Mendengar berita tentang isu hubungan rumah tangga dalam kalangan artis mungkin sudah menjadi kebiasaan buat kita. Namun, apabila berita itu melibatkan keluarga atau saudara rapat sendiri, ia menjadi sesuatu yang sukar untuk diterima dan memberi kesan yang mendalam di hati.
Catatan ini hanyalah sebuah peringatan buat diri sendiri tentang mengapa sebuah ikatan suami isteri itu diciptakan. Dalam Islam, perkahwinan adalah ibadah yang panjang tempohnya, dan matlamat akhirnya bukan sekadar kebahagiaan dunia, tetapi untuk membawa pasangan dan ahli keluarga bersama-sama menuju syurga Allah SWT.
Lebih dua puluh tahun melayari bahtera rumah tangga bersama isteri tercinta. Kami dikurniakan lima cahaya mata yang membesar di hadapan mata, masing-masing hadir dengan kisah dan warna kehidupan tersendiri. Sebuah kebahagiaan yang tidak mampu dinilai dengan wang ringgit.
Perjalanan kami bermula apabila saya meluahkan perasaan kepada bakal isteri melalui orang tengah, dan alhamdulillah luahan itu disambut dengan baik. Kami menjalinkan hubungan selama lebih empat tahun sejak zaman universiti sebelum disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah.
Saya berasal dari Kelantan, manakala isteri dari Sabah. Kami disatukan oleh rasa cinta yang hadir sejak pandang pertama. Dalam tempoh perkenalan itu, kami menjadi jambatan kepada dua keluarga besar yang berbeza adat dan budaya serta dipisahkan oleh jarak ribuan kilometer. Alhamdulillah, kedua-dua keluarga menerima hubungan kami dengan penuh keikhlasan dan sokongan.
Sebaik tamat pengajian, saya berusaha mencari pekerjaan demi membina masa depan dan menyunting gadis yang dicintai. Walaupun perjalanan hidup membawa saya merantau jauh ke bumi Borneo selama lebih dua puluh tahun, saya yakin setiap langkah itu adalah aturan Allah yang terbaik. Setelah memperoleh pekerjaan yang stabil, saya menyimpan wang untuk mendirikan rumah tangga. Kami bertunang selama sembilan bulan sebelum akhirnya berkahwin. Majlis perkahwinan diadakan di Sabah dan Kelantan sebagai simbol penyatuan dua keluarga besar.
Selepas berkahwin, saya membawa isteri menetap di kawasan ladang sawit yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Bandar Lahad Datu, berhampiran hilir Sungai Kinabatangan. Di situlah kami membina keluarga kecil dengan penuh kekurangan dan kesederhanaan.
Ketika itu, saya tidak memiliki apa-apa. Kami tinggal di kuarters syarikat tanpa kenderaan sendiri, tanpa televisyen, dan hanya bergantung kepada gaji sekitar RM2000 untuk menyara kehidupan di perantauan, jauh daripada keluarga.
Setahun kemudian, Allah mengurniakan anak pertama yang menjadi penyeri dan penguat semangat dalam menghadapi kesusahan hidup.
Isteri saya seorang wanita yang tabah dan solehah. Dia tidak pernah menuntut kemewahan, sebaliknya setia menemani suami ke mana sahaja ditakdirkan. Dari Lahad Datu ke Miri, kembali ke Sandakan dan semula ke Lahad Datu. Dalam tempoh lebih dua puluh tahun, kami berpindah dari satu rumah ke rumah lain, dari satu sekolah anak ke sekolah yang lain. Ketika saya bekerja, dialah yang mengurus, membesarkan, dan mendidik anak-anak di bumi asing.
Ini bukan sekadar kisah cinta. Ini adalah kisah dua jiwa yang berusaha memelihara cinta dalam kerangka syariat yang digariskan oleh Allah SWT dan dicontohkan oleh Rasulullah SAW.
Sepanjang tempoh perkenalan sebelum berkahwin, kami berusaha menjaga batas syariat dan tidak melanggar larangan agama. Setelah berkahwin, kami cuba memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing. Kami sedar kami mempunyai banyak kelemahan, namun kami sentiasa berusaha memperbaiki diri. Kami belajar meluahkan perasaan, walaupun tidak selalu, tetapi cukup untuk menjadi pedoman agar kami sentiasa menjadi lebih baik.
Kini, kami diuji dengan jarak apabila dipisahkan oleh dua negara. Jika dahulu kami dapat bertemu setiap hari, kini pertemuan hanya berlaku sekitar sebulan sekali. Namun, jarak itu mengajar kami erti rindu, menghargai, dan menyuburkan kembali kasih sayang yang mungkin dahulu terasa biasa.
Setiap manusia pasti diuji dengan ujian masing-masing. Namun, dengan niat untuk bersama menuju syurga Allah, walaupun emosi kadangkala menguasai diri, kita tetap perlu berpaut kepada garis panduan agama. Jika tersasar, sebaiknya kita kembali muhasabah diri.
Selagi kita menjaga batas yang ditetapkan oleh Allah, insyaAllah nikmat sakinah, mawaddah dan rahmah akan menjadi penguat dalam kehidupan berumah tangga. Walaupun badai ujian datang seperti gelombang besar, Allah akan memimpin pasangan yang saling berpaut kepada-Nya menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.
Sesungguhnya antara kejayaan terbesar syaitan adalah memisahkan hubungan suami isteri. Maka marilah kita sentiasa berdoa memohon hidayah, taufik dan perlindungan Allah agar rumah tangga kita sentiasa dipelihara daripada godaan tersebut.
Rindu buat isteri di kejauhan.
#anekdotcinta
No comments:
Post a Comment