Tuesday, 4 December 2012

Lost in space

Aku pulang dari seminar dua tiga hari di KK, sampai ke rumah di estet.

Aku tidur malamnya. Esoknya pun selepas sarapan, aku tidur sepanjang hari. Keluar sekejap - sekejap ke kandang dan tidur semula malamnya.

Sambil ditemani tv hingga ke pagi.

Ya kawan, aku lost in space.


Aku lost in space selepas beberapa hari kelahiran Jambo. Anak kambing jantan pertama kurang seminggu lepas. Jamnapari cross boer.

Ini bukan kali pertama aku lost in space. Sudah banyak kali. Untuk kali ini, ia bukan satu perkara baru. Cuma aku perlukan tidur beberapa jam/beberapa hari untuk kembali pulih.

Sekurang - kurangnya kelincahan anak kambing ini mampu menjadi hiburan buat aku yang masih di awan - awangan. Berterbangan di angkasa raya. Bergerak pelahan - lahan dengan daya tarikan graviti sifar. Macam dalam cerita Star War..

Akhirnya aku berkata, tika mana dan bila pun, aku akan bersendirian. Lagi - lagi bilamana aku membuat keputusan untuk terbabas ke industri sawit ini.

Suka atau tidak, satu masa aku akan berjauhan dengan keluarga disebabkan oleh faktor kerja.

Mengimbas kembali lapan tahun lepas semasa beberapa bulan menjadi kadet jurutera di sykt I, aku tinggal bersendirian selama lebih setahun di sebuah rumah, tanpa tv dan tanpa rakan serumah. Di sebuah bumi yang cukup asing. Di sebuah ladang yang cukup jauh 160 km dari bandar. Di sebuah tempat tanpa talian telefon, wifi, 3G, gprs mahupun 4G lagilah.

Keluarga aku juga lost in space. Isteri, anak - anak bersendirian jauh dalam ladang. Terpisah daripada masyarakat. Hari - hari tengok muka aku dan juga pembantu rumah. Lagilah bilamana aku tengah stress akibat kerja. Akibat peperiksaan. Akibat sikap aku.

Semasa mengandung lapan bulan, isteri aku masih menaiki van aka bas mini untuk ke Bandar Lahad Datu ulang alik membeli bekalan rumah sebulan. Aku belum mampu membeli kereta kawan. 

Peristiwa demi peristiwa silih berganti. Besar sungguh cabaran menjadi miller kawan. Sehingga dijangkiti penyakit lost in space.

Setiap kali berlaku kejadian ini, akan memberi kesan dan garis kasar yang cukup mendalam pada jiwa aku.

Sama seperti kesan parut lapan jahitan di leher. Seperti juga kesan parut di jari tengah kanan berjumlah sembilan jahitan. Juga di jari telunjuk kiri hampir hancur akibat overhead crane.

Juga di jiwa dan hati aku yang sama jumlahnya dengan rambut putih di kepala. Ya kawan, tak terhitung jumlahnya.

Pada dan waktu itu, aku sendiri yang mencari jawapannya.

Apa yang aku cari sebenarnya? di saat berterbangan di cakerawala, di awangan, lost in space.

Moga aku diberikan kekuatan. Terus bangkit dari tidur dan senyum.

Seumpama senyuman anak kambing pertama aku. Senyum kehidupan tetap perlu diteruskan. Selagi nyawa dikandung badan.

Aku cuma seorang insan kawan. Insan yang mengembara. Kembara Insan. Selaku insan, aku bukannya sempurna kawan. Namun aku kuteruskan kembara ini, walaupun seketika aku penat dan lelah. Menumpah kasih dan mencari tuah. 

...lost in space.

No comments:

Post a Comment