.
Kota Dumai semakin pesat membangun. Kilang-kilang baharu terus dibina, jumlah penduduk semakin bertambah dan pelbagai kegiatan ekonomi semakin berkembang.
Semalam, baru sahaja diumumkan kadar kenaikan Upah Minimum Kota (UMK) oleh pemerintah Kota Dumai. Kenaikannya hampir enam peratus dan merupakan antara yang tertinggi di seluruh Sumatera.
Kota Dumai sememangnya sebuah kota minyak. Di atasnya adalah minyak kelapa sawit, manakala di bawahnya tersimpan minyak petroleum.
Bukan itu sahaja, di sini terdapat kilang penapisan minyak kelapa sawit dan juga kilang penapisan minyak petroleum milik Pertamina.
Pelabuhan Kota Dumai pula merupakan antara pelabuhan utama bagi pengendalian kargo cecair di Indonesia. Kedudukannya yang sangat strategik di Selat Melaka, selain terlindung oleh Pulau Rupat daripada ombak laut yang kuat, menjadikannya lokasi yang sesuai untuk aktiviti perkapalan dan pengendalian pelbagai saiz kapal.
Ditambah pula dengan keadaan geografinya yang tidak mempunyai aliran sungai besar yang boleh membawa banyak mendapan ke kawasan pelabuhan, menjadikan lokasi ini cukup strategik untuk kegiatan maritim.
Berbalik kepada lori-lori tangki yang bergerak perlahan tadi, kebanyakannya datang dari pelbagai pelosok Sumatera. Ada yang datang dari sejauh Lampung, Jambi dan Medan, dengan perjalanan yang boleh menjangkau ribuan kilometer. Ada kalanya perjalanan mereka mengambil masa lebih daripada sehari.
Lori tangki itu seakan-akan rumah bergerak mereka sepanjang perjalanan. Di dalamnya dibawa komoditi kelapa sawit yang menjadi sumber pendapatan mereka, demi menyara diri dan keluarga yang menunggu di kampung halaman.
Di sebalik setiap lori yang bergerak perlahan itu, ada seorang pemandu yang sedang berjuang mencari rezeki. Ada keluarga yang menanti kepulangannya dan ada kehidupan yang perlu diteruskan.
Sebaik sahaja tiba di tempat kerja, anak-anak muda yang di sini turut dikenali sebagai karyawan, menyapa dan menegur aku dengan senyuman mesra.
Sama ada pekerja tetap mahupun kontrak, kebanyakannya terdiri daripada golongan muda yang berusia di bawah 35 tahun. Namun, semangat mereka cukup kuat dan komitmen terhadap kerja amat membanggakan.
Sesekali, kenakalan mereka terserlah. Namun, secara keseluruhannya, majoriti anak muda di sini benar-benar datang dengan satu tujuan, mencari rezeki demi diri sendiri dan keluarga.
Ada antara mereka yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Ada yang baru mendapat anak pertama dan tidak kurang juga yang sudah mempunyai anak kedua. Ramai dalam kalangan kakitangan mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.
Aku perhatikan, aku mungkin orang kedua paling berusia di tempat kerja. Selebihnya, hampir semuanya masih muda.
Majoriti mereka datang dari luar Kota Dumai. Ramai dari Sumatera Barat, tidak kurang juga dari Medan dan Pulau Jawa.
Aku mempunyai seorang pekerja wanita dari Pulau Jawa yang menyertai syarikat sejurus menamatkan pengajian di peringkat ijazah. Dalam tempoh setahun bekerja di sini, baru sekali gadis muda ini pulang ke kampung halamannya.
Itu bukanlah satu pengorbanan yang mudah. Berjauhan daripada keluarga, meninggalkan kampung halaman dan membina kehidupan di tempat orang memerlukan kekuatan serta ketabahan tersendiri.
Namun, itulah realitinya.
Bagaimana insan-insan kecil ini keluar dari kampung halaman, berhijrah ke tempat asing dan memulakan kehidupan baharu. Ada yang datang dengan kelulusan akademik, ada yang hanya berbekalkan pengalaman dan kemahiran, tetapi semuanya mempunyai matlamat yang hampir sama.
Mencari rezeki. Menyara keluarga. Membina masa depan.
Ini hanyalah secebis cerita hasil pemerhatian dan pengalaman aku setelah hampir setahun berada di Tanah Sumatera.
Di sebalik kesibukan kota, kesesakan jalan raya, deretan kilang, lori-lori tangki dan gerai-gerai kecil di tepi jalan, ada manusia yang sedang berjuang dengan kehidupan masing-masing.
Ada yang bangun seawal pagi untuk membuka gerai. Ada yang meredah perjalanan beratus-ratus kilometer membawa hasil kelapa sawit. Ada yang meninggalkan kampung halaman untuk bekerja di kilang. Ada juga yang sanggup berjauhan dengan keluarga demi mencari peluang yang lebih baik.
Mungkin pada pandangan kita, kehidupan mereka kelihatan biasa-biasa sahaja. Namun, setiap seorang daripada mereka mempunyai cerita, pengorbanan dan impian tersendiri.
Aku belajar sesuatu daripada pemerhatian ini. Kehidupan bukan sekadar tentang berapa banyak yang kita miliki, tetapi sejauh mana kita sanggup berusaha untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Setiap pagi, mereka bangun dengan harapan baharu. Setiap hari, mereka berjuang dengan kemampuan masing-masing. Dan setiap malam, mereka pulang membawa hasil usaha untuk meneruskan kehidupan.
Terus berjuang. Mencari rezeki. Membina kehidupan. Itulah cerita saya hari ini.

No comments:
Post a Comment