Baru-baru ini aku menerima khabar duka tentang penceraian ahli keluarga terdekat. Berita itu benar-benar meruntun hati. Sedih kerana aku tahu agak lewat. Sedih kerana sebagai seorang abang, aku tidak mampu berbuat banyak. Jarak memisahkan, dan berita sampai kepadaku setelah semuanya berlaku.
Atas rasa kecewa itu, aku memilih untuk menjadikan beberapa bulan mendatang sebagai tema tentang cinta dan ibadah perkahwinan. Bukan untuk mendabik dada. Bukan untuk menunjuk bahawa kami sempurna. Tetapi sebagai sebuah cerita moral — bahawa ikatan cinta dan perkahwinan itu suci. Ia perlu dijaga, diperjuangkan dan diusahakan sebaik mungkin.
Semoga kisah ini menjadi penguat kepada ikatan suci kalian yang sedang membaca.
Lagu Hubbuka Fil Qalbi (Engkau Adalah Cintaku) berlegar di corong laptop ketika aku menulis. Sudah lama aku mendengar lagu ini, tetapi baru hari ini benar-benar memahami makna dan terjemahannya.
Buat isteriku, terima kasih atas 21 tahun ini — dan lebih daripada itu.
Permulaan Cinta
Tahun dua di Universiti Sains Malaysia. Aku cuba meluahkan perasaan kepada seorang gadis dari Tuaran, Sabah. Dia junior PALAPES. Aktif dalam Kelab Rekreasi PALAPES. Kelibatnya membuatkan aku tidak senang duduk.
Tanpa membuang masa, aku meminta bantuan seorang rakan perempuan untuk “menyunting” — bertanya sama ada gadis itu sudah berpunya atau belum.
Isteriku pernah bercerita, sebelum menerima cintaku, dia solat memohon petunjuk daripada Allah. Selepas itu, dia membalas perasaanku.
Sejak tahun 2001, kami bercinta.
Dalam percintaan, kami cuba sedaya mungkin menjaga batas syariat. Jika ingin berjumpa, akan ada kawannya menjadi peneman. Kami tidak pernah bersentuhan sehingga hari kami diijabkabulkan pada tahun 2005.
Aku pernah bertanya kepada seorang ustaz, “Bagaimana hendak bercouple ikut syariat?”
Jawabnya ringkas, “Tak boleh couple.”
Habis di situ.
Aku budak kampung dari Kelantan. Tidak pernah bercinta. Jadi apabila pertama kali aku meluahkan perasaan dan ia diterima dengan baik, aku rasa seolah-olah mendapat seluruh dunia.
Walaupun ketika itu aku sebenarnya sedang bergelut dengan banyak masalah.
Tak pernah terfikir pun akan berkahwin dengan orang Sabah. Ini benar-benar cinta pandang pertama. Dan apabila cinta itu disambut, aku berjanji dalam hati untuk menjaganya sampai bila-bila.
Surat, Rindu dan Keberanian
Awal percintaan kami banyak menggunakan Yahoo Messenger. Apabila aku tamat belajar dan mula bekerja, kami berhubung melalui telefon.
Apabila aku masuk ke ladang sawit tanpa talian telefon, aku menulis surat cinta. Ya, aku memang suka menulis. Lebih mudah meluahkan rasa melalui tulisan berbanding kata-kata.
Aku berpindah kerja dari Pulau Pinang ke Kota Bharu. Rindu makin kuat.
Keluarga kami tahu tentang hubungan ini. Semasa majlis graduasi, aku membawanya bertemu keluargaku. Jika ada peluang, aku bertemu adik bongsunya dan bapanya di Kuala Lumpur.
Di kampung tanpa kerja tetap, aku gelisah.
Bagaimana mahu teruskan hubungan jarak jauh?
Bagaimana kos perkahwinan nanti?
Aku fokus mencari kerja. Bina kerjaya untuk merealisasikan impian cinta kami.
Aku berpindah ke Subang Jaya. Menumpang di rumah kawan di Damansara Jaya. Ketika itu dia menjalani latihan praktikal di MEASAT. Dia graduan Ijazah Kejuruteraan Aeroangkasa.
Aku masih ingat menunggang motosikal Ex5 untuk bertemunya.
Namun setiap kali pulang, fikiran melayang — bagaimana mungkin aku mampu berkahwin dengan gadis Sabah?
Keputusan Besar
Beberapa bulan kemudian, aku menerima tawaran sebagai kadet jurutera di sebuah kilang sawit di Lahad Datu, Sabah.
Kami berbincang tentang masa depan. Jika aku menerima tawaran itu, apakah kesannya?
Aku pulang ke kampung meminta restu ibu bapa. Seorang rakan sekampung yang bekerja di syarikat sama membantu meyakinkan mereka.
Apabila aku menyerahkan surat berhenti kerja, pengurus bertanya,
“Nak ke mana?”
“Lahad Datu.”
“Lahad Datu? Apa ada sana?” katanya sinis.
Aku jawab jujur, “Entah, saya pun tak pernah ke Sabah.”
Aku terbang ke Kota Kinabalu. Singgah di Tuaran. Bermalam di rumah bakal mertua. Buat pertama kali melihat rumah tempat dia membesar. Keluarganya ramah.
Esoknya aku terbang ke Lahad Datu — bumi asing, ladang sawit 90km dari bandar. Tiada talian telefon. Kami kembali menulis surat.
Dalam dua bulan pertama, aku terlibat kemalangan dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu selama lima hari. Hanya dia yang tahu. Aku tidak mahu ibu bapaku risau.
Bertunang, Menyimpan dan Bernikah
Setelah lebih setahun bekerja dan dia tamat belajar, kami merancang untuk bertunang. Kedua-dua keluarga menyokong.
Keluargaku di Kelantan teruja — peluang pertama mereka ke Sabah.
Selepas bertunang, kami membawa keluarga ke Kundasang.
Aku kembali ke ladang sawit dan mula mengumpul duit. Tempoh bertunang sembilan bulan.
Gaji ketika itu RM1900. Selepas potongan, tinggal RM1600. Aku simpan RM1000 setiap bulan untuk kahwin.
Alhamdulillah, cukup duit hantaran.
Kami berkahwin. Dua minggu cuti. Dua majlis berasingan — di Tuaran dan di Kelantan.
Kami menjadi jambatan antara dua keluarga besar, dua negeri, dua budaya.
Hidup Bermula Dari Kosong
Selepas kahwin, isteriku ikut aku ke ladang sawit.
Aku tiada apa-apa. Motor pinjam. Belanja bulanan naik van mini ke bandar.
Dia ikut tanpa banyak komplen.
Kami tidak pernah berbulan madu. Bukan tak mahu. Tidak mampu. Setiap sen perlu dikira.
Isteri bunting pelamin. Setahun kemudian lahirlah anak sulung kami.
Aku terus berjuang. Dapat kompetensi. Naik pangkat. Jadi pengurus tiga tahun kemudian.
Pindah ke Miri — anak kedua lahir.
Pindah ke Sandakan — anak ketiga dan keempat.
Anak kelima gugur.
Pindah kembali ke Lahad Datu — anak keenam lahir pada 2018.
Pindah rumah.
Pindah sekolah.
Pindah negeri.
Semua kami hadapi bersama.
21 Tahun dan Terus Belajar
Dalam perkahwinan, banyak cabaran. Bergaduh. Silent treatment — istilah isteriku. Salah faham. Ego. Air mata.
Tetapi akhirnya kami akan kembali.
Kami tidak boleh berjauhan lama. Rindu akan hadir. Cinta akan kembali kuat.
Cara bercinta berubah mengikut fasa.
Semasa bujang — berbeza.
Semasa anak kecil — berbeza.
Kini anak semakin dewasa — juga berbeza.
Umur kami hampir 50-an. Cara bercinta juga matang.
Kami masih belajar menjaga cinta.
Kami tidak sempurna. Banyak kesilapan. Banyak kekurangan. Tetapi kami memilih untuk kembali.
Mempertahankan erti sebuah cinta.
Sebuah ikatan suci yang halal — kurniaan Allah.
Dan untuk itu, aku bersyukur.
#KisahCinta21Tahun #CintaHalal #IbadahPerkahwinan #SuamiIsteri #CintaJarakJauh #DariKelantanKeSabah #LadangSawitLife #SyukurSelamanya #MempertahankanCinta #KeluargaBahagia

No comments:
Post a Comment