Balik Kampung Raya – Antara Hati, Jarak dan Kemampuan
Setiap kali menjelang Hari Raya, satu soalan yang sering muncul dalam keluarga kami: “Tahun ini balik kampung mana?”
Saya orang Kelantan, isteri pula berasal dari Tuaran, Sabah. Sepanjang perjalanan kerjaya, kami pernah menetap di pelbagai tempat — Lahad Datu, Miri, Sandakan, Nilai, Pasir Gudang, dan akhirnya kembali semula ke Sabah. Kini keluarga menetap di Negeri Sembilan.
Jadi, setiap kali raya menjelma, persoalan pulang ke kampung bukan sekadar soal pilihan… tetapi soal jarak, masa dan kemampuan.
Semasa awal perkahwinan, ketika kami masih berdua, saya pernah berkata:
“Senang saja… kita balik kampung ikut giliran.”
Tetapi realitinya tidak semudah kata-kata.
Apabila jarak memisahkan Semenanjung Malaysia dan Sabah, kos perjalanan bukan lagi ratusan ringgit — tetapi boleh mencecah ribuan ringgit. Tambahan pula apabila anak semakin bertambah, dari seorang ke dua, dari dua ke tiga… harga tiket kapal terbang juga semakin “membesar” bersama mereka.
Lebih mencabar, penerbangan pula jarang direct dari Lahad Datu ke Kelantan. Kadang-kadang perlu transit di Kuala Lumpur. Walaupun tiket ditempah awal, harga tetap boleh melonjak dua atau tiga kali ganda menjelang musim raya.
Akhirnya, balik kampung setiap kali raya menjadi satu keputusan yang perlu difikirkan dengan sangat teliti.
Ada masa saya menggunakan peruntukan perjalanan syarikat untuk pulang beraya kerana kosnya yang sangat tinggi. Namun ada juga ketika harga tiket terlalu mahal sehingga saya sendiri tidak sanggup untuk pulang.
Jika berada di Sabah, biasanya kami akan balik ke Tuaran, kerana perjalanan darat lebih murah berbanding terbang merentas Laut China Selatan.
Ada juga tahun-tahun tertentu, kerana kekangan kerja, kami tidak pulang ke mana-mana. Raya disambut sederhana di Lahad Datu bersama keluarga kecil kami. Hari raya diisi dengan menziarahi rakan-rakan dan kenalan di sana.
Tahun ini, memandangkan keluarga menetap di Negeri Sembilan, besar kemungkinan kami akan pulang ke Kota Bharu. Untuk pulang ke Tuaran pula, bajet masih belum mengizinkan.
Hakikatnya, tidak semua yang kita inginkan mampu kita tunaikan.
Faktor kewangan dan kekangan kerja sering menjadi penentu kepada setiap keputusan.
Namun satu perkara yang pasti…
Kedua-dua belah keluarga sentiasa menantikan kepulangan kami.
Apabila kami pulang, suasana rumah berubah menjadi lebih meriah. Bukan kerana kami istimewa, tetapi kerana kami yang paling jauh dari mereka semua.
Anak-anak pula pastinya paling gembira — dapat bertemu sepupu sepapat, bermain tanpa henti dari pagi hingga malam.
Dan yang paling bahagia tentunya ibu dan ayah, apabila dapat melihat anak cucu pulang memeriahkan Hari Raya.
Jadi jika ditanya lagi:
“Tahun ini balik kampung mana?”
Jawapannya mudah.
Tanya dulu duit dalam poket.
Kalau tak cukup, tak perlu paksa diri untuk balik mana-mana.
Kalau ada rezeki lebih, baliklah ikut giliran.
Kalau bajet sekadar cukup makan, pulanglah ke kampung yang paling dekat.
Panduan ini khas untuk pasangan yang dipisahkan oleh Semenanjung Malaysia dan Kepulauan Borneo.
Kalau duduk sebelah rumah pun masih bergaduh nak balik kampung mana…
Memang kena hempuk dengan alu lesung lah jawabnya. 😄
#BalikKampungRaya
#CeritaPerantau
#KeluargaDanPengorbanan
#RayaDiPerantauan
#SabahKelantan
#AnakPerantau
#RealitiKehidupan
#SyukurApaAdanya
#KeluargaBahagia
#Aidilfitri

No comments:
Post a Comment