Wednesday, 15 March 2017

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan
dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.
Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Kenapa kita berbeza?
Berbeza bangsa.
Berbeza warna kulit.
Berbeza bahasa.
Berbeza rupa paras.
Budaya. Adat. Makanan. Terlalu banyak perbezaan. 7 billion perbezaan.

Pada 20hb. Januari 2017, semasa majlis perlantikan Presiden Amerika ke Donald Trump, seorang wakil muslim Mohamed Magid membacakan ayat di atas dan juga ayat surah Ar Rum 21 berbunyi

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi
serta berlain-lainan bahasa dan warna kulitmu.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui."

Rakan - rakan yang saya hormati.
Inilah tujuan utama kenapa kita semua berbeza. Kita berbeza adalah untuk kenal - mengenal antara satu dan yang lain.
Untuk kenal. Untuk berjumpa. Untuk berkasih - sayang antara satu dan yang lain. Apabila kita berjumpa, berkenalan, kita boleh bercakap tentang keunikan masing - masing.

Kita boleh bercerita tentang makanan. Tomyam. Roti Canai. Nasi lemak. Nasi Goreng Paprik. Nasi Ayam. Ayam percik. Laksa penang. Laksa Sarawak. Singan. Cha Kwe Tuew.
Kita boleh bercerita tentang bahasa. Melayu. Mandarin. Tamil. English. Bajau. Bugis. Kadazan Dusun. Pepatah. Syair. Lagu.
Kita boleh bercerita tentang pakaian. Baju melayu. Sanfoo. Cheong Sam. Sari dan Dhoti.
Kita boleh bercerita tentang adat resam. Merisik. Bertunang. Perkahwinan. Kelahiran. Kematian.

Rakan - rakan yang saya hormati. Kita bukan berbeza. Tapi kita semua unik. Unik itulah kelebihan kita. Kecantikan. Kehebatan.
Keunikan dan kehebatan untuk diterokai.
Untuk dicungkil. Untuk dikenali. Untuk diselami. Untuk dicintai.

Kita mula mengubah perbezaan itu menjadi keunikan. Maka akan hadirlah perasaan cinta. Perasaan kasih. Perasaan persaudaraan antara kita semua.

Tak kenal, maka tak cinta.
Ayuh kita berkenalan dan bercinta,
UNTUK DUNIA LEBIH BAIK
HARI INI DAN ESOK!

Ucapan sempena WORLD SPEECH DAY MALAYSIA 2017

No comments:

Post a Comment