Kem...
Ia adalah istilah digunakan terutama di sebelah Pantai Timur Sabah merujuk kepada perumahan ataupun kuarters tempat tinggal di dalam kawasan ladang kelapa sawit. Orang kem pula gelaran diberi kepada warganya.
Kami sekeluarga pernah menjadi sebahagian daripada warga kem.
Kem pertama menjadi tempat tinggal kami ialah Ladang Morisem. Kemudian kami berpindah ke ladang sebelah iaitu Ladang Leepang.
Setelah itu, rezeki membawa kami ke Ladang Loagan Bunut. Jauh berpindah ke negeri sebelah. Setelah empat tahun, kembali semula ke negeri di bawah bayu dan duduk di kem Ladang Nak pula.
Dari sana, kami berpindah ke Kompleks Segamaha sebelum menjadi warga kota sepenuhnya.
Si Kakak, Si Abang dan Si Adik berpeluang merasa menjadi warga kem. Perbezaan komuniti di situ jauh berbeza jika dibandingkan di bandar.
Banyak aktiviti dibuat bersama seluruh warga. Bagi anak² pula, mereka mudah mendapat ramai kawan seusia. Alam sekitar menjadi taman permainan mereka.
Rutin kebiasaan warga kem ialah sekali sebulan akan keluar berbelanja di bandar, membeli barang keperluan rumah dan lain²nya. Waktu itu sememangnya waktu yang ditunggu² bagi mereka.
Selain membeli belah, ia juga adalah waktu untuk mereka keluar menikmati suasana lain daripada kebiasaan, merasai hiruk pikuk sibuknya kota.
Mereka suka membuat majlis makan² dan kenduri kendara, menjemput ramai orang datang ke rumah. Ia seakan suatu terapi berkumpulan, saling bergaul dan bermesra secara santai.
Aktiviti sukan tidak perlu disebut. Bola tampar, bola sepak antaranya. Setiap petang ada sahaja lapangan menjadi tempat bermain. Begitu juga aktiviti riadah yang lain seperti memancing dan juga mandi sungai.
Perkara lain yang mereka sukai juga apabila adanya aktiviti jualan seperti pasar bulanan yang kebiasaannya dijalankan sekali sebulan.
Aktiviti seperti ini melibatkan peniaga² yang datang daripada luar seperti pemborong dari bandar. Di mana² bahagian estet sekalipun ia diadakan pasti ramai yang akan berkunjung yang datang dari pelusuk kem.
Apabila tiba bulan Ramadan, suasana begitu meriah apatah lagi ketika semakin mendekati Hari Raya. Mungkin kerana majoriti warga di situ adalah perantau. Kerana itulah hubungan sesama kami seumpama sebuah keluarga yang besar.
Seronok. Kenangan indah yang pasti sukar untuk dilupakan.
Si Baby dan Baby Umar tidak sempat melaluinya. Namun Ibu yakin jika berpeluang, mereka juga pasti akan menyukainya.
Tiada gajet. Tiada teknologi canggih. Tanah, batu, serangga dan dedaunan menjadi alat permainan. Bebas berlari² di luar rumah tanpa perlu pemantauan sepanjang masa.
Ibu tidak risau banyak, membiarkan sahaja mereka bebas bermain. Malah Ibu juga seronok dapat melakukan salah satu antara hobi kesukaan Ibu iaitu berkebun, di atas tanah subur beserta baja organik percuma tanpa had bekalan.
Sungguh... rindu suasana itu.
Sekadar mengimbau kembali pengalaman menjadi warga kem memandangkan ia menjadi topik perbualan warga net di Lahad Datu sejak sehari dua ini. Hanya yang pernah menjadi sebahagian daripadanya sahaja yang akan faham.
📷 Si Abang dan Si Kakak semasa masih belum bersekolah bermain di laman kuarters perumahan eksekutif.
#DiariSeorangIbu
#FamilyOfZM
No comments:
Post a Comment