Pada tahun 2004, ketika saya mula sampai ke Sabah dan menyertai industri sawit buat pertama kalinya, saya baru berusia 25 tahun. Sebagai seorang anak muda yang masih mencari tapak dalam dunia kerjaya, segala yang saya lalui ketika itu ibarat sebuah perjalanan yang cukup mengujakan.
Sehingga hari ini, saya masih kagum dengan industri sawit. Kagum kerana hampir segala-galanya yang saya temui ketika itu merupakan sesuatu yang baharu buat diri saya. Semangat untuk belajar sangat tinggi. Salah satu sebabnya ialah keputusan akademik yang saya peroleh untuk ijazah pertama tidaklah begitu cemerlang. Disebabkan itu, saya bertekad untuk membuktikan bahawa pencapaian saya dalam alam kerjaya sepatutnya jauh lebih baik daripada keputusan peperiksaan saya.
Ketika itu, saya ditempatkan di kawasan pedalaman Sungai Kinabatangan, Sabah, di sebuah ladang sawit terpencil yang terletak kira-kira 90 km dari Lahad Datu. Keadaan tersebut membuatkan saya lebih fokus kepada kerjaya. Apa lagi yang boleh saya lakukan di sebuah ladang sawit yang begitu terpencil, selain memberikan sepenuh perhatian kepada pekerjaan dan pembangunan diri?
Rakan serumah saya ketika itu ialah mendiang Richard. Beberapa bulan kemudian, beliau dipindahkan ke sebuah kilang baharu di Pamol, Sandakan. Pesanannya supaya saya terus fokus kepada pembangunan diri dan kerjaya masih terngiang-ngiang dalam ingatan sehingga hari ini.
Di kilang sawit berkapasiti 120 mt/jam itu, yang juga merupakan kilang pertama saya, saya berpeluang mengenali ramai insan hebat. Walaupun ada antara mereka hanya bekerja sebagai general cleaner di rumah atau di kilang, tetap ada sesuatu yang boleh saya pelajari daripada mereka.
Majoriti kakitangan dan pekerja kilang serta ladang ketika itu terdiri daripada pekerja asing dari Indonesia dan Filipina. Mereka datang daripada pelbagai bangsa dan agama. Saya belajar mengenali mereka bukan sekadar sebagai rakan sekerja, tetapi juga sebagai sahabat di luar waktu bekerja.
Salah seorang daripada mereka ialah seorang penyelia bernama Osman.
Ketika saya mula menyertai kilang tersebut sebagai cadet engineer, Osman sudah pun bertugas sebagai penyelia kilang. Beliau seorang yang tinggi lampai, berkumis dan sangat fokus terhadap setiap tugas yang diberikan. Usianya hanya beberapa tahun lebih tua daripada saya. Apabila berbual, kami seolah-olah rakan sebaya.
Pada tahun berikutnya, sistem tertiary plant bagi kolam effluent treatment plant menjadi semakin kritikal kepada operasi kilang. Sistem yang melibatkan kawasan seluas ratusan hektar, dengan rangkaian parit dan saliran yang berselerak dari atas bukit hingga ke kaki bukit, merupakan antara komponen penting bagi memastikan operasi kilang berjalan dengan baik.
Tahap pelepasan akhir BOD juga sangat ketat dan perlu sentiasa dipantau.
Osman diberikan tanggungjawab untuk menyelia keseluruhan operasi sistem tersebut. Pada masa yang sama, saya turut diberikan tugas yang sama untuk memantau operasinya.
Kami banyak menghabiskan masa bersama-sama. Ada kalanya kami naik ke bukit untuk memeriksa kolam distribution, memeriksa sistem perparitan dan melakukan kerja-kerja pembaikan sekiranya terdapat sebarang masalah.
Dua orang pekerja ditugaskan membantu menyelia sistem dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Dua orang lagi pula ditugaskan memantau kolam effluent yang luasnya hampir empat ekar, terbentang saujana mata memandang.
Sebelah pagi, kami biasanya naik ke bukit untuk membuat pemeriksaan. Pada sebelah petang, kami turun pula untuk memantau operasi kolam, termasuk memastikan tiada kesan minyak di Cooling Pond atau masalah pada saluran HDPE pipe.
Ketika itu, saya masih sangat muda, naif dan tidak banyak pengalaman. Saya hanya mengikut panduan dan saranan Osman dalam melaksanakan tugas. Jika beliau memerlukan sebarang bantuan atau sokongan daripada pihak pengurusan, saya akan cuba membantu setakat yang termampu.
Osman seorang yang bersuara lembut, tetapi tegas dan sangat fokus dalam setiap tugasan. Beliau bukan jenis yang banyak bercakap. Namun, setiap tugas yang diberikan sentiasa diselesaikan dengan baik.
Pada tahun 2006, saya berpindah ke kilang kedua. Kemudian, pada tahun 2008, saya menyertai sebuah syarikat baharu di Miri, Sarawak. Sejak itu, hubungan saya dengan Osman terputus. Kami tidak lagi berhubung dan tidak mendapat sebarang berita antara satu sama lain.
Awal minggu ini, selepas hampir 20 tahun tidak bertemu dan berhubung, akhirnya kami kembali berhubung melalui WhatsApp.
Rupa-rupanya, Osman kini telah mencapai banyak kemajuan dalam kehidupan dan kerjayanya.
Pada tahun 2011, beliau kembali ke Kalimantan, Indonesia, dan menyertai sebuah syarikat sebagai Penolong Pengurus Kilang. Selepas itu, beliau berpindah ke beberapa syarikat lain dan terus mengembangkan kerjayanya dalam industri sawit.
Daripada Penolong Pengurus, beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengurus Kilang. Kini, beliau menjawat jawatan General Manager dan bertanggungjawab menguruskan empat buah kilang sawit di Kalimantan Utara.
Saya benar-benar teruja apabila pertama kali dapat berhubung semula dengannya. Lebih membanggakan apabila mengetahui sejauh mana kemajuan yang telah dicapainya sepanjang hampir 20 tahun yang lalu.
Bayangkan, seorang anak muda berasal dari Sulawesi, Indonesia, berhijrah ke Sabah, Malaysia, belajar, bekerja dan memulakan kerjaya dari bawah di sebuah kilang sawit. Hari ini, beliau memegang jawatan General Manager dan menguruskan empat buah kilang sawit dengan operasi ladang yang melibatkan kawasan seluas ratusan hektar.
Bukankah itu sesuatu yang cukup hebat?
Tanpa membuang masa, saya terus bertanya apakah tip yang membolehkan beliau mencapai kejayaan seperti hari ini.
Pada mulanya, beliau agak merendah diri dan tidak begitu berminat untuk bercerita panjang. Namun, setelah saya pujuk, beliau mula berkongsi sedikit sebanyak perjalanan kerjayanya selama lebih 20 tahun dalam industri sawit, di Malaysia dan Indonesia.
Katanya, perjalanan kerjayanya bukanlah sentiasa indah. Banyak juga cabaran dan pengorbanan yang terpaksa dilalui.
Ketika berusia antara 20 hingga 30 tahun, beliau memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran, khususnya perkara-perkara praktikal dalam operasi kilang. Beliau mahu tahu segala-galanya dan sentiasa berusaha mendapatkan pengalaman sebanyak mungkin.
Apabila memasuki usia 35 tahun ke atas, beliau mula mencari peluang yang lebih baik, bukan sahaja dari segi pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga pendapatan.
Dengan tekad, keazaman, usaha dan pengorbanan, beliau akhirnya mendapat peluang untuk mengembangkan kerjayanya ke tahap yang lebih tinggi dalam industri sawit.
Ada satu perkara yang beliau sebut dan cukup menarik perhatian saya. Katanya, jika usaha dan sumbangan kita sudah tidak lagi dihargai, mungkin sudah tiba masanya untuk mencari tempat lain yang lebih baik untuk diri sendiri.
Inilah antara insan hebat yang pernah saya kenali sepanjang perjalanan dalam industri sawit. Mereka hadir dalam hidup saya pada waktu dan keadaan yang berbeza-beza. Dan sebab itu saya sangat bersyukur kerana pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka.
Semoga kamu terus maju, kawan!
Itulah cerita saya hari ini.

No comments:
Post a Comment