Monday, 23 February 2026

Cinta yang Dipelajari dari Ayah dan Ibu

Belajar bercinta dengan melihat bagaimana kedua ibubapaku membesarkan kami sembilan orang adik-beradik. Ayahku telah meninggal dunia. Semoga Allah merahmati dan memberkati ayahku, serta menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Ibuku pula tahun ini bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-81.

Melihat sekeping gambar ayah dan ibu dalam kumpulan WhatsApp keluarga membuatkan aku mendapat ilham untuk menulis kisah cinta mereka. Ditambah pula dengan gambar sepupuku yang sedang memasak kuih akok menggunakan periuk tembaga peninggalan arwah ibunya, kakak kepada ibuku. Periuk akok itu mengingatkan aku kepada kisah semasa kecil, membantu ibu memasak akok untuk dijual pada bulan Ramadan dan juga di kantin sekolah.

Ayah dan ibuku melakukan pelbagai kerja kampung demi membesarkan kami sembilan orang adik-beradik. Memori hidupku bermula segar dalam ingatan apabila kami berpindah ke rumah baru di Kampung Tebing Tinggi dari Kampung Tok Lukup sekitar tahun 1984, ketika aku berumur enam tahun. Seperti jiwa kanak-kanak lain, segalanya terasa sebagai permulaan baru yang indah dalam benak ingatan. Masuk rumah baru, dapat peti ais baru, dapat televisyen baru, dapat kawan baru, mula masuk tadika dan sekolah rendah dengan basikal. Ia merupakan kenangan yang kekal buat selama-lamanya.

Ayah, seperti orang kampung yang lain, sentiasa ada kerja yang dilakukan demi menyara kami sekeluarga. Dan ibu pula menjadi pembantunya yang setia dalam membantu mencari rezeki buat semua, dalam segala kesusahan. Bermula dengan memelihara itik dan lembu. Ayah menternak itik telur di tanah saudara di seberang jalan rumah. Lama juga ternak itik telur, sampai semua orang yang lalu-lalang pasti akan menutup hidung kerana bau busuk. Ya, kami tahu semua itu.

Semasa di darjah dua, aku pernah digelar “itik” oleh jurulatih hoki kerana tahu ayahku menternak itik. Cerita tentang itik ini panjang. Pernah dipindahkan ke Tok Lukup, ayah terpaksa ulang-alik setiap hari kerana jauh. Pernah juga Tok Lukup tenggelam banjir dan kami membawa sampan memindahkan itik meredah banjir ke Kampung Tebing Tinggi. Aku masih ingat peristiwa itu bersama abangku — meredah lautan air saujana mata memandang.

Setiap petang, rutin kami berdua adalah memarut sagu untuk dijadikan makanan itik. Aku masih ingat bunyi pengisar sagu, membelah sagu dan meletakkannya di atas para. Sagu berjatuhan ke bawah, kemudian dicampur dengan dedak untuk diberi makan kepada itik. Aku sebenarnya agak malas dan selalu mengelak daripada membuat kerja. Yang rajin ialah abangku, Hamzah namanya. Dia sangat rajin dan patuh mengikut semua arahan ayah dan ibu.

Aku masih ingat apabila kami membeli van mini dan abangku memandunya. Pada waktu malam, kami akan mengutip sisa makanan dari sekolah asrama penuh, pusat orang-orang tua di Padang Tembak, sebelum singgah ke restoran mamak untuk mengutip sisa makanan. Baunya semerbak dalam van ketika kami memandu pulang. Kadang-kadang ada sisa nasi beriani yang masih elok, kami simpan dan makan di rumah.

Abangku menggunakan van mini second-hand itu sebaiknya — mengangkut sekam padi dan makanan itik. Ayah pula tidak dapat memandu kereta, dia hanya ada sebuah motosikal lama yang diubah suai untuk membawa pelbagai barang di belakangnya. Aku masih ingat banyak getah tiub motosikal yang dibelah-belah untuk dijadikan tali mengikat barang.

Aku juga masih ingat ayah menggunakan motosikal yang sama untuk menghantarku ke Sekolah Menengah Pengkalan Chepa. Berdiri di belakangnya membuatkan aku berasa hiba, sambil berdoa semoga suatu hari nanti aku dapat mengubah nasib dan membantu kedua ibubapaku. Itulah motivasi yang membuatkan aku mesti berusaha keras dalam apa jua perkara.

Balik kepada cerita itik, setiap pagi adalah rutin yang dinanti. Tak kira panas atau hujan, telur mesti dikutip awal pagi. Kalau tidak, telur akan rosak. Telur itik dikutip, dibasuh dan disimpan dalam bekas kertas. Bermulalah tugas ibuku — membawa telur dengan menaiki teksi untuk dijual di Pasar Siti Khadijah. Kota Bahru. Petang barulah dia pulang ke rumah dengan keperluan makanan untuk kami sekeluarga. Begitulah rutin harian ibuku bertahun lamanya.

Kemudian timbul pula idea untuk membuat telur masin. Sekali lagi abangku akan mencari sekam padi yang dibakar untuk dijadikan bahan membuat telur masin. Kadang-kadang jauh juga dia mencari sekam padi di kilang padi luar daerah. Selepas siap, telur masin itu dijual pula di pasar.

Daripada telur itik juga, ibu membuat kuih — akok dan nekbat. Sekali lagi ayah membuat alat untuk mengacau bahan mentah, mencari sabut dan membelah sabut kelapa. Tugas kami pula ialah mengayak bahan akok dan menjaga api semasa memasak akok menggunakan sabut kelapa. Kami ada dapur khas di sebelah rumah untuk memasak akok. Asap berkepul-kepul memenuhi ruang, pedih mata hingga keluar air. Tetapi semua itu hilang apabila dapat merasa akok yang garing dan baru masak.

Akok itu dijual di kantin sekolah. Aku masih ingat menerima banyak duit syiling hasil jualan akok tersebut.

Begitulah secebis kisah cinta kedua ibubapaku. Ayahku seorang yang pendiam, namun dalam diamnya dia tidak pernah berhenti bergerak mencari rezeki buat kami semua. Dibantu oleh ibuku dengan segala kudrat yang ada. Mereka tidak kaya harta, tetapi mereka mewah dengan perasaan cinta hingga ke akhir hayat.

Mereka membesarkan kami dengan penuh kasih sayang. Ibuku, yang yatim piatu sejak kecil dan dibesarkan oleh datuknya, tetap mampu membesarkan kami semua. Malah cucu-cucunya juga turut dijaga dengan penuh kasih.

Jadi, cinta apakah lagi yang mahu dicari dalam dunia ini?

Itulah sebenar-benar cinta — yang kami semua adik-beradik, serta anak cucunya, tidak wajar pandang enteng begitu sahaja. Contohilah mereka dalam bercinta.

Al-Fatihah buat ayah. Terima kasih ibu.

#CintaSejati #KasihIbuAyah #MemoriKampung #KisahCinta #TerimaKasihAyah #TerimaKasihIbu 
#Pengorbanan #AnakKampung #CeritaRamadhan #Keluarga #KasihSayang #InspirasiHidup #AlFatihah #SyurgaDiBawahTelapakKakiIbu

No comments:

Post a Comment