Thursday, 23 September 2010

Tekad bersama melaksanakan Hududullah

Firman Allah SWT:

Bermaksud : Ini ialah satu "surah" yang Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya).

Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan keizinan daripadaNya, atas sambutan Hari Hududullah Negeri Kelantan Darulnaim untuk tahun 1431 kali ini. Tahniah kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan kerana berjaya mengadakan sambutan tersebut pada 9 Ramadhan bersamaan 19 Ogos 2010 yang merupakan sambutan tahunan amat penting bagi seluruh rakyat Kelantan.

Demikian pula, terima kasih dan tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam kerana bersempena dengan sambutan hari Hududullah telah diadakan Seminar Hukuman Sebat Dalam Islam yang turut menampilkan pembentangan kertas kerja dan demontrasi pelaksanaan hukuman sebat bagi kesalahan sivil dan syariah oleh pihak Penjara Pengkalan Chepa.

Undang-undang Allah

Undang-undang hudud merupakan undang-undang Allah. Ia difardhukan oleh Allah SWT, sebagaimana fardhu (wajib) bersolat, berpuasa dan mengeluarkan zakat. Justeru menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk menegakkan undang-undang hudud sebagaimana perintah Allah SWT.

Natijahnya, kita semua boleh menerima bahawa di sekolah ada undang-undangnya yang mana pelajar perlu mematuhi arahan guru dan pentadbir, di pejabat juga ada undang-undangnya yang mana seorang pekerja perlu mematuhi arahan majikannya, di dalam negara kita juga ada undang-undangnya yang mana rakyat diminta taat patuh kepada pemimpinnya. Maka adakah manusia hidup di dunia Allah ini tidak dikenakan undang-undang? Sudah tentu lebih daripada itu kerana hidup ini satu urusan yang terlalu sulit dan komplikated sehinggakan di luar daripada kemampuan manusia menguasainya. Justeru siapa yang paling berhak menentukan undang-undang hidup di dunia selain daripada pencipta dunia ini sendiri, iaitu Allah SWT. Inilah yang Allah SWT firmankan:

Bermaksud : Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Dia menerangkan kebenaran dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan.

Keperluan makhluk

Sebagaimana didedahkan melalui seminar dan demonstrasi hukuman sebat, banyak pendedahan dan maklumat telah diketahui. Justeru kita yakin, bahawa hukuman sebat merupakan hukuman yang diturunkan sendiri oleh Allah SWT. Seperti mana ayat Surah An-Nur di permulaan di atas yang memberi makna bahawa An-Nur itu adalah cahaya. Cahaya juga merujuk kepada refleksi daripada matahari, bulan dan bintang yang kesemuanya diperlukan untuk fizikal. Termasuk cahaya petir (pancaran kilat) juga amat berfaedah untuk kehidupan makhluk di bumi. Demikianlah cahaya al-Quran, as-Sunah adalah diperlukan untuk rohani manusia.

Adapun surah An-Nur itu tadi dimulakan dengan perkataan "Surah” yang kemudian dijelaskan oleh Allah: “…Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat.”

Perhatikanlah bagaimana Allah SWT menggunakan perkataan bermaksud “Kami turunkan” diikuti dengan bermaksud “Kami wajibkan hukum-hukumnya” dan diulangi seterusnya iaitu “Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata.”

Ketiga-tiganya dinyatakan secara berturutan dan beriringan. Walaupun kita semua sudah maklum bahawa al-Quran memang diturunkan oleh Allah SWT dan memang difardhukan hukum-hukum olehNya. Kemudian di sebalik hukum itu, ada keterangan yang apabila ketiga-tiga itu dinyatakan secara berturutan di dalam satu ayat. Ini merupakan satu isyarat jelas bahawa betapa seriusnya perintah yang akan dinyatakan selepasnya. Perintah itu ialah hukuman sebat yang merupakan salah satu daripada hukuman hudud. Justeru, diakhirkan ayat tersebut dengan perintah yang bermaksud ”supaya kamu benar-benar beringat.” Beringat ertinya pada setiap masa kita hendaklah mengambil ingatan bahawa perintah-perintah yang mengandungi hukuman-hukuman tersebut telah ditetapkan oleh Allah SWT yang akan disoal olehNya di Padang Mahsyar kelak.

Sebagaimana Allah SWT berfirman selepas daripada ayat tersebut :

Bermaksud : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.



Salah faham

Hudud bukanlah bermakna hukuman sebat dan potong tangan semata-mata. Malangnya wajah hudud telah diberikan imej yang cukup buruk oleh media Barat dengan sokongan media sekular di dalam negara menjadikan masyarakat seringkali tersalah anggap tentang hudud. Hakikatnya hudud bermakna: batasan. Setiap apa yang diperintahkan atau dilarang oleh Allah SWT itulah yang dinamakan batasan. Melanggar batasan dengan meninggalkan apa yang disuruh atau mengerjakan apa yang dilarang itulah yang disebut sebagai melanggar hududullah. Al-Quran menyebut perkataan hudud bukan sahaja di dalam bab jenayah, tetapi dalam masalah peraturan rumahtangga dan nikah cerai. Allah SWT berfirman :

Bermaksud : Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang telah diceraikan itu), kecuali jika keduanya (suami isteri ) takut tidak dapat menegakkan hudud Allah yakni aturan-aturan hukum Allah (dalam masalah rumah tangga).

Di dalam masalah pembahagian harta pusaka juga turut disebut perkataan hudud. Firman Allah SWT :

Yang bermaksud : Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). Ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. Itulah hudud (batas-batas Syariat) Allah .

Hari ini negara sedang berada pada keadaan yang sangat memalukan. Kita sering kedengaran berlaku rasuah, penyelewengan dan pecah amanah semakin meningkat. Peningkatan gejala sosial pula kini sampai ke tahap sangat membimbangkan, dan ditambah lagi dengan kes kecurian. Begitu pula, kes-kes buang bayi pula semakin membimbang dan menyedihkan. Termasuk juga peningkatan kes pembunuhan, rogol, ragut dan pelbagai jenayah lain. Persoalannya, kenapakah undang-undang yang ada tidak mampu membendung masalah ini? Tidak lain hanyalah kerana undang-undang yang ada tiada kemampuan untuk pencegahan. Manakala undang-undang yang dicadang oleh Allah SWT itulah yang merupakan satu pencegahan. Firman Allah SWT :

Bermaksud : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Membangun bersama Islam

Sesungguhnya di Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam sudah lama menyedari hakikat ini. Di antara maksud Membangun Bersama Islam ialah pertama, mendidik, mentarbiyyah qalbu manusia supaya bertaqwa kepada Allah sejak kecil sampai ke peringkat remaja dan terus kepada meningkat dewasa. Bayi di atas riba diperdengarkan “Bismillahir Rahmanir Rahim” setiap kali susuan dilakukan. Yang terbaik lagi ibu perlu berwudhu’ sebelum susuan dilakukan. Nama Allah, nama Ar-Rahman, nama Ar-Rahim adalah suntikan ajaib untuk mengukir berkat dan qudus ke atas qalbu bayi yang baru mengenali alam dunia. Tidak ada doktor, tidak ada alat canggih yang boleh mengesan seni Asma’ ul-husna ke atas qalbu bayi.

Dan keduanya, bila anak memasuki alam persekolahan, cikgu-cikgu pula mencambahkan, membajai benih-benih yang telah ditabur oleh ibu di rumah tadi. Bila mereka melepasi alam persekolahan dan memasuki alam pekerjaan, menjadi rakyat, bergerak dalam semua bidang kehidupan, pihak kerajaan pula menyambung, membimbing dan melaksana segala benih ditabur di rumah dan di sekolah supaya ia berbuah dan mendatangkan hasil yang memenuhi kehendak iman dan taqwa kepada Allah. Sebagaimana maksud firman Allah SWT (Al-a’Raaf : 96) bermaksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami). Lalu kami timpakan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Menolak pencegahan Allah?

Amat mendukacitakan kita, ada pihak yang pandai-pandai menolak pencegahan daripada Allah SWT. Bagaimana rakyat mahu menjaga batas, sekiranya kerajaan yang berkuasa sendiri, tidak mempedulikan batas hudud Allah sendiri? Bila kerajaan melanggar hudud Allah, dengan sendirinya rakyat hidup tanpa batas. Di sana sini berlaku perlanggaran terhadap hudud Allah dan syariat Allah dengan sewenang-wenangnya.

Sehubungan itu, tersebarnya gambar-gambar dan video yang merosakkan melalui media massa, mahupun internet dan disaksikan pula oleh anak-anak muda kita saban hari. Maka, ia semakin mendekatkan mereka kepada gejala keruntuhan moral dan akhlak. Lantas dengan kudrat yang ada, kekangan undang-undang dan kewangan, kita melakukan setakat yang termampu untuk meletakkan Islam sebagai syariah yang memerintah bukannya diperintah. Lahirlah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan pada tahun 1993 hasil sumbangan idea dan garapan beberapa tokoh undang-undang yang terkenal seperti Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmud Saidun Awang Osman dan beberapa nama-nama yang lain.

Namun, sekeping surat bertarikh 8 Jun 1994 daripada Perdana Menteri Malaysia ketika itu kepada Menteri Besar Kelantan telah menghalang hasrat murni Kerajaan Negeri Kelantan ini.

Tidak putus asa

Kita tidak pernah berputus asa. Apa yang mampu laksanakan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri akan kita dilaksanakan. Kita mengharamkan riba, membataskan penjualan arak, menguatkuasakan larangan menghidangkan minuman alkohol di hotel-hotel, mengadakan peraturan menutup aurat, melarang acara tari-menari di majlis-majlis keramaian, dan banyak lagi perubahan yang telah kita perkenalkan yang kesemuanya bersumberkan dari ajaran al-Quran.

Misalnya, dalam memastikan peraturan menutup aurat, kita mewajibkan mana-mana papan iklan hanya mempamerkan gambar yang menutup aurat, kita juga mewajibkan para peniaga dan penjual beragama Islam di premis-premis perniagaan berpakaian menutup aurat, selain turut mewajibkan kakitangan kerajaan yang beragama Islam menutup aurat dengan sempurna. Manakala bagi yang tidak beragama Islam, kita pohon supaya dapat berpakaian dengan baik dan sopan.

Kesemua itu bagi memastikan suasana sekitar masyarakat tidak tercemar dengan amalan pendedahan aurat yang menimbulkan amalan seks bebas/zina. Apa yang mampu kita lakukan mengikut bidang kuasa Kerajaan Negeri sudah kita laksanakan. Selebihnya terletak pada bahu Kerajaan Pusat. Kerana kita menghormati amalan ”Federalisme”. Maka tepuk dada tanya iman.

Akhir kata, semoga sambutan Hari Hududullah tahun ini sentiasa mengingatkan rakyat Kelantan khususnya bahawa kewajipan melaksanakan dan menjaga undang-undang Allah SWT sentiasa terpikul di bahu kita semua. Harapa bersama agar setiap amalan kita bakal mendapat ganjaran setimpal dari Allah SWT.

Artikel ini dipetik dari :-
http://www.blogtokguru.com/pages/posting/48/tekad-bersama-melaksana-hududullah

No comments:

Post a Comment