14 tahun yang lepas, apabila tamat belajar di USM dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, matlamat pertama saya adalah mendapatkan pekerjaan. Tak pernah bayangkan di mana akan jatuh, namun kaki ini tetap meneruskan perjalanan dari satu tempat ke tempat tanpa menoleh ke belakang. Silih berganti di beberapa industri di Pulau Pinang, Kota Bharu dan Subang Jaya, akhirnya saya terbang ke Lahad Datu, Sabah pada 16hb. Mac 2004 dan mula menyusuri Jalan Jeroco menuju ke sebuah kilang sawit, 90km dari Bandar Lahad Datu.
Mungkin juga disebabkan jauh dari bandar, akhirnya terperangkap di kem dan alam baru di sawit bermula. Sebagai kadet jurutera dan akhirnya menjadi pengurus. Setelah berada di lima kilang sawit di Sabah dan Sarawak, pada tahun 2015, saya sekali lagi keluar dan menerjah masuk ke industri baru. Namun, masih berada dalam lingkungan industri sawit.
Berbekalkan pengalaman bekerja sebagai jurutera selama 14 tahun, menjadi pengurus, jurutera stim dan pelbagai pengalaman teknikal lain, satu persoalan sentiasa terbit di benak kepala saya. Apa sebenarnya kerja seorang jurutera?
Adakah seindah ibarat lakonan filem, bertali leher ke pejabat, memegang pelan bangunan yang besar, berkereta besar, ruang pejabat besar atau juga mempunyai bini yang besar? Atau mempunyai syarikat konsultant besar dan ternama negara? Atau selalu bermain golf bersama - sama pembesar negara?
Pelbagai cabaran ditempuhi sepanjang 14 tahun bekerja. Sebenarnya tiada satu pun di atas tepat dalam mengambarkan kehidupan sebenar seorang jurutera!
Saya cuba untuk sentiasa positif dalam apa jua cabaran yang ditempuhi. Motivasi sebenarnya adalah dari dalam jiwa dan raga. Meneruskan perjalanan kerja demi sesuap nasi dan rezeki yang halal untuk diri dan anak bini.
Demi rezeki yang halal lah motivasi terbesar kenapa saya masih menongkah arus dan mendepani cabaran besar setiap hari.
Bangun pagi bergegas ke plant. Otak mula ligat memikir apa pula masalah baru hari ini. Dari hari ke hari, masalah tidak pernah selesai selagi mana plant beroperasi. Belum campur masalah manusia. Isu keselamatan. Isu produktiviti. Isu jabatan kerajaan. Isu kos. 1001 isu yang tidak pernah selesai.
Keluar rumah awal pagi. Balik rumah waktu malam.
Dengan kepenatan, disambung pula dengan karenah keluarga itu dan ini.
Dengan jawatan dan gaji, harap semua akan selesa, namun itu belum tentu. Dengan tangungjawab dan beban tugas yang semakin bertambah, jawatan dan gaji itu sebenarnya kekadang tidak bernilai.
Walaupun badan bukanlah penat, namun otak yang 24 jam berfikir tentang 1001 masalah menyebabkan badan turut kepenatan.
Ya benar. Tidak semua orang mampu menggalas tugas dan tanggungjawab besar ini. Mungkin itu juga sebabnya ramai kenalan menukar kerjaya menjadi guru!
Apa pun yang berlaku, kerjaya ini memang sudah ada di dalam jiwa dan raga. Ia subur dan lahir sejak kecil. Ilmu kejuruteraan yang utama bukan diperolehi di universiti, namun daripada universiti kehidupan!
Apa sebenarnya tugas seorang jurutera?
Tugas seorang jurutera adalah :-
1. MENYELESAIKAN MASALAH DAN MEMUDAHKAN URUSAN MANUSIA.
2. MENJAGA KESELAMATAN MANUSIA.
Demi MANUSIA. dan bukan lain darinya.
Ia adalah kerja sukar. Namun, ia kerja mulia.