Saya berkenalan dengan isteri semasa belajar di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Beliau merupakan junior saya dalam PALAPES TD dan seorang pelajar yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Kejuruteraan Aeroangkasa.
Beliau pernah bercerita kepada saya bahawa pada asalnya, beliau menyimpan hasrat untuk memilih ijazah perubatan. Namun, selepas menghadiri satu sesi penerangan mengenai program ijazah semasa di matrikulasi, beliau akhirnya memilih Kejuruteraan Aeroangkasa. Beliau tertarik dengan cara Dekan Aeroangkasa pada waktu itu mempromosikan fakulti yang masih baharu di USM.
Lalu saya mengusiknya.
“Kalau kamu terpilih masuk ijazah perubatan, sudah tentu kita tidak akan bertemu. Kampus Perubatan USM terletak di Kubang Kerian, Kelantan.”
Beliau hanya tersenyum mendengar usikan saya.
Pada tahun 2005, selepas setahun kami bertunang di kampungnya, Kampung Serusup, Labuaya, Tuaran, Sabah, akhirnya kami disatukan sebagai suami isteri. Ramai ahli keluarga saya dari Pengkalan Chepa, Kelantan, datang ke Sabah untuk menghadiri majlis pertunangan dan perkahwinan kami.
Saya mempunyai sebelas orang adik-beradik, manakala isteri mempunyai enam belas orang adik-beradik. Ya, kami berdua berasal daripada keluarga yang sangat besar.
Hari ini, apabila ada orang terkejut mendengar saya mempunyai lima orang anak, kadangkala saya merasakan bahawa sayalah yang patut berasa malu. Mak dan ayah kami dahulu membesarkan anak yang jauh lebih ramai!
Ramai ahli keluarga saya berasa gembira kerana itulah kali pertama mereka menjejakkan kaki ke Sabah. Mereka bukan sahaja datang untuk menghadiri majlis pertunangan dan perkahwinan kami, malah berpeluang berjalan-jalan ke Kundasang dan beberapa tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu.
Alhamdulillah, kami berdua menjadi jambatan yang menghubungkan dua dunia yang dipisahkan oleh ribuan kilometer Laut China Selatan.
Seawal usia 16 tahun, saya sudah meninggalkan kampung untuk melanjutkan pelajaran. Selepas tamat belajar, saya terus berhijrah dari satu negeri ke negeri yang lain untuk bekerja, merantau, membina kerjaya dan akhirnya membina keluarga kecil kami sendiri.
Sebaik sahaja selesai majlis perkahwinan di Tuaran, Sabah, dan Kampung Tebing Tinggi, Pengkalan Chepa, Kelantan, kami kembali ke ladang sawit untuk memulakan kehidupan sebagai suami isteri.
Kami tidak berpeluang berbulan madu. Bukan kerana tidak mahu, tetapi ketika itu kami memang tidak mampu, ditambah pula dengan pelbagai kekangan yang perlu dihadapi. Kami mempunyai tanggungjawab dan kehidupan yang perlu dibina bersama.
Bermula tahun 2005 hinggalah awal tahun 2025, hampir dua puluh tahun saya merantau dan bekerja di Sabah dan Sarawak sebelum akhirnya berpindah ke Semenanjung Malaysia.
Ya, hampir dua dekad saya menghabiskan sebahagian besar kehidupan di Borneo. Itulah antara sebab saya memilih nama pena Borneo Rider.
Ironinya, setiap kali saya pulang ke kampung ketika musim perayaan, pasti ada saudara-mara yang mula bertanya.
“Ini siapa?”
“Ini anak siapa?”
“Ini anak yang mana satu?”
Kemudian, akan ada seseorang yang menjelaskan.
“Oh, yang duduk di Sabah itu!”
Ya, itulah saya.
Di Kelantan, anak-anak buah saya memanggil saya Pok Ju. Dan saya mempunyai ramai anak buah!
Selepas hampir dua puluh tahun merantau jauh dari kampung halaman, tidak hairanlah jika ada saudara-mara yang memerlukan sedikit bantuan untuk mengingati saya. Kehidupan telah membawa saya jauh dari tempat asal, tetapi hubungan dengan keluarga dan kampung halaman tetap menjadi sebahagian daripada diri saya.
Apabila menoleh ke belakang, perjalanan hidup saya bermula dari sebuah kampung di Kelantan, kemudian ke alam universiti di Pulau Pinang, seterusnya ke ladang-ladang sawit di Sabah dan Sarawak, sebelum akhirnya kembali ke Semenanjung Malaysia.
Sepanjang perjalanan itu, saya berkahwin dengan seorang wanita Sabah, membina keluarga sendiri dan menjadi sebahagian daripada dua keluarga besar yang dihubungkan oleh perkahwinan, kasih sayang dan perjalanan merentasi Laut China Selatan.
Itulah cerita saya hari ini.

No comments:
Post a Comment