Friday, 19 October 2012

Makanan Kambing ; Dedaun Hijau

Dedaun Hijau

Makanan asas kambing adalah rumput dan dedaun hijau. Rumput yang biasa didapati dan sangat digalakkan untuk pemakanan kambing adalah rumput Napier, manakala spesis Napier terbaik adalah dari baka Napier Taiwan. Di samping mengandungi serat (fiber) untuk membantu penghadaman makanan, ia juga mempunyai kandungan protein yang sangat tinggi berbanding rumput jenis lain, iaitu antara 10% hingga 14%. Selain itu Napier Taiwan tidak berbulu/bersisik, dengan itu tidak mencederakan mulut kambing apabila memakannya.


Batang rumput Napier biasanya dipotong hampir ke paras tanah. Batang akan tumbuh dan membesar semula dan kebiasaannya boleh kembali dituai dalam tempoh di antara 4-8 minggu, bergantung kepada kesuburan tanah dan kandungan air. Penting sekali diingat bahawa, rumput Napier memerlukan kelembapan tanah yang sangat tinggi untuk membesar dengan subur. Rumput Napier biasanya dipotong halus iaitu kira-kira 1-2 inci panjang menggunakan mesin "chopper".

Selain rumput Napier, daun petai belalang juga merupakan dedaun yang sesuai untuk makanan kambing. Di samping itu, daun sawit dan lain-lain rumput boleh juga diberi sebagai makanan tambahan. Daun sawit diberi terus bersama batang dan pelepah, kerana kambing biasanya hanya memakan bahagian daun sahaja manakala lidi dan pelepahnya dibiarkan. Daun sawit tidak dipotong untuk mengelakkan kambing memakan lidinya yang boleh merosakkan saluran pemakanan dan usus.

Dalam memberi makanan dedaun kepada ternakan kambing, penternak harus berwaspada supaya apabila memberikan dedaun yang bergetah (seperti daun pohon getah), dedaun ini harus dijemur dahulu supaya getahnya kering. Kandungan getah dalam dedaun boleh menyebabkan kambing anda mengalami kembung, yang boleh membawa maut jika tidah dirawat segera.

No comments:

Post a Comment