Cerita di Jalan Jeroco, Lahad Datu, Sabah. Di sinilah semuanya bermula. Pertama kali aku jejak kaki di Sabah, pertama kali aku jejak kaki di Lahad Datu dan pertama kali juga aku masuk ke Jalan Jeroco menuju ke kilang sawit pertama aku, March 2004.
Seakan sudah tertulis, langkah pertama itu membuka pintu kepada kisah hidup yang aku sendiri tidak pernah bayangkan.
Jarak perjalanan dari Bandar Lahad Datu ke kilang sawit itu adalah 90km. 70km daripadanya hanyalah jalan gravel—keras, kering, tak berbelas. Aku terpaku melihat ladang - ladang sawit kanan dan kiri jalan sepanjang tiga jam perjalanan. Jalan gravel penuh debu, turun naik bukit, sesekali jumpa pintu masuk utama ke ladang - ladang dan juga kilang sawit yang dikawal pengawal keselamatan.
Dalam tiga jam itu, aku bukan sekadar melalui jalan. Aku sedang diperkenalkan kepada kehidupan baru—kehidupan yang akan mendidik aku tentang perit, tabah, dan makna pengorbanan.
Dalam tempoh itu juga, beberapa kali aku terbangun dari tidur kepenatan musafir dari penerbangan semalam, KLIA ke Kota Kinabalu dan seterusnya dari KKIA ke lapangan terbang Lahad Datu. Sesekali aku memandang lajuneda, pemandu yang ditugaskan untuk mengambil aku dari lapangan terbang ke kilang pertama aku.
Pertama kali juga dalam hidup aku masuk ke ladang sawit, terdetik dalam jiwa aku pertanyaan,
"adakah ini tempat yang akan aku hidup dan membina kerjaya dalam beberapa tahun akan datang?"
Dan ternyata, ya.
Sangat ya.
Perjalanan pertama itu tiada lagi istilah berpusing ke belakang.
2005 — Tahun yang meragut tenang dari jiwa seorang pemuda
Pada tahun 2005, waktu malam, pintu rumah aku diketuk penyelia. Bunyi ketukan itu bukan sekadar panggilan — tetapi permulaan kepada kenangan yang akan menghantui aku sampai hari ini.
Dikhabarkan seorang staff kilang mengadu isterinya yang sarat mengandung akan melahirkan anak. Pasangan itu keduanya warga asing. Disebabkan klinik ladang tutup pada waktu malam, aku diminta untuk menemani mereka ke Hospital Lahad Datu.
Pasangan muda baru berkahwin. Suku Timor. Namun sangat menyedihkan, bayi yang dilahirkan meninggal dunia kerana tidak cukup bulan.
Aku masih ingat, bermula dua pagi kami bergerak balik. Disebabkan seat kereta terhad, aku duduk di belakang sementara ibu yang baru lepas bersalin di seat depan bersama pemandu yang dibawa.
Dan aku masih ingat — aku meriba jenazah bayi itu, tubuh kecil yang tak sempat merasa dunia, hanya kerana aku kasihan pada ibu yang baru lepas bersalin.
Dia tidak ditahan selepas bersalin kerana warga asing, terus hari yang sama balik ke ladang.
Itu adalah kematian pertama yang aku lihat.
Kematian yang memeluk aku dalam senyap dan menyedarkan aku bahawa hidup di ladang bukan sekadar bekerja — ia adalah tentang manusia.
Dan aku menyusuri pagi hari melalui Jalan Jeroco yang sedia maklum, gravel, gelap, berdebu dan berbatu dalam ladang sawit sejauh saujana mata memandang.
Aku sangat tersentuh hati kerana pada waktu yang sama sebenarnya isteri aku tengah sarat mengandung anak pertama.
2006 — Tahun aku belajar makna pengorbanan
Awal tahun 2006 aku kahwin dan membawa isteri masuk ke ladang tempat aku berkerja. Kami masuk menggunakan van atau dipanggil bas mini, satu - satunya alat perhubungan yang ada dari bandar Lahad Datu ke kilang sawit.
Sepanjang tahun pertama kami kahwin, sebulan sekali kami keluar ke bandar untuk memberi barangan keperluan rumah. Juga menggunakan perkhidmatan van yang sama. Melalui Jalan Jeroco yang mula banyak membina memori zaman muda aku.
Untuk keluar ke bandar Lahad Datu, kami perlu tempah van sehari sebelumnya. Van tersebut akan datang ke perumahan eksekutif seawal jam 7 pagi. Seterusnya mengambil penumpang - penumpang lain sehingga penuh sebelum bergerak ke bandar. Jarang van kosong, selalunya penuh.
Kami berdua akan bersesak dalam van tersebut. Segala bau akan keluar. Kadang - kadang yang bawa ayam ke luar sekali. Belum campur habuk Jalan Jeroco jika penghawa dingin van tidak berfungsi, tingkap mesti dibuka dan jika tidak ditutup saat melalui habuk, maka muka dan seluruh badan penuhnya habuk ibarat mandi habuk.
Sampai ke Bandar Lahad Datu seawal jam 10 pagi — perjalanan yang panjang untuk kehidupan yang sederhana. Dua hingga tiga jam sahaja di bandar sebelum van yang sama bertolak balik ke ladang.
Kami selalunya ke Wisma Ramai - Ramai untuk beli barang dapur disebabkan jarak yang dekat dengan terminal bas. Laluan balik, van akan sarat dengan barang - barang yang dibeli, termasuk ada yang beli barang basah seperti ikan dan ayam.
Laluan balik, bau ikan menemani sepanjang jalan.
Itulah rutin kami berdua setiap bulan, sebagai pasangan muda yang baru berkahwin membina keluarga kecil. Tidak pernah sepatah isteri aku mengeluh atas apa yang berlaku.
Aku juga tidak pernah bincang hal itu.
Namun…
Dalam hati aku, rutin itu sangat menyeksakan jiwa aku.
Dan dari situ, aku berjanji dalam diam.
Aku mesti berkerja keras jika mahu mengubah rutin tersebut.
Itulah antara motivasi paling kuat aku, kenapa aku banyak berkorban demi kemajuan kerjaya aku untuk tahun - tahun berikutnya.
Dugaan tidak pernah datang tunggal
Awal tahun 2006, isteri sarat mengandung lapan bulan. Aku mohon cuti untuk hantar isteri balik ke kampung di Tuaran. Kami guna van yang sama.
Entah apa yang berlaku, dalam laluan Jalan Jeroco yang penuh memori itu, tayar pancit tiga kali, hingga habis tayar ganti. Kami tukar van untuk sampai ke Bandar Lahad Datu. Dan pada masa itu isteri aku sarat mengandung.
Pada tahun yang sama, berlaku satu lagi kejadian tragis. Budak perempuan berumur lapan tahun telah seminggu keracunan makanan. Ada acara bola minggu sebelumnya dan banyak gerai menjual makanan dan minuman. Namun, kejadian itu lambat dilaporkan kepada kami.
Kata bapanya yang ada dua isteri, anaknya itu disantau isteri pertama.
Sekali lagi aku menjadi peneman untuk dibawa ke klinik ladang. Pegawai Kesihatan bertugas yang dipanggil waktu malam memaklumkan, keadaannya sudah tenat dan ia perlu dibawa ke Hospital Lahad Datu segera.
Kami terus bergerak ke Hospital Lahad Datu pada malam tersebut. Membelah Jalan Jeroco pada waktu malam.
Dan sekali lagi, berita sedih diterima. Sampai di Hospital, budak perempuan itu meninggal dunia.
Selepas tengah malam dan semua urusan selesai, jenazahnya dibungkus dan dibawa balik. Aku masih ingat, aku duduk di seat belakang single cab, bersama jenazah itu, kerana di seat depan adalah ibunya bersama pemandu.
Aku masih ingat, langit pada malam itu cerah oleh bulan penuh yang mengambang. Cerah… tetapi malam itu tetap kelam bagi kami.
2007 — Jalan Jeroco terus mendidik aku
Pada tahun 2007, aku pindah ke kilang kedua. Dilantik menjadi mill incharge. Dapat guna kereta pengurus buat pertama kali. Sebelum itu, ladang sawit adalah tempat aku belajar bawa kereta.
Dan aku masih ingat, pertama kali bawa kereta Hilux double cab bawa isteri dan anak kecil dalam ribaan untuk keluar ke bandar. Hari itu hujan. Jalan licin. Walau pun sudah biasa menggunakan kunci 4WD, melalui jalan Bukit Janda (jalan dua bukit yang penuh cabaran di Jalan Jeroco), pemandu hebat pun akan teruji bila jalan gravel turun bukit licin.
Itulah kali pertama menghadapi jalan menuruni bukit, jalan licin. Turunkan gear rendah, jangan tekan brake, kawal steering ikut kiri dan kanan, yang penting jangan sampai kereta masuk parit!
Itulah kali pertama aku kelam kabut, belajar untuk tenang walaupun gundah gulana melihat kereta meluncur tanpa henti! Dan aku berjaya melepasi jalan licin turun bukit tersebut!
Dan hari ini, selepas lebih dua dekad…
Itulah secebis memori aku dengan Jalan Jeroco. Dari tahun 2004 hingga tahun 2008 aku keluar dan masuk setiap masa. Jalan penuh kenangan. Dan dari jalan itu, aku kini telah lebih 20 tahun dalam industri sawit negara. Dari upstream hingga downstream.
Kenapa memori ini muncul kembali?
Sebab ramai rakan - rakan berkata, jalan menuju ke tempat kerja aku di Dumai sangat teruk.
Aku menjawab, sebenarnya jalan di sini masih ok. Aku pernah lalui jalan yang lebih teruk dari ini.
Iaitu Jalan Jeroco.
Dan dari jalan itu,
aku belajar menjadi manusia.
#JalanJeroco #sabah #anekdotcinta #anekdotkehidupan
No comments:
Post a Comment