Monday, 6 May 2024

Penyakit Mental dalam kehidupan - Diari kehidupan saya

  1. Beberapa tahun yang lepas hingga kini isu penyakit mental kerap diperkatakan. Isu itu sama ada di media sosial atau di media semasa menjadi isu penting kerana pelbagai faktor. Ia juga pernah berlaku kepada jiran, kenalan, keluarga dan malah diri saya sendiri.
  2. Semasa COVID 19, seorang jiran di perumahan membunuh diri setelah bergaduh dengan isterinya, mencederakan bapa mertuanya. Peristiwa itu berlaku setelah pulang ke rumah selepas dibawa ke balai polis. Individu tersebut adalah seorang pemandu e-hailing. 
  3. Jika kita soroti media sosial dan media semasa, ini kesihatan mental boleh dikatakan berlaku di mana - mana. Paling kritikal bila mana ia berkait dengan orang yang rapat dengan kita.
  4. Soalnya, macam mana kita hendak menanggani perkara ini? Atau setidaknya bagaiman kita bersedia untuk menghadapinya?
  5. Saya sendiri pernah mengalami gangguan kesihatan mental beberapa ketika yang lalu. Namun ia tidak sampai kepada saya perlu mendapatkan rawatan dan pengambilan ubat.
  6. Saya telah diuji dengan cabaran yang sangat hebat. Ia bertambah buruk kerana saya seorang yang jenis pendiam dan tidak suka meluahkan masalah yang saya hadapi. Saya pendam sendiri dan mencari jalan untuk menyelesaikannya. Apa masalah yang saya hadapi?
  7. Tekanan kerja amat kuat. Boleh dikatakan setiap hari masalah timbul. Dari isu pekerja, staff kepada isu keselamatan di tempat kerja. Kerisuan isu keselamatan di tempat menyebabkan hati saya sentiasa berdebar - debar setiap waktu, risau kemalangan akan berlaku. Balik ke rumah, masih memikir isu keselamatan di tempat kerja. Paling teruk adalah apabila saya disuruh untuk merasuah jabatan kerajaan. Perkara ini benar - benar menguji saya yang baru pulang dari haji. Berlawanan dengan jati diri, prinsip agama dan apa yang saya mahukan. Saya berhenti kerja dan memulakan kerjaya baru. Namun ia tidak berakhir di situ, di atas satu kesilapan yang saya lakukan, saya telah disaman dengan kos sejuta ringgit. Maka bermulalah episod baru dalam hidup saya belajar tentang kes mahkamah. Duit terpaksa dikeluarkan untuk membayar kos guaman berjumlah pulahan ribu ringgit. Bukan setakat satu kes, ia juga disusuli kes kedua. Firma guaman amat untung dalam apa jua kes.  Kesan dari kedua kes tersebut, saya terpaksa menjual rumah saya di kampung. Untuk membayar kos guaman dan kes mahkamah. Saya telah hilang sebuah rumah disebabkan kes tersebut.
  8. Sepanjang kes tersebut, saya teringat kisah akhir hayat P Ramlee. Sebelum meninggal, beliau jatuh miskin. Beliau telah mendapat surat saman. Kesannya beliau sangat tertekan dan akhirnya meninggal dunia pada usia sangat muda iaitu 44 tahun, pada 29hb Mei 1973 akibat sakit jantung. 
  9. Berulang kali saya ingati diri saya tentang kisah pengakhiran P Ramlee. Saya mesti kuat dan bangkit. Saya mesti hadapi perkara ini dengan baik. 
  10. Bukanlah mudah untuk merawat diri sendiri. Tempat kerja baru, cabaran baru, ujian muncul dan pada waktu yang sama kewangan pun tidak berapa baik.
  11. Saya hadapinya hari demi hari. Namun mengenangkan kisah penyakit mental orang lain yang lebih besar daripada saya sehingga ada yang membunuh diri, saya katakan kepada diri, masalah aku kurang berbanding orang lain yang diuji dengan ujian lebih besar.
  12. Apa yang saya lakukan? Perkara pertama saya buat adalah mencari guru yang boleh memberi input positif dan ilmu agama. Dengan banyak nasihat, hadis, ayat - ayat Al Quran serta kuliah tafsir, banyak pengajaran dan ubat kehidupan diperolehi. Pelbagai banyak kisah para Rasul yang lebih besar dalam kehidupan dan menjadi pedoman buat kita hamba yang hina dina. Saya juga cuba merujuk kepada mereka yang kompeten, berilmu serta berusia. Mereka sekurang - kurangnya menjadi pendengar dan memberikan buat fikiran yang bernas. Antara kata - kata yang saya paling ingati adalah "jika Allah ingin naikkan martabat diri seseorang, maka Allah akan uji hambanya."
  13. Bukan mudah, namun dengan segala bekalan yang ada, saya harungi kehidupan. Semasa Covid 19, saya main game online untuk mengalih tumpuan saya. Bukan setakat itu, saya juga daftarkan diri untuk mengambil Phd.
  14. Sentiasa selawat, istiqfar dan mula melakakan banyak aktiviti luar seperti camping. Saya juga mula bermotorsikal touring dan melakukan perjalan jarak 100-120 km secara solo. 
  15. Setelah hampir empat tahun bermain game secara online dan menghabiskan masa, awal tahun 2024, saya berhenti.
    Rise of Empire. Dalam game ini saya banyak berkenalan dengan ramai pemain dadi seluruh dunia. Kerana saya rasa tidak perlukan lagi game tersebut. Mungkin hasil dari Kuliah Daurah Tafsir yang telah saya ikut sejak sekian lama.
  16. Dalam tempoh mengharungi suka dan duka disebabkan diuji oleh Allah dalam pelbagai bentuk ujian, saya kini lebih redha dengan apa yang berlaku. Sedikit sebanyak, cara saya bekerja mula berubah. Saya banyak merenungi diri - sendiri. Semasa muda kita darah panas dan banyak kesalahan dan kesilapan kita lakukan. Sesal kesilapan dan kesalahan kita. Cuba lakukan dengan cara lebih baik terutama cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan harian.
  17. Pun begitu banyak ujian yang berlaku, adakah saya setiap hari menangisi diri - sendiri? Tiada mood dan tidak melakukan apa - apa di rumah? Tidak sama sekali. Walaupun saya ada 1001 ujian, saya masih tetap kena keluar bekerja. Kena mencari rezeki. Kena tunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang yang dibawa gaji. Saya tidak ada masa dan tidak boleh jadikan alasan ujian saya di atas untuk tidak bekerja atau tiada mood untuk bangkit. Saya ada Allah yang setiap masa dan waktu dijadikan tempat untuk mengadu.
.... Adakah saya sudah pulih? Sebenarnya tidak pulih sepenuhnya. Tapi kesakitan itu sudah mula berkurangan. Kesan parut tebal masih ada. Namun saya menjadi lebih positif dalam kehidupan. Saya menjadi lebih mudah untuk membiarkan sesuatu. Saya mula bangkit dan bangun. Saya mula mencari rakan baru dan mencuba hobi baru. Jika pun ada ujian di hadapan, kesan parut itu mengingatkan saya bahawa saya pernah terluka. Dan kesakitan baru itu tidak lain hanya sakit - sakit yang pernah saya alami. Saya jadi lebih imun. Dan saya masih tersenyum.

Tujuan untuk post saya ini adalah untuk berkongsi dengan semua bahawa kita ada Allah. Islam dan Iman adalah bekalan terbaik kita. Dengan itu, jangan risau, Allah tahu yang terbaik untuk kita. Maka dengan itu, jangan putus asa, bangkit dan kembalilah. Jika pun kita diuji, ingatlah ada lagi insan lain yang diuji lebih hebat. Ingatlah, anak kecil di Gaza itu sebenarnya diuji lebih hebat dari kita. Maka, bangkitlah!


1 comment:

  1. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

    ReplyDelete