Friday 29 March 2013

Ciri - ciri usahawan yang menepati ajaran Islam

Bersyukurlah kepada Allah,kerana dilahirkan islam.Bersyukurlah kepada Allah kerana diberikan rezeki menjalankan perniagaan.Mengerjakan perniagaan adalah amalan mulia dan dituntut dalam agama.Malah nabi saw adalah usahawan yang amanah,cemerlang dan menjadi tauladan yang baik.Setiap usahawan perlu menjadi usahawan yang menjalankan perniagaan dengan mematuhi ajaran agama dengan baik dalam kehidupan seharian dan perniagaan agarmenjadi usahawan yang benar-benar diredai Allah Maha Pencipta. Usahawan dan peniaga perlu mengetahui tentang ciri-ciri usahawan islam yang benar-benar menepati ajaran islam dan diakui oleh islam serta diredai Tuhan dan rasul-Nya.Antara ciri-ciri tersebut ialah:

1.Menunaikan solat lima waktu.
Usahawan perlu menunaikan solat lima waktu setiap hari.Solat adalah tiang agama yang perlu ditunaikan di mana sahaja berada.Ramai usahawan mengabaikan solat lima waktu kerana terlalu sibuk berniaga. Mementingkan wang sehingga mengabaikan solat.Usahawan tidak pernah memandang nasib pada masa hadapan iaitu akhirat.

Lihatlah berapa ramai usahawan yang menjalankan perniagaan di pasar malam,kedai-kedai,gedung perniagaan dan lain-lain leka serta cuai dalam menunaikan solat. Ketika azan berkumandang,usahawan sibuk menjalankan tugas dan mesyuarat demi mengejar keuntungan dan kekayaan.Meninggalkan solat adalah perkara biasa kepada segelintir usahawan. Apabila usahawan meninggalkan solat,ianya menunjukkan usahawan tidak memahami tujuan kehidupan dan pengertian ibadat kepada Allah. Dalam fikiran usahawan hanya wang dan harta. Usahawan yang mahu keredaan Tuhan dan rasul-Nya perlu menunaikan solat lima waktu ketika sibuk,susah atau senang.Bumi Malaysia yang luas dan kaya ini tidak kurang terdapat masjid,surau untuk kemudahan orang islam.Malah orang islam boleh menunaikan solat di mana sahaja,asalkan bersih. Meninggalkan solat kerana terlalu sibuk dengan perniagaan adalah alasan yang tidak diterima Allah di akhirat.

Manusia yang sentiasa berterima kasih kepada Allah ialah manusia yang menunaikan perintah Tuhan walau di mana pun berada.Menunaikan solat adalah kewajipan kepada orang islam yang mukallaf.Menunaikan solat bukan mengambil masa yang lama dan panjang. Luangkanlah masa mengerjakan solat.Jadilah usahawan yang diredai Allah dan nabi-Nya. Apalah guna mendapat rezeki yang banyak,memandu BMW,tinggal di banglo mewah,memiliki suami atau isteri yang cantik,mendapat anak-anak yang sihat, mampu melancong sana sini tetapi di dalam kubur nanti menerima pukulan mungkar dan nangkir, manakala akhirat kelah dihumban ke neraka. Itulah balasan usahawan yang mengabaikan solat.


2.Mementingkan rezeki halal.
Perniagaan mempunyai pelbagai cabang.Islam hanya menghalalkan segala jenis perniagaan yang bersih.Sikap usahawan yang tidak pernah mengambil berat isu halal haram adalah usahawan yang tidak mementingkan agama. Menjual dadah, arak, mengamalkan rasuah, judi, menipu, menyembunyikan aib produk,menjual produk tarikh luput, monopoli, menyorok barang adalah antara contoh perniagaan yang dilarang sama sekali.Namun segelintir usahawan mahu cepat kaya dan mahu mengambil jalan pintas.


Wujud juga sesetengah usahawan yang menjalankan perniagaan halal seperti membuka restoran dan kedai makan tetapi tidak mementingkan sumber yang halal. Ada yang menjual ayam yang tidak disembelih dengan syariat dan cara yang betul,tidak membasuh telur dengan bersih kemudian memegang dan membuat roti canai,menggunakan susu dan bahan minuman yang telah luput tarikh,menipu dalam kiraan harga, menjual makanan yang telah basi dan lain-lain. Segala perbuatan tersebut jelas menyebabkan rezeki yang diperolehi usahawan menjadi tidak halal walaupun asal perniagaan adalah halal.

Begitu juga usahawan yang menipu dalam timbangan dan sukatan kerana mahu mengaut lebih keuntungan.Ada juga usahawan yang menjual emas yang telah dicampur dan mendakwa ianya asli dan tulin. Pelbagai usaha dan langkah dilakukan usahawan untuk mengaut keuntungan tanpa mengira perbuatan tersebut adalah salah. Usahawan yang mahu mendapat keredaan Allah perlu menjalankan perniagaan dengan cara yang jujur, amanah, bersih dan suci. Usahawan yang mementingkan rezeki yang halal adalah usahawan yang diakui Tuhan sebagai usahawan yang taat dan mendapat balasan baik di akhirat nanti.

Janganlah mementingkan keuntungan sehingga mengabaikan faktor halal dan haram. Rezeki yang haram akan membawa usahawan ke neraka nanti. Berusahalah menjalankan perniagaan yang halal dan pastikan perniagaan mendapat berkat dan bersih.


3.Sentiasa benar.
Kebanyakan usahawan berpendapat jika seseorang mahu berjaya dalam perniagaan perlu belajar menjadi penipu dan pembohong.Sifat berbohong dan menipu akan melariskan perniagaan. Memang tidak dinafikan berbohong akan mudah melariskan jualan dan memajukan
perniagaan kerana pelanggan mudah percaya dan tertarik dengan apa yang dikatakan usahawan. Walaubagaimanapun sikap berbohong dan menipu adalah sikap yang dibenci oleh Allah.Islam tidak pernah menghalalkan perbuatan berbohong untuk melariskan perniagaan.

“Berkatalah benar walau pahit sekalipun”, begitulah sabda nabi. Dan sebuah hadis bermaksud “Benar itu membawa kepada kebenaran dan kebenaran itu membawa kepada syurga”. Kedua-dua hadis tersebut jelas menunjukkan kepentingan sifat benar. Usahawan yang mahu mendapat keredaan Tuhan perlu sentiasa benar dalam apa jua yang dilakukan samaada dalam kehidupan seharian atau perniagaan. Jangan mengharapkan jualan yang laris dengan sikap berbohong. Berbohong akan menyebabkan rezeki yang diperolehi menjadi haram dan tidak berkat. Matlamat usahawan islam ialah hala dan berkat. Berbohong untuk mendapatkan keuntungan dan kemajuan dalam perniagaan tidak membawa keberkatan dan keredaan Tuhan.
Usahawan perlu sentiasa benar dalam apa jua keadaan. Jangan mengikut teladan sesetengah usahawan yang suka berbohong kerana perbuatan tersebut akan membawa musibah kepada usahawan nanti.Sifat buruk tersebut patut tiada dalam hidup usahawan islam yang mahu cemerlang.

Sentiasalah benar dalam perniagaan. Jangan menipu dan berbohong kerana tamakkan keuntungan.Jangan jadikan rezeki itu haram dan tidak berkat. Jangan campakkan diri dalam kerosakan akibat berbohong dan berdusta.


4.Mengutamakan hak pengguna.
Usahawan yang diredai Allah dan nabi-Nya adalah usahawan yang menjalankan perniagaan bukan semata-mata mengaut keuntungan tetapi juga mementingkan hak pengguna.Usahawan yang menjual daging ayam yang tidak disembelih dengan betul dan menepati syariat ialah usahawan yang tidak menghormati hak pengguna. Usahawan yang menjual dengan harga terlampau tinggi adalah usahawan yang tidak menghormati pengguna. Usahawan yang memuji kualiti produk melebihi kualiti sebenar adalah tidak bertanggungjawab.Usahawan yang menjual produk tiruan adalah tidak bertanggungjawab. Usahawan yang menjual produk yang membahayakan pengguna adalah tidak bertanggungjawab.Usahawan yang menyembunykan aib produk adalah tidak bertanggungjawab.

Usahawan yang bertanggungjawab dan menjaga hak pengguna tidak akan melakukan sebarang perbuatan yang menyusahkan pengguna dan pelanggan. Ketamakkan sesetengah usahawan mencari keuntungan sehingga sanggup melakukan apa sahaja dalam perniagaan sehingga menyusahkan pengguna dan pelanggan. Malah ada syarikat besar mencipta dan menjual produk yang memberi pelbagai kesan sampingan kepada pengguna. Sebagai contoh, Viagra. Walaupun produk tersebut mampu memberi tenaga istimewa kepada lelaki tetapi telah banyak berlaku kematian dan serangan jantung kepada pengguna.Ini menunjukkan syarikat berkenaan tidak bertanggungjawab kepada pengguna.

Pelbagai jamu,pil kesihatan keluaran tempatan dan luar negara dijual dipasaran. Kebanyakan usahawan tidak mengendahkan keselamatan pengguna. Apa yang penting ialah keuntungan. Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan seperti mengharamkan produk yang berbahaya dan memberi kesan sampingan tetapi usahawandegil tetap mahu menjual dan boleh didapati di mana-mana dengan mudah.

Setiap manusia adalah pengguna.Begitulah juga dengan usahawan. Setiap usahawan perlu berhati-hati dalam perniagaan agar tidak melakukan perkara yang boleh menyusahkan pengguna.Usahawan yang mementingkan hak pengguna adalah usahawan yang diredai Tuhan.


5.Menunaikan zakat.
Islam adalah agama sederhana dan tidak menyusahkan umatnya. Zakat adalah rukun islam,namun ianya hanya diwajibkan kepada orang yang mampu sahaja. Apabila usahawan mampu dan layak mengeluarkan zakat,maka usahawan perlu mengeluarkan zakat. Wujud usahawan yang tidak menunaikan zakat walaupun layak. Alasannya ialah mahu menggunakan wang tersebut ke arah lain seperti melancong, membeli perhiasan,membeli barang kemas dan lain-lain. Usahawan degil merasa rugi mengeluarkan zakat walaupun tahu zakat itu wajib. Usahawan yang mahu keredaan Allah tidak akan mengabaikan zakat. Usahawan cemerlang akan memiliki akaun untung-rugi setiap tahun supaya dapat mengesan perniagaan. Mempunyai akaun akan membantu usahawan agar tahu sama ada layak atau tidak membayar zakat. Ketika zaman nabi masih hidup, wujud usahawan yang degil dan enggan membayar zakat walaupun tahu ianya wajib. Ini menunjukkan telah wujud usahawan tamak dan rakus ketika baginda masih hidup. Apa lagi pada zaman ini.

Zakat akan membersihkan harta dan memberi banyak manfaat kepada orang memerlukan seperti orang miskin, orang cacat, fakir dan lain-lain. Usahawan perlu mempunyai akaun kira perniagaan dan membayar zakat jika layak jika mahu menjadiusahawan cemerlang dan diredai Tuhan. Malah harta zakat akan menjadi saksi nanti diakhirat kepada usahawan.


6.Sentiasa bersyukur.
Kebiasaannya manusia akan gembira bila mendapat nikmat dan kecewa dan sedih apabila ditimpa kesusahan dan masalah.Begitulah dengan usahawan. Usahawan perlu belajar menjadi manusia bersyukur ketika susah dan senang. Usahawan perlu bersyukur ketika perniagaan menampakkan kemajuan dan tidak kecewa apabila mengalami kemerosotan. Usahawan yang bersyukur akan merasakan kemerosotan sebagai ujian dan dugaan dari Allah.

Menjadi usahawan yang bersyukur akan membersihkan usahawan daripada segala sifat keji dan hina seperti hasad dengki, sombong, takabbur, ego dan mementingkan diri sendiri. Sifat syukur juga akan mendidik usahawan menjadi manusia yang sentiasa merendah diri. Usahawan perlu sentiasa bersyukur agar diredai Allah dan nabi-Nya.Jangan hanya tahu bersyukur apabila mendapat kesenangan tetapi menyalahkan Tuhan apabila ditimpa kesusahan dan masalah.


7.Sentiasa bertaubat.
Tiada manusia yang bersih tanpa noda,tidak terkecuali usahawan.Bertaubat adalah jalan membersihkan diri.Manusia sering lalai dan lupa.Manusia sering ditipu oleh nafsu dan syaitan. Usahawan perlu sering bertaubat untuk membersihkan diri.Jangan jadi usahawan yang suka menipu dan melakukan perbuatan haram,kemudian bertaubat untuk menghalalkan harta perniagaan. Ianya taubat yang tidak bernilai di sisi Tuhan. Harta haram tetap haram.I anya tidak akan menjadi halal walau ribuan zikir taubat dilaungkan. Justeru usahawan perlu menjauhkan perbuatan dan cara perniagaan yang haram. Amalkan cara dan panduan perniagaan berlandaskan suruhan dan ajaran agama.


8.Menjaga perhubungan baik dengan manusia.
Usahawan banyak berinteraksi dengan pengguna dan pelanggan. Justeru usahawan perlu menjaga hubungan baik.Bukan sahaja bermatlamat keuntungan dalam perniagaan tetapi mahu mengekalkan silaturahim,persaudaraan dan kemanusiaan. Usahawan perlu menjauhkan sikap yang menyakiti manusia lain seperti menggunakan perkataan kesat, sindiran, penghinaan dan lain-lain. Usahawan juga tidak patut memandang rendah kepada manusia lain terutama orang miskin dan hina. Sikap sombong dan ego terutama berhadapan manusia serba kekurangan patut dijauhi. Lihatlah bagaimana kereta mewah menghimpit penunggang motosikal, begitulah sikap manusia ego dan tidak bertanggungjawab.

Usahawan perlu menjaga tingkah laku dan perbuatan agar tidak dibenci manusia lain. Profesion usahawan bukanlah peluang menunjukkan kehebatan dan kebanggaan tetapi adalah cara mencari rezeki halal dan mendapat keredaan Tuhan disamping menjaga hubungan baik dengan manusia.


9.Berjasa.
Sebuah hadis bermaksud “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling bermanfaat kepada manusia lain”.Justeru usahawan boleh menjadi manusia yang paling banyak berjasa kepada manusia lain kerana usahawan dilimpahkan rezeki yang lebih banyak berbanding manusia yang makan gaji. Pelbagai perbuatan baik boleh dilakukan usahawan jika mahu berjasa. Binalah perpustakaan persendirian di kawasan anda dan beri peluang pelajar dan orang ramai memanfaatkannya. Bantulah anak yatim dan pelajar miskin.Bantulah ibu atau bapa tunggal yang susah.

Binalah perhentian bas. Berilah sumbangan untuk membina dewan, surau, tempat permainan dan lain-lain. Terlalu banyak perkara dan benda boleh dilakukan usahawan jika mahu menjadi manusia berjasa. Usahawan perlu mengejar keuntungan dan kekayaan, namun usahawan perlu berjasa kepada negara dan manusia lain.Jangan sia-siakan kekayaan dan keuntungan. Jadilah
usahawan yang dikenang kerana kebaikan,bukan usahawan yang banyak menghabiskan harta keuntungan di tempat maksiat dan dosa.


10.Membantu usahawan lain.
Jika anda berjaya dan cemerlang dalam perniagaan,bersyukurlah kepada Allah. Buktikan kasih sayang anda kepada bangsa dan agama dengan membantu usahawan lain supaya berjaya seperti anda. Andai anda berpeluang dan mempunyai kelapangan, manfaatkan masa untuk memberi ceramah kepada usahawan terutama usahawan baru, menulis artikel tentang perniagaan di akhbar dan majalah, menulis buku tentang perniagaan. Berikanlah ilmu, kemahiran, pengalaman dan pengetahuan kepada usahawan lain. Ramai usahawan menunggu buku karangan usahawan terkenal seperti Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Halim Saad, Datok Saleh Sulong dan lain-lain.

Berikan idea dan pengalaman berguna kepada usahawan lain.Sekiranya tidak mampu membantu dengan wang ringgit,berikanlah ilmu.Ini berdasarkan sebuah pepatah cina yang bermaksud “Apabila seseorang meminta ikan, jangan beri ikan tetapi berilah pancing dan ajarkan dia memancing ”.

11.Menjauhi maksiat.
Usahawan perlu mengelakkan perbuatan dosa terutama sekali dosa-dosa besar. Melakukan pelbagai dosa dan maksiat akan menjadikan usahawan manusia yang tidak mencintai agama. Ramai usahawan menghabiskan masa bermain golf sehingga melupakan solat. Begitu juga ada yang berseronok dengan pelacur di negara jiran. Tidak kurang juga yang meminum arak, berjudi, mengamalkan sihir dan tangkal.

Pelbagai dosa dilakukan tanpa memikirkan implikasi di hari akhirat. Usahawan perlu menjauhi maksiat.Nikmat rezeki yang halal dan bersih tidak sepatutnya dibelanjakan ke jalan yang tidak baik dan merosakkan agama. Sayangi wang dan harta dan pastikan ia membawa ke arah kebaikan.

12.Tidak melakukan sabotaj.
Usahawan perlu mengelakkan perbuatan sabotaj kepada usahawan lain. Melakukan perbuatan sabotaj boleh merosakkan perniagaan orang lain dan menutup periuk nasi mereka. Usahawan yang mahu diredai Allah tidak akan melakukan perbuatan sabotaj dan meruntuhkan perniagaan orang lain. Hadapi segala masalah perniagaan dengan cara yang bersih dan beretika.

13.Membayar pinjaman.
Ramai usahawan mendapat peluang pinjaman dari pelbagai badan dan agensi kerajaan dan swasta.Usahawan perlu bijak memanfaatkan peluang pinjaman untuk membesarkan dan memajukan perniagaan dan berusaha melangsaikan pinjaman sebagaimana perjanjian. Masih ramai usahawan degil dan mementingkan diri sendiri. Ada yang sengaja melewatkan pembayaran pinjaman sedangkan mampu.Usahawan perlu membayar pinjaman demi memberi peluang usahawan lain merasa wang pinjaman membesarkan perniagaan. Demikianlah beberapa ciri usahawan yang menepati ajaran agama.

Usahawan islam perlu menjadi manusia yang benar-benar mendapat keredaan Tuhan dan rasul. Jangan jadi usahawan yang tamak,rakus,mementingkan diri,kaki maksiat dan dibenci manusia. Pastikan setiap langkah dalam perniagaan membawa kebaikan kepada diri dan keluarga. Pastikan perniagaan memberi banyak faedah kepada diri  sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara.


Didiklah diri menjadi usahawan yang maju dalam perniagaan dan mendapat keredaan Tuhan dan nabi-Nya.Keredaan Tuhan adalah harta dan bekalan yang amat berharga di akhirat nanti. Apalah guna kereta mewah, rumah banglo, emas permata……..ianya akan ditinggalkan. Yang kekal dan berguna kepada diri ialah keredaan Tuhan.

Sumber : Petikan Buku Usahawan Cemerlang

No comments:

Post a Comment