Sunday, 19 January 2014

Islam itu Adil

1. Antara prinsip Islam ialah adil kepada semua. Bukan sahaja kepada ummat manusia bahkan termasuk tumbuh - tumbuhan dan binatang. Ia menepati konsep Rahmatan Lil A'lamin ( Rahmat kepada sekelian Alam ). Adil di dalam Islam bukan suatu pilihan malah ia adalah satu kewajipan. Sebagaimana zalim itu diharamkan oleh Allah swt, demikianlah Adil itu diwajibkan oleh Allah swt.

Sabda Rasulullah saw sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.huma

مَنْ أَعانَ على خُصُوْمَةٍ بِظُلْمٍ أو يُعِينُ على ظُلمٍ لَمْ يَزَلْ في سَخَطِ اللهِ حتَّى يَنْزِعَ

"Sesiapa yang membantu persengketaan dengan cara zalim atau membantu kezaliman, maka ia senantiasa berada di bawah kemurkaan Allah swt sehinggalah dia meninggalkan perbuatan itu dan bertaubat.
(Riwayat Ibnu Majah)

Firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

(Surah Al Maidah: Ayat 8)

2. Setiap kita mestilah berlaku adil justeru itulah yang diajar oleh Islam, khasnya pemimpin. Tanggungjawab seorang pemimpin ialah memegang amanah dan urusan rakyat atau orang dipimpin oleh mereka. Maka adil adalah syarat utama menjadikan ia seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan di redhai oleh Allah swt. 

Sabda Rasulullah saw dari Abi Hurairah Rha.

((سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ)).ـ

“Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya kelak :

Pertama: Imam (pemimpin) yang adil.

Kedua: Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.

Ketiga: Insan yang hatinya terpaut dengan mesjid.

Keempat: Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.

Kelima: Insan yang di ajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata: ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’

Keenam: Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.

Ketujuh: Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya." 

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Adil bagi pihak rakyat pula ialah mentaati pemimpin yang adil dan bertaqwa serta bersedia menasihati andainya mereka menyeleweng dari amanah dan menindas rakyat yang dipimpin oleh mereka. 

Mengampu atau menyembunyikan kezaliman pemerintah juga satu kezaliman apatah lagi cenderung untuk bersama dengan kezaliman yang dilakukan. 

Firman Allah swt :

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. 
(Surah Hud: Ayat 113)

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat

No comments:

Post a Comment