Wednesday, 29 January 2025

Minda Islam

Golongan Ad-Dahriyyun menunjukkan pegangan mereka yang hanya percaya kepada kehidupan dunia. Mereka menganggap hidup hanyalah silih berganti antara mati dan hidup tanpa wujudnya pembalasan atau kehidupan akhirat. Pegangan ini amat bertentangan dengan ajaran agama Islam yang membawa keyakinan kepada alam ghaib dan kehidupan selepas mati.

Dalam sejarah pemikiran moden, golongan seperti ini disebut sebagai materialis. Mereka hanya percaya kepada benda-benda yang boleh diukur, dilihat, disentuh, dan dirasai oleh pancaindera. Materialisme inilah yang menjadi asas kepada pelbagai ideologi Barat seperti sekularisme, kapitalisme, sosialisme, dan liberalisme. Kesemua ideologi ini mempunyai satu persamaan besar, iaitu menafikan kewujudan akhirat dan perkara-perkara ghaib.

Salah satu contoh yang mudah difahami ialah dalam budaya Barat yang sering dipaparkan dalam media seperti filem dan siri televisyen. Contohnya, watak MacGyver dalam sebuah siri popular menampilkan seorang individu yang sangat bergantung kepada logik dan penjelasan saintifik. Segala sesuatu perlu diterangkan secara fizikal. Agama, bagaimanapun, membawa manusia melangkaui fizikal, menuju kepada dimensi metafizik yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera tetapi memerlukan keimanan.

Namun, pemikiran moden yang enggan menerima metafizik menjadikan mereka menolak konsep dosa, pahala, syurga, neraka, dan Tuhan. Mereka berkata, "Jika sesuatu itu tidak dapat dilihat, disentuh, atau dirasa, maka ia tidak wujud." Dengan cara ini, lahirlah pertentangan besar antara agama dan falsafah Barat. Ini kerana falsafah Barat dibina atas dasar materialisme, yang dari awal lagi menolak apa saja yang tidak dapat dijelaskan secara saintifik.

Kebejatan pemikiran ini membawa kepada kerosakan nilai kemanusiaan. Seperti perumpamaan orang Cina, "Ikan kalau busuk, ia busuk daripada kepala," apabila asas pemikiran rosak, keseluruhan sistem juga rosak. Contohnya, masyarakat Barat yang kaya kadangkala membuat keputusan pelik, seperti mewasiatkan harta kepada binatang peliharaan seperti anjing. Mereka percaya binatang itu lebih setia daripada manusia. Mereka lebih rela menubuhkan yayasan khusus untuk menjaga binatang daripada membantu manusia lain yang berada dalam kesusahan seperti di Palestin, Yaman, atau Syria.

Kepercayaan kepada binatang peliharaan melebihi manusia ini mencerminkan kehilangan sifat kemanusiaan. Inilah hasil pemikiran yang tidak bersandarkan agama. Apabila agama diketepikan, manusia akan hilang arah dan mewujudkan pelbagai kekacauan dalam kehidupan. Sebab itulah, agama perlu menjadi asas dalam membentuk cara hidup yang seimbang dan harmoni. Islam mengajarkan bahawa dunia ini hanya sementara, sedangkan akhirat adalah destinasi yang kekal. Tanpa iman, manusia mudah tenggelam dalam kebendaan dan kehilangan nilai sebenar kehidupan.

Post ini diambil dari FB Nik Amar, Speaker DUN Kelantan 
2025

No comments:

Post a Comment