Thursday, 11 October 2012

Berita Harian: Ternak lembu, kambing guna kandang bertingkat


Graduan kolej ceburi bidang ternakan secara komersial guna kaedah moden hasilkan daging berkualiti

TUARAN: Ketika pemuda lain seusianya sibuk mencari kehidupan di bandar, seorang anak muda berkelulusan bidang telekomunikasi dari sebuah kolej sanggup bersahabat dengan kambing dan lembu yang diternaknya secara komersial di daerah ini sejak Mei 2004.

Tiga tahun berlalu, Ridzuan Lassim, 33, kini mampu menarik nafas lega kerana segala usaha dan pengorbanannya selama ini berbaloi dengan hasil yang dinikmatinya sekarang.Kejayaan itu bukan saja membanggakan diri dan keluarganya, malah turut dikongsi bersama masyarakat yang berminat mengetahui rahsia di sebalik pencapaian anak muda berwawasan jauh itu.Ridzuan yang belum berumah tangga menjalankan penternakan kambing dan lembu secara besar-besaran itu di Jalan Pantai Dalit, Tuaran, dan aset perniagaannya kini mencecah RM250,000.Beliau adalah pengusaha ternakan moden pertama di Sabah menggunakan kaedah kandang kambing bertingkat hingga menarik minat dan perhatian ramai penternak lain, selain agensi kerajaan berkaitan."Kaedah menggunakan kandang bertingkat yang mungkin tidak pernah terlintas di fikiran penternak lain, berupaya menempatkan lebih 1,500 kambing baka tempatan dan luar negara untuk menghasilkan daging kambing berkualiti."Saya bangga dengan kejayaan kaedah itu dalam bidang penternakan kambing di ladang ini dan saya harap usaha ini akan menjadi ikutan penternak Bumiputera lain yang ingin berjaya dalam bidang sama," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.Ridzuan mewarisi kebolehan berniaga daripada bapanya, Lassim Abdul Rahman, 68, seorang usahawan Bumiputera berjaya di negeri ini.Terbaru, kaedah ternakan kambing menggunakan kandang bertingkat itu menarik perhatian Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr Zulkifli Idris, yang meluangkan masa melawat kemudahan itu.Kandang kambing berkenaan mengandungi satu blok kandang bertingkat dan empat blok kandang biasa, menempatkan baka kambing import 'feral' dan 'boer' dari Australia; 'japnapari' dari Sarawak serta baka kambing tempatan iaitu 'katjang'.Projek ternakan kambing itu dimulakan dengan 250 baka kambing pemberian Jabatan Haiwan dan Perusahaan Ternak menerusi program tranfomasi pada Mei 2004.Beliau berkata, kadar kelahiran kambing di kandang itu ialah 120 peratus manakala kematian pula lapan peratus, menggunakan pembiayaan sendiri sehingga berjaya mendapat anugerah khas Q Industri Ternakan Sabah 2006.Perusahaan ternakan kambing itu diselenggara menggunakan sistem pengurusan 'fid lot' dengan perbelanjaan bulanan lebih RM20,000, membabitkan 12 pekerja termasuk di ladang ternakan lembu tenusunya.Ridzuan mengakui hasil menternak kambing tidak mampu menampung permintaan pasaran tempatan yang meningkat setiap bulan walaupun jumlah haiwan itu bertambah dari semasa ke semasa.Daging kambing bersih dijual RM20 sekilogram, manakala kambing hidup pula berharga RM1,000 sekor. Sebanyak 20 hingga 30 ekor kambing mampu dijual setiap bulan.Selain kambing, beliau turut menternak lembu tenusu. Bermula dengan 40 baka sumbangan Jabatan Haiwan dan Perusahaan Ternak, bilangannya kini melebihi 400 ekor bagi menghasilkan lebih 600 liter susu sehari."Untuk memudahkan kerja memerah susu lembu, ladang ini dilengkapi peralatan canggih bernilai lebih RM100,000, sekali gus menjadikannya perusahaan termoden di Tuaran," katanya.Susu lembu segar dari ladang itu dibekalkan kepada Jabatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Tuaran untuk diproses dan dijual.Ridzuan berkata, kambing dan lembu di ladang itu diberi makan baja dan rumput gajah dua kali sehari bagi memastikan pembesarannya terjaga dan mengikut kehendak sebelum boleh dijual dan diperah susunya.Anak muda itu turut menyimpan hasrat membesarkan perusahaan ternakan kambing dan lembunya bagi memenuhi permintaan pasaran luar negara pada masa depan.Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran, Abdul Kassim Razali, berkata perusahaan yang dijalankan Ridzuan itu bukan saja membanggakan PPK, malah boleh menjadi pendorong kepada penternak lain di daerah ini.Beliau berharap penternak yang berminat mempelajari kaedah penternakan kambing dan lembu secara betul, mendekati pengusaha berjaya itu untuk mencari ilmu sebelum mencuba sendiri.

No comments:

Post a Comment