Hari ini aku menerima seorang jurutera graduan baharu di kilang. Baru tamat pengajian pada bulan November, dan menyertai kami pada bulan Disember. Seperti kebiasaan, kami mulakan dengan sesi induksi — memperkenalkan operasi syarikat, budaya kerja, keselamatan, serta tanggungjawab yang bakal digalas.
Saat aku bercakap kepadanya, fikiran aku tiba-tiba melayang jauh ke belakang.
24 tahun dahulu, akulah orang yang berada di tempat itu.
Sebaik sahaja tamat pengajian ijazah kejuruteraan mekanikal, aku terus mencari peluang kerja. Banyak sebabnya. Bertahun-tahun belajar, bertahun-tahun bergantung kepada ibu bapa untuk perbelanjaan. Sampai masanya aku, sebagai seorang dewasa, berdiri di atas kaki sendiri — mencari rezeki, membalas jasa semua yang pernah berbakti, dan merasai sendiri duit hasil titik peluh sendiri.
Aku memulakan kerjaya di beberapa kilang pembuatan — di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Setiap tempat memberi pelajaran yang berbeza. Namun, takdir membawa aku ke satu titik perubahan besar dalam hidup.
Aku menerima tawaran untuk menyertai industri sawit di Lahad Datu, Sabah — sebagai kadet jurutera.
Masuk ke ladang sawit ketika itu, aku ibarat sebuah bekas kosong. Kosong yang menanti untuk diisi dengan ilmu, pengalaman, kesabaran, ketahanan dan bekal hidup untuk puluhan tahun mendatang. Aku datang dengan semangat yang penuh, seolah-olah membuka helaian baharu — syarikat baharu, tempat baharu, semangat baharu dan jiwa yang baharu.
Aku memulakan kerjaya itu pada bulan Mac 2004.
Masuk bulan ketiga, sekitar Mei, mula tersebar berita bahawa dua rakan senior — seorang eksekutif produksi dan seorang eksekutif teknikal — bakal berpindah mengikut pengurus ke sebuah kilang baharu di Pamol, Sugut. Kilang yang baru dibeli oleh syarikat. Pembelian yang cukup besar dan menjadi bualan kerana ia melibatkan sebuah syarikat tempatan mengambil alih entiti milik syarikat Eropah.
Pada suatu pagi, selepas rutin perhimpunan harian, aku meminta rakan-rakan untuk bergambar. Kami berlima. Hanya pengurus kilang yang tiada ketika itu.
Aku ambil gambar menggunakan kamera yang masih menggunakan filem — kamera yang perlu dicuci dahulu untuk melihat hasilnya. Salah satu sebab aku bersungguh mahu mengambil gambar itu ialah kerana bakal isteriku pada waktu itu sangat ingin melihat suasana tempat kerja baharuku. Dia ingin tahu di mana aku mencari rezeki, dengan siapa aku bekerja, dan dalam dunia apa aku sedang membina masa depan.
Hari ini, apabila aku memandang jurutera graduan baharu itu, kenangan itu datang kembali dengan begitu jelas. Aku nampak diriku sendiri — seorang jurutera muda yang tidak tahu apa-apa, tetapi datang dengan harapan yang besar.
Siapa sangka, langkah kecil yang aku ambil 24 tahun dahulu, langkah pertama sebagai seorang jurutera di kilang, akhirnya membawa aku ke luar negara, masih setia dalam industri sawit, masih belajar, masih berkhidmat, dan masih berdiri dengan rasa syukur.
Untuk jurutera muda yang baru melangkah masuk ke dunia ini:
jangan risau jika hari ini kamu rasa kosong. Bekas kosong itu akan diisi — dengan kerja keras, kesilapan, pengalaman, dan doa. Yang penting, jangan berhenti melangkah.
Kerana kamu tidak tahu, langkah hari ini mungkin sedang membina cerita hidup kamu untuk 20 atau 30 tahun akan datang.
#anekdotkerjaya #anekdotkehidupan

No comments:
Post a Comment