Johor: Penternak berjaya
PONTIAN: Bermodalkan RM3,000 10 tahun lalu, Hairulizam Saat, 41, kini menjadi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) puyuh contoh apabila dinobatkan usahawan berjaya, termasuk terbaru menerima Anugerah Usahawan Cemerlang 2010 Parlimen Pontian.
“Di awal pembabitan, saya membeli daging burung puyuh daripada pembekal tempatan sebelum menjualnya kepada peniaga pasar malam.
“Selepas setahun, saya dapati perniagaan ini mempunyai potensi besar untuk maju dan kerana itu, saya sanggup mengambil risiko menggunakan simpanan sebagai modal untuk membeli anak burung puyuh,” katanya.
Hairulizam berkata, dengan bantuan isterinya, Siti Fairus Paiman, 34, serta dua pekerja, dia menternak 5,000 ekor burung puyuh dalam sebuah reban dan kini unggas berkenaan berjumlah 200,000 ditempatkan di 29 reban manakala pekerjanya bertambah kepada 20.
Bapa kepada lima anak itu berkata, selain di Johor, perniagaannya kini berjaya memasuki pasaran Melaka dan Kuala Lumpur dengan pendapatan mencecah ribuan ringgit sebulan.
“Untuk memenuhi permintaan pelanggan dan penghantaran mengikut masa ditentukan, enam pekerja akan menangkap burung puyuh yang cukup usia 30 hari pada waktu malam sebelum disembelih dan diproses.
“Pengeluaran boleh mencecah kira-kira 150,000 ekor sebulan, manakala nilai burung puyuh sejuk beku jika mengikut gred seperti A dan B boleh mencecah RM2.20 seekor,” katanya yang mengusahakan ternakan itu di tanah miliknya seluas enam hektar.
Lebih membanggakan, hasil usahanya itu membolehkan dia menerima anugerah Usahawan Penternak Bukan Ruminan Jaya 2002 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Johor.
Selain itu, beliau juga menerima anugerah Usahawan Cemerlang TEKUN Negeri Johor 2005, dan mendapat tempat pertama Anugerah Usahawan Cemerlang 2010 Parlimen Pontian.
Dia berkata, sebahagian besar kejayaannya adalah berkat dorongan keluarga khasnya Siti Fairus.
“Kami sering berbincang untuk mendapatkan hasil terbaik dan pada masa sama, kami turut menganggap pekerja seperti keluarga sendiri.
“Hasilnya, kami sentiasa mesra malah sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan perniagaan ini semakin maju dan berkembang,” katanya.
Sementara itu, pekerja Hairulizam, Turmiah Samian, 48, yang sudah bekerja dengannya sejak 10 tahun lalu berkata, perniagaan majikannya itu membolehkan penduduk kampung mendapat peluang pekerjaan.
“Ia memberi pendapatan kepada sebahagian daripada penduduk dan kami bersyukur kerana perniagaan ini semakin maju.
“Kami gembira bekerja dengan Hairulizam kerana sifatnya yang peramah dan tidak pernah meninggikan suara,” kata ibu lima anak itu lagi.
No comments:
Post a Comment