Friday, 11 October 2024

Pengalaman indah berkhemah

SCCA 5 & 6 Oktober 2024. Dalam banyak - banyak siri perkhemahan, ini adalah antara pengalaman yang menarik. 

Seperti kata - kata kawan, khemah biar setinggan tapi makanan mesti T20.

SCCA sunrise

Suasana subuh pagi hari yang tenang di SCCA menikmati matahari terbit.

Silam Coastal Conservation Area

Silam Coastal Conservation Area, Silam adalah sebuah lokasi perkhemahan yang cantik. Ada trek, pantai dan permandangan matahari terbit yang cantik.

Kredit gambar Mel 

31 Ogos 2024 di Madai

Menyambut Hari Kebangsaan 31 Ogos 2024 di Madai. Camping bersama rakan - rakan.

Sabah Camping Fest 2.0

Menyertai Sabah Camping Fest 2.0 di Kg. Kilimu, Ranau, Sabah pada 13-15 Sept 2024. Dihadiri oleh camper dari Sabah, Labuan, Brunei & Sarawak.

Sunday, 7 July 2024

Air nadi kehidupan

Pengalaman mengendalikan sumber air
1. Sebuah sekolah asrama di Sabah sering kali mengalami masalah air. Saya percaya, itu bukan kes asing, bukan satu malah banyak sekolah juga mengalami isu yang sama. Universiti pun sama. Bukan satu daerah, malah banyak daerah lain juga. Bukan sahaja Sabah, malah negeri lain juga termasuk Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Bukan Malaysia sahaja, malah negara lain di dunia.
2. Atas sebab bukan masalah seorang, maka setiap insan bernama manusia di atas bumi ini wajar menjaga sumber air dan memanfaatkan setiap titik dengan sebaik mungkin. 
3. Sepanjang kerjaya saya, di setiap kilang mempunyai isu air yang berbeza. Dan setiap kilang saya telah mengambil inisiatif untuk menyelesaikan isu air dengan kaedah yang berbeza.

Kilang satu
Kilang ini mempunyai kolam takungan, namun tiada sumber tali atau sungai. Apabila musim kemarau, air menyusut dan menjadi sangat tinggi TDS dan bahan kimia untuk rawatan bertambah tinggi. Apa yang saya lakukan adalah dengan menambah kapasiti kolam takungan dengan ketinggian satu meter. Ketinggian ini mampu untuk menampung pengurangan air semasa beberapa bulan musim kemarau.

Kilang dua
Kilang ini mempunyai kolam takungan yang sangat besar. Apabila hujan, air akan melimpah sehingga menyebabkan banjir kilang dan menenggelamkan beberapa rumah di kawasan perumahan pekerja. Setelah kajian dijalankan dan pemerhatian selama setahun, saya telah pasang paip bersaiz besar untuk mengurangkan ketinggian kolam kepada satu meter. Setiap waktu air akan mengalir keluar tanpa menganggu jumlah air yanv diperlukan. Namun isipadu kolam yang kurang mampu menampung jumlah air semasa hujan lebat. Tiada banjir kilat dan rumah dapat diselamatkan.

Kilang tiga
Keadaan kolam di sini amat unik. Kolam ini mendapat sumber dari sungai berhampiran. Apabila hujan, air akan melimpah selama tiga hari. Selepas itu sungai ini akan kering. Terdapat sebuah pam yang akan mengalirkan air hujan ke kolam tersebut. Semasa musim kemarau, air akan berkurangan. Apa yang saya lakukan adalah dengan memasang pam secara automatik mengikut ketinggian sungai dan menghasilkan jeram dari batu - baru yang terdapat di sekitar sungai. Pam yang dihidupkan secara automatik dapat memastikan aliran air dengan lebih cepat berbanding bergantung kepada manusia.

Kilang empat
Kilang ini tiada kolam disebabkan berada di bandar. Jadi terpaksa bergantung sepenuhnya kepada air yang dibekalkan oleh kerajaan. Ada masa tertentu kita terpaksa membeli air dari luar dengan kos yang agak tinggi. Kami bina rain harvesting. Bina tangki dan simpan air dalam tangki. Kami juga guna steam condensate untuk diguna semula ke boiler.

Kilang lima
Kami bina tubewell. Selepas itu kami bina loji air RO. Dengan kapasiti air tubewell dan RO, kilang dapat mengurangkan kebergantungan air dari luar.

Di rumah 
Saya buat harvesting dan terdapat dua tangki berkapasiti 1-2 meter kiub. Air ini digunakan untuk siram pokok dan cuci lantai di rumah.

Di ladang sawit
Di ladang sawit kebanyakkan rumah menggunakan rain harvesting untuk kegunaan harian.

Kesimpulan
Sebenarnya pelbagai cara kita boleh buat untuk selesaikan masalah air terutama di negara kita yang menerima taburan hujan sangat tinggi berbanding negara - negara lain di dunia. Kita mesti menggunakan sepenuhnya sumber yang ada di sekeliling kita.

Memberikan 1001 alasan tidak akan menyelesaikan masalah yang kita hadapi setiap hari. Cari jalan. Selesaikan masalah. 
SEMOGA BERMANFAAT

Kesilapan terbesar semasa mengurus

1. Saya pernah buat silap yang sangat besar semasa berkerja sebagai pengurus.
2. Kesilapan saya lakukan adalah percaya bahawa saya boleh mengubah orang lain.
3. Dan Allah tunjukkan kesilapan saya. Saya belajar dan saya sangat insaf atas kesilapan tersebut.
4. Hari ini saya masih belajar.
5. Banyak sirah para Nabi terutama Nabi Muhammad SAW menjadi pedoman. Saya jumpa kesilapan saya itu bila menelusuri sirah para Nabi.
6. Sebenarnya, kita tidak boleh ubah manusia.
7. Hatta sehebat mana sekali pun cara kita gunakan.
8. Untuk ubah bukan kuasa kita.
9. Sebab itu kuasa Allah.
10. Namun, tugas kita adalah usaha. Kita kena buat usaha. Setelah pelbagai usaha, 1001 jalan, maka serahlah kepada Allah. 
11. Serahlah kepada Allah.
12. Serahlah kepada Allah.
13. Serahlah kepada Allah.

Penyerahan itu sangat penting, tanda kita telah berusaha dan Allah segalanya.

Borneo Rider

Borneo Rider lahir Mei 2022 dalam usaha saya untuk mengatasi masalah slip disc yang saya hadapi.

Tuesday, 28 May 2024

Jamboree STX 2.0 Long Pasia

1. Pada 17 hingga 19 Mei 2024 saya dan keluarga telah menyertai Jamboree STX 2.0 ke Long Pasia. STX adalah sebuah NGO 4WD yang mempunyai ahli dari seluruh negeri Sabah, Sarawak dan negara Brunei.
2. Jamboree kedua ini disertai oleh 60 buah jentera dari seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei.
3. Antara aktiviti jamboree kali ini adalah CSR bantuan makanan kepada penduduk kampung Long Pasia.
4. Sumbangan turut diberikan oleh pertubuhan Yayasan Ikhlas dan beberapa pertubuhan serta individu.
5. Konvoi bermula dari Bandar Keningau, dirasmikan oleh YB Robert menuju ke Tenom. Di Tenom, konvoi yang diiringi oleh PDRM berhenti untuk sesi bergambar bersama kelab permotoran Tenom. Seterusnya menuju ke Simpang Long Pasia di Sipitang.
6. Konvoi yang bermula 8 pagi dari Keningau sampai ke Jambatan Maligan pada pukul 3 petang untuk berhenti rehat di Maligan Resort sebelum meneruskan perjalanan.
7. Hujan yang turut menyebabkan jalan licin dan perjalanan agak mencabar untuk semua kenderaan. Konvoi pertama sampai pada pukul 8 malam di Long Pasia dan yang terakhir pada pukul 9 malam. Ada yang berkhemah dan menyewa di Homestay.
8. Keesokannya aktiviti bersama penduduk kampung, penyerahan bantuan, persembahan tarian pahlawan oleh penduduk kampung, sukan bola, acara river cruise, memancing dan ramah mersa. Malamnya aktiviti suai kenal, barbeque dan penyerahan sijil.
9. Awal pagi 17 Mei 24, konvoi bergerak pulang.

Tahniah kepada semua anggota STX dan mereka yang terlibat program jamboree yang berjaya. Semua selamat tanpa kejadian yang tidak diingini. 

Hobi, beramal, silaturrahim dan menjana ekonomi ahli, tahniah STX. Onsoi!

Monday, 6 May 2024

Penyakit Mental dalam kehidupan - Diari kehidupan saya

  1. Beberapa tahun yang lepas hingga kini isu penyakit mental kerap diperkatakan. Isu itu sama ada di media sosial atau di media semasa menjadi isu penting kerana pelbagai faktor. Ia juga pernah berlaku kepada jiran, kenalan, keluarga dan malah diri saya sendiri.
  2. Semasa COVID 19, seorang jiran di perumahan membunuh diri setelah bergaduh dengan isterinya, mencederakan bapa mertuanya. Peristiwa itu berlaku setelah pulang ke rumah selepas dibawa ke balai polis. Individu tersebut adalah seorang pemandu e-hailing. 
  3. Jika kita soroti media sosial dan media semasa, ini kesihatan mental boleh dikatakan berlaku di mana - mana. Paling kritikal bila mana ia berkait dengan orang yang rapat dengan kita.
  4. Soalnya, macam mana kita hendak menanggani perkara ini? Atau setidaknya bagaiman kita bersedia untuk menghadapinya?
  5. Saya sendiri pernah mengalami gangguan kesihatan mental beberapa ketika yang lalu. Namun ia tidak sampai kepada saya perlu mendapatkan rawatan dan pengambilan ubat.
  6. Saya telah diuji dengan cabaran yang sangat hebat. Ia bertambah buruk kerana saya seorang yang jenis pendiam dan tidak suka meluahkan masalah yang saya hadapi. Saya pendam sendiri dan mencari jalan untuk menyelesaikannya. Apa masalah yang saya hadapi?
  7. Tekanan kerja amat kuat. Boleh dikatakan setiap hari masalah timbul. Dari isu pekerja, staff kepada isu keselamatan di tempat kerja. Kerisuan isu keselamatan di tempat menyebabkan hati saya sentiasa berdebar - debar setiap waktu, risau kemalangan akan berlaku. Balik ke rumah, masih memikir isu keselamatan di tempat kerja. Paling teruk adalah apabila saya disuruh untuk merasuah jabatan kerajaan. Perkara ini benar - benar menguji saya yang baru pulang dari haji. Berlawanan dengan jati diri, prinsip agama dan apa yang saya mahukan. Saya berhenti kerja dan memulakan kerjaya baru. Namun ia tidak berakhir di situ, di atas satu kesilapan yang saya lakukan, saya telah disaman dengan kos sejuta ringgit. Maka bermulalah episod baru dalam hidup saya belajar tentang kes mahkamah. Duit terpaksa dikeluarkan untuk membayar kos guaman berjumlah pulahan ribu ringgit. Bukan setakat satu kes, ia juga disusuli kes kedua. Firma guaman amat untung dalam apa jua kes.  Kesan dari kedua kes tersebut, saya terpaksa menjual rumah saya di kampung. Untuk membayar kos guaman dan kes mahkamah. Saya telah hilang sebuah rumah disebabkan kes tersebut.
  8. Sepanjang kes tersebut, saya teringat kisah akhir hayat P Ramlee. Sebelum meninggal, beliau jatuh miskin. Beliau telah mendapat surat saman. Kesannya beliau sangat tertekan dan akhirnya meninggal dunia pada usia sangat muda iaitu 44 tahun, pada 29hb Mei 1973 akibat sakit jantung. 
  9. Berulang kali saya ingati diri saya tentang kisah pengakhiran P Ramlee. Saya mesti kuat dan bangkit. Saya mesti hadapi perkara ini dengan baik. 
  10. Bukanlah mudah untuk merawat diri sendiri. Tempat kerja baru, cabaran baru, ujian muncul dan pada waktu yang sama kewangan pun tidak berapa baik.
  11. Saya hadapinya hari demi hari. Namun mengenangkan kisah penyakit mental orang lain yang lebih besar daripada saya sehingga ada yang membunuh diri, saya katakan kepada diri, masalah aku kurang berbanding orang lain yang diuji dengan ujian lebih besar.
  12. Apa yang saya lakukan? Perkara pertama saya buat adalah mencari guru yang boleh memberi input positif dan ilmu agama. Dengan banyak nasihat, hadis, ayat - ayat Al Quran serta kuliah tafsir, banyak pengajaran dan ubat kehidupan diperolehi. Pelbagai banyak kisah para Rasul yang lebih besar dalam kehidupan dan menjadi pedoman buat kita hamba yang hina dina. Saya juga cuba merujuk kepada mereka yang kompeten, berilmu serta berusia. Mereka sekurang - kurangnya menjadi pendengar dan memberikan buat fikiran yang bernas. Antara kata - kata yang saya paling ingati adalah "jika Allah ingin naikkan martabat diri seseorang, maka Allah akan uji hambanya."
  13. Bukan mudah, namun dengan segala bekalan yang ada, saya harungi kehidupan. Semasa Covid 19, saya main game online untuk mengalih tumpuan saya. Bukan setakat itu, saya juga daftarkan diri untuk mengambil Phd.
  14. Sentiasa selawat, istiqfar dan mula melakakan banyak aktiviti luar seperti camping. Saya juga mula bermotorsikal touring dan melakukan perjalan jarak 100-120 km secara solo. 
  15. Setelah hampir empat tahun bermain game secara online dan menghabiskan masa, awal tahun 2024, saya berhenti.
    Rise of Empire. Dalam game ini saya banyak berkenalan dengan ramai pemain dadi seluruh dunia. Kerana saya rasa tidak perlukan lagi game tersebut. Mungkin hasil dari Kuliah Daurah Tafsir yang telah saya ikut sejak sekian lama.
  16. Dalam tempoh mengharungi suka dan duka disebabkan diuji oleh Allah dalam pelbagai bentuk ujian, saya kini lebih redha dengan apa yang berlaku. Sedikit sebanyak, cara saya bekerja mula berubah. Saya banyak merenungi diri - sendiri. Semasa muda kita darah panas dan banyak kesalahan dan kesilapan kita lakukan. Sesal kesilapan dan kesalahan kita. Cuba lakukan dengan cara lebih baik terutama cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan harian.
  17. Pun begitu banyak ujian yang berlaku, adakah saya setiap hari menangisi diri - sendiri? Tiada mood dan tidak melakukan apa - apa di rumah? Tidak sama sekali. Walaupun saya ada 1001 ujian, saya masih tetap kena keluar bekerja. Kena mencari rezeki. Kena tunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang yang dibawa gaji. Saya tidak ada masa dan tidak boleh jadikan alasan ujian saya di atas untuk tidak bekerja atau tiada mood untuk bangkit. Saya ada Allah yang setiap masa dan waktu dijadikan tempat untuk mengadu.
.... Adakah saya sudah pulih? Sebenarnya tidak pulih sepenuhnya. Tapi kesakitan itu sudah mula berkurangan. Kesan parut tebal masih ada. Namun saya menjadi lebih positif dalam kehidupan. Saya menjadi lebih mudah untuk membiarkan sesuatu. Saya mula bangkit dan bangun. Saya mula mencari rakan baru dan mencuba hobi baru. Jika pun ada ujian di hadapan, kesan parut itu mengingatkan saya bahawa saya pernah terluka. Dan kesakitan baru itu tidak lain hanya sakit - sakit yang pernah saya alami. Saya jadi lebih imun. Dan saya masih tersenyum.

Tujuan untuk post saya ini adalah untuk berkongsi dengan semua bahawa kita ada Allah. Islam dan Iman adalah bekalan terbaik kita. Dengan itu, jangan risau, Allah tahu yang terbaik untuk kita. Maka dengan itu, jangan putus asa, bangkit dan kembalilah. Jika pun kita diuji, ingatlah ada lagi insan lain yang diuji lebih hebat. Ingatlah, anak kecil di Gaza itu sebenarnya diuji lebih hebat dari kita. Maka, bangkitlah!