Saturday, 18 January 2025

Membina kerjaya sebagai jurutera

  1. Baru – baru beberapa orang jurutera saya telah meletak jawatan. Dalam usaha untuk mencari jurutera baru, kami telah menemuduga beberapa calon. Daripada sesi temuduga tersebut, saya teringat kembali perjalanan awal saya memulakan kerja dalam industri sawit.
  2. Calon – calon jurutera muda ini telah membuatkan saya mengimbau kembali kenangan semasa berhijrah ke dunia asing sejak 20 puluhan tahun lepas. Memulakan kerjaya yang saya tidak pernah terfikir dalam hidup saya.
  3. Semoga catatan ini dapat memberikan sedikit gambaran perbezaan dunia industri 20 tahun lepas dan kini. Ada perkara telah berubah, namun ada perkara konsepnya masih sama. 
  4. Setelah tamat belajar di USM pada tahun 2003, saya terus mendapat kerja di Pulau Pinang dalam industri pembuatan besi. Saya tidak pernah tahu istilah safety semasa memulakan kerjaya pada masa itu. Dalam tempoh tiga bulan, saya mengalami dua kemalangan dan disuruh berhenti oleh pengurus. Saya masih ingat kata - kata production manager kepada saya, "you are not belong here".
  5. Duit gaji dan claim SOCSO saya sempat simpan dan kumpul untuk membeli baju majlis graduasi pada bulan ogos 2003 pada tahun yang sama.
  6. Selepas majlis graduasi, saya dipujuk oleh ibu saya untuk pulang ke kampung. Di kampung saya membantu ibu membina tapak gerai untuk menjual ayam segar. Abang saya baru berkahwin dan mertua seorang pembekal ayam segar. Mengambil peluang itu, ibu saya membina gerai dan mula menjual ayam segar. Hari ini, tapak tersebut telah terbina sebuah kedai runcit dan dijaga oleh adik bongsu saya. Ibu saya selama puluhan tahun, berulang – alik ke Pasar Siti Khadijah untuk menjual pelbagai hasil termasuk telur itik masin demi pendapatan keluarga. Peluang untuk berniaga di sebelah rumah, merupakan sesuatu yang amat bermakna kepada keluarga saya.
  7. Selepas gerai siap dibina dan perniagan dimulakan, saya meneruskan usaha untuk mencari kerja. Suratkhabar The Star setiap minggu kedua hari sabtu tidak ketinggalan dibeli dan permohonan dipos ke Syarikat tersebut. Cover letter dan resume, tiga muka surat. Hampir satu rim habis untuk permohonan kerja.
  8. Pada masa itu, sebuah perumahan baru dibuka di hadapan rumah. Saya sempat menjadi buruh kasar beberapa bulan dan mendapat gaji harian.
  9. Tidak lama selepas itu, saya mendapat tawaran kerja di sebuah syarikat perabut. Tuan punya syarikat ingin membuka syarikat baru untuk pekhidmatan servis kapal dan boiler. Sebelum mendapat lesen untuk operasi tersebut, saya disuruh untuk menjual aircond dan mendapat projek servis aircond daripada jabatan – jabatan Kerajaan di sekitar bandar Kota Bharu. Jawatan saya pada masa itu adalah Sales Engineer dengan gaji RM700 sebulan. Maka bermulalah tugas saya dalam bidang pemasaran. Boleh dikatakan semua jabatan Kerajaan di bandar Kota Bharu telah saya pergi dan jumpa dengan pelbagai jenis manusia.
  10. Setelah hamper tiga bulan ke hulu dan ke hilir mencari projek, saya telah dipanggil untuk temuduga di beberapa syarikat termasuk di Kuala Lumpur. Setiap pengalaman sesi temuduga memberikan pengalaman yang menarik untuk sesi yang lain. Penghubung tahun 2003, saya telah mendapat tawaran kerja di sebuah kilang pembuatan CD, DVD di Subang Jaya. Setelah memohon restu daripada ibu saya, maka saya pun mula berhijrah ke Subang Jaya. Menumpang tinggal di bilik rakan universiti di sebuah flat Ara Damansara. Dengan gaji RM1600 sebulan, saya tinggal di bandaraya, cukup makan dan pada masa yang sama masih juga mencari peluang kerja di tempat lain. Dengan berbekalkan motorsikal EX5 yang digunakan sejak zaman universiti, saya pergi kerja dan pergi temuduga.
  11. Pada suatu hari, rakan sekolah dan universiti saya menawarkan kerja di sebuah kilang sawit di Sabah. Saya hantar resume dan telah dipanggil untuk sesi temuduga. Dengan motorsikal EX5, saya menunggang dan sampai ke IOI Resort untuk sesi temuduga. 
  12. Pada bulan Feb 2004, saya telah dihubungi semula dan ditawarkan kerja di sebuah kilang sawit IOI di Lahad Datu, Sabah. Saya tidak pernah sampai ke bumi Borneo dan tidak pernah tinggal di ladang sawit. Setelah berbincang dengan bakal isteri saya dan memaklumkan kepada ibu, maka saya pun pulang ke kampung dan bergerak menuju ke Sabah. Adakah keputusan yang saya buat ini disebabkan bakal isteri saya orang Sabah? Tidak. Sebab utamanya adalah perasaan saya ingin meneroka tempat baru, pengalaman baru dan suruhan agama supaya berhijrah, berkelana. Ayat 13 Surah Al Hujurat pasti ada tujuannya tersendiri. Sejak memasukki MRSM Kuala Terengganu, saya telah mula berjumpa dengan ramai rakan sekolah dari negeri yang berbeza. Pengalaman ini amat menarik hati saya. Pengalaman berhijrah ke tempat asing adalah sesuatu yang bernilai dan amat berguna. 
  13. Perjalanan ke Lahad Datu memerlukan saya bermalam di Kota Kinabalu. Pada masa itu saya mengambil peluang untuk singgah di rumah bakal mertua dan bermalam di Tuaran. Keesokannya, saya meneruskan penerbangan ke Lahad Datu. Apabila sampai ke Lapangan Terbang Lahad Lahad Datu, saya telah dijemput oleh pemandu kilang. Dari situ, kami meneruskan perjalan ke ladang melalui Jalan Jeroco selama hampir tiga jam. Jalan berbatu, penuh habuk. Dikelilingi ladang sawit sepanjang jalan.
  14. Saya tidak biasa dengan kehidupan ladang sawit. Pengalaman yang ada cuma semasa kem tahunan PALAPES bermalam dan tidur di ladang sawit dan ladang getah. Beberapa kali tertidur dan terjaga akibat terhantuk kepala di cermin kereta kerana kepenatan.
  15. Sepanjang perjalanan tersebut, dalam hati saya bertanya, “Adakah ini tempat yang aku akan habiskan dalam tempoh beberapa tahun akan datang?. Melihat kepada deretan pokok – pokok sawit dan perjalanan yang semakin jauh dari bandar, cukup membuatkan hati merasa sayu. Lebih lagi apabila teringat jarak dan jauhnya dengan keluarga di kampung.
  16. Apabila sampai di kilang, saya dibawa berjumpa dengan pengurus kilang. Soalan pertama ditanya kepada saya adalah, “Berapa lama kamu akan kerja di sini?”. Hari – hari berikutnya, saya memulakan kerjaya di industri sawit. Belajar bertatih, berjalan, mengeja dan membaca. Alhamdulillah, di situ matanya lebah, maka banyaklah madu yang saya jumpa. Ramai rakan – rakan sekerja saya adalah mentor – mentor yang hebat. Mereka tidak jemu memberi nasihat dan dorongan kepada saya tanpa henti. Siang dan malam, merekalah keluarga dan rakan saya. Dalam tempoh tiga bulan pertama bersama  - sama mereka, saya mula mendapat gambaran jalan – jalan yang bakal saya tempuhi. Dari sudut lain, memasuki ladang sawit yang terpencil dan jarak 90km dari Bandar Lahad Datu adalah suatu perjalanan tanpa simpang dan U Turn. Tiada lagi peluang terbuka untuk mencari kerja dan peluang tempat lain.
  17. Dalam tempoh tiga bulan pertama, saya mendapat kemalangan ketika cuba untuk membaiki main gate yang rosak. Roller dan bearing telah rosak dan melihat kepada kesukaran security untuk menolaknya, saya mengambil keputusan untuk mengarahkan maintenance team untuk membaikinya. Panggil shovel untuk angkat dan saya periksa guna jari. Gate tergelincir dan jari saya luka, patah. Saya dimasukkan ke Hospital Lahad Datu dan ditahan selama lima hari. Semasa tempoh tersebut, saya menyembunyikan semuanya dari pengentahuan keluarga untuk mengelakkan mereka risau tentang saya. Maka, mental saya amat teruji semasa itu. Di bumi asing. Keseorangan. Kesakitan. Tidak tahan dengan itu, saya memohon untuk pulang ke ladang lebih awal. Saya diberikan dua minggu kerja. Sampai ke ladang, saya terus masuk kilang demi untuk mengelakkan mental lebih terluka. Sekurangnya kilang dan rakan sekerja saya boleh mengelakkan saya lebih parah sakit mental.
  18. Jika gaji kilang pertama serta claim SOCSO saya boleh simpan dan guna untuk beli baju graduasi, kali ini duit claim SOCSO kemalangan saya simpan dan guna untuk buat hantaran perkhawinan. Dalam tempoh sembilan bulan bekerja, saya bertunang. Beberapa bulan berikutnya iaitu pada bulan Jun 2005, saya berkahwin. Isteri saya kata, duit hantaran digunakan untuk beli tiket ahli keluarganya ke Kelantan. Cuti beberapa hari kenduri di Tuaran dan seterusnya balik ke Kelantan. Perjalanan dua jarak yang jauh dan setelah cuti tamat, saya membawa isteri masuk ke ladang sawit, tinggal di sana dan memulakan kehidupan keluarga.
  19. Tidak dapat dinafikan, isteri saya amat banyak membantu saya sepanjang perjalanan kerjaya hingga kini. 1001 pengorbanan telah beliau lakukan dan mengikuti saya ke mana sahaja saya pergi disebabkan kerja. Walau pun bergelar suri rumah sepenuh masa, beliau sebenarnya telah berkerja keras demia keluarga kami. Kesemua lima anak - anak kami telah dididik oleh beliau dengan penuh kasih sayang. Jika ingin melihat kehebatan beliau, maka lihatlah anak - anak kami yang cemerlang dalam fasa sekolah hingga kini. Alhamdulillah.
  20. Jika sebelum ini, saya boleh cari kerja di tempat lain. Namun apabila sudah sampai di kem (nama panggilan untuk ladang sawit), peluang untuk mencari kerja tempat lain telah tertutup. Bukan senang nak keluar cari kerja, nak keluar ke bandar pun susah. Saya mula memujuk diri – sendiri, apa kata kalau aku cuba dulu setahun. Kita tengok apa hasilnya. Maka saya pun teruskan perjuangan selama setahun. Selepas setahun, saya katakan lagi, apa kata kalau cuba lagi untuk tahun ke tiga? Tahun ke lima?
  21. Mental saya kekadang teruji. Balik rumah keseorangan. Sebelum tidur mendengar cenkerik yang dikelilingi pokok sawit keliling rumah. Pelbagai aktiviti saya lakukang demi untuk merawat mental keseorang sendirian di rumah. Balik kerja, saya tanam pokok bunga tepi rumah. Maklumlah, rumah tidak TV dan Astro disebabkan rakan serumah telah berpindah ke Kilang Pamol selepas tiga bulan bersama. Pada masa itu saya memahami pentingnya untuk bersosial sesama warga kilang. 
  22. Tahun pertama, tahun kedua dan tahun ketiga. Saya lulus sijil jurutera stim gred dua. Saya menyambung Diploma MPOB – DIPOM 2007. Tahun ketiga, saya telah diberikan amanah dan kepercayaan untuk menjaga kilang sawit berkapasiti 90 mt/hr. Pada tahun tersebut, kilang telah memproses sebanyak 457,000 buah sawit. Masuk tahun ke empat, cabaran semakin besar. Pada tahun 2008, saya berhenti dan menyertai sebuah syarikat baru di Miri, Sarawak. Beberapa tahun berikutnya saya lulus jurutera stim gred 1 dan jurutera enjin pembakaran dalam gred 1. Saya menyambung Pelajaran peringkat MBA dan tamat pada tahun 2014. Dari Miri, Sarawak ke Sandakan, Sabah dengan jawatan pengurus kilang. Kembali semua ke Lahad Datu. Pada tahun berikutnya, saya menyertai sebuah kilang penapis sawit dan solvent extraction plant. Sebelum COVID 19 bermula, saya menyertai syarikat baru di Nilai, kemudian ke Pasir Gudang dan kembali semula ke Lahad Datu, Sabah. Turun dan naik, suka dan duka, bumi dan langit, panas dan hujan, taufan serta petir semua telah dilalui.
  23. Sepanjang kerjaya, saya juga pernah menjadi jurulatih, tutor dan pengajar di beberapa kolej swasta. Saya juga pernah menjadi jurutera pelawat untuk boiler di sebuah syarikat. Dengan pengalaman hampir 20 tahun dalam industri dan 18 tahun sebagai pengurus, saya memandang semula ke belakang. Adakah ini jalan yang saya mahukan sejak keluar dari universiti? Tidak. Adakah ini yang saya mahukan semasa mula sampai ke bumi Sabah? Tidak. Saya hanya mengikut gerak hati dan kaki yang melangkah. Ya, ada pelbagai sebab, namun ini adalah jalan yang telah Allah takdirkan untuk saya. 
  24. Saya tidak merancang semua ini. Kadang – kadang kaki yang melangkah. Rezeki Tuhan telah tuliskan. Peluang yang Allah telah bukakan. Saya tidak pernah jangka akan berada di bumi Borneo selama 20 tahun. Saya juga tidak jangka akan menjadi jurutera stim dan membina minat mendalam dalam bidang boiler, industri sawit dan mencintai pengurusan. 
  25. Apabila mengenang kembali sifat asal saya dari kecil hingga keluar universiti (hingga kini), saya sebenarnya seorang introvert. Tidak suka bercakap dan tidak suka bergaul. Abang saya semasa kecil adalah musuh yang selalu dijadikan orang untuk bergaduh disebabkan dia suka mengusik saya. Keluarga saya cukup kenal saya yang sangat sensitif dan suka merajuk. Semasa di universiti, saya pernah meletak harapan untuk suatu masa nanti akan cari tempat kerja yang tidak mempunyai ramai manusia. Sebab saya malas menguruskan manusia dan melayan kareneh mereka. Namun, Allah telah titipkan jalan yang berbeza untuk saya tempoh. Masuk sahaja kilang sawit, saya disuruh untuk bercakap setiap hari di perhimpunan pagi. Saya disuruh menguruskan staff dalam kumpulan kecil untuk sesuatu projek. Masuk tahun ketiga, saya telah disuruh untuk menjaga kilang dengan kapasiti 120 orang pekerja. Kesemua ini adalah pendedahan nyata yang banyak mengajar saya. Komunikasi. Kepimpinan. Mental. Pengurusan. Mentor. Yang banyak membina diri saya hari ini. Saya telah berubah mengikut keadaan, masa dan pengalaman.
  26. Sepanjang perjalanan hidup dan kerjaya, saya banyak jumpa orang. Ada orang baik dan sebalik. Mana yang baik, saya minta nasihat, ikut dan buat. Dan buat lagi. Yang tidak baik, saya tolak jauh dan jadikan sempadan. Maka, inilah saya hari ini.
  27. Banyak silap telah saya buat, namun sepanjang perjalanan tersebut, Allah hadirkan manusia untuk betulkan kita, maka kita ikut yang baik. Saya pernah disuruh berhenti kerja. Saya pernah dikhianati bos sendiri. Saya pernah disaman sejuta ringgit. Saya pernah diletakkan dalam percubaan selama enam bulan (bakal dibuang jika tidak perform). Saya pernah depress beberapa tahun. Saya juga pernah kehilangan rumah untuk membayar kos guaman. Saya juga pernah disaman dan masuk ke dalam penjara (walau pun beberapa jam). Namun, saya juga mempunyai 1001 kenangan manis, kejayaan dan kegemilangan yang saya perolehi sepanjang jalan onak dan duri. Maka, nikmat mana lagi yang saya mahu dustakan. 
  28. Berumur 46 tahun pada tahun 2025, perjalanan saya masih panjang. Dan bulan depan, saya akan berhijrah sekali lagi. Kali ini ke bumi Indonesia. Buat pertama kalinya berkerja di luar negara.

Saya tidak sabar untuk memulakan lebaran baru di tempat baru. Apa ceritanya nanti? Doakan saya.



1 comment:

  1. Anonymous16/1/25

    Suatu kisah yg sungguh memberi inspirasi..
    Tahniah Sahabat..
    Moga Allah permudahkan jalanmu Borneo Rider..

    ReplyDelete