Cerita Tentang Politik
Aku dibesarkan di Kelantan, sebuah negeri yang suasana politiknya cukup kuat dan sebati dalam kehidupan masyarakat. Sejak kecil, aku melihat bagaimana majoriti rakyat di sekeliling aku menyokong perjuangan tertentu, lebih-lebih lagi apabila ibu aku sendiri merupakan penyokong tegar arwah Tok Guru. Semasa remaja, aku banyak mengikuti kuliah dan ceramah beliau. Sedikit sebanyak, intipati perjuangan Tok Guru meresap dan membentuk pandangan politik aku hari ini. Namun begitu, kami sekeluarga hanyalah penyokong dari jauh — tidak pernah ada yang benar-benar aktif dalam politik, apatah lagi menjadi YB atau memegang apa-apa jawatan dalam parti.
Selepas berkahwin, aku melihat suasana yang berbeza. Keluarga sebelah isteri sangat aktif berpolitik. Ada yang pernah bertanding di peringkat Parlimen, dan terbaru di DUN semasa PRN Sabah. Namun, isteri aku sendiri amat skeptikal terhadap politik kerana pengalaman membesar dalam suasana itu. Aku masih ingat semasa majlis perkahwinan kami, beliau beberapa kali berkata betapa majlis itu indah kerana berjaya menghimpunkan saudara-mara yang berlainan fahaman politik — sesuatu yang jarang berlaku.
Apabila aku sertai Toastmasters, aku belajar bahawa ada tiga topik yang tidak digalakkan untuk dibawa ke pentas: Politik, Agama dan Seks. Dari situlah aku mula mengurangkan ucapan berbau politik, termasuk dalam media sosial. Pernah juga aku ditegur kerana terlalu lantang berpolitik di Facebook.
Ada rakan pernah bertanya, “Kalau kau minat sangat politik, kenapa tak bertanding?” Sebenarnya aku tidak pernah menyimpan cita-cita untuk menjadi ahli politik. Namun melihat keadaan negara yang ketandusan pemimpin berintegriti, aku selalu menggalakkan rakan-rakan jurutera supaya terlibat dalam politik. Lihat sahaja China — ramai presidennya lahir daripada latar belakang kejuruteraan. Pada aku, itu jauh lebih baik berbanding hanya bergantung kepada golongan peguam.
Sebenarnya politik bukan sekadar pilihan raya. Politik wujud di mana-mana — dalam organisasi, dalam pasukan, bahkan dalam syarikat besar yang mempunyai “team A” dan “team B”, masing-masing memperjuangkan agenda sendiri. Selagi matlamatnya baik dan jalannya diredhai Allah, itu adalah amal makruf. Tetapi jika ia membawa kepada kezaliman, fitnah dan kerosakan, maka itulah malapetaka dunia yang mengundang azab di Akhirat.
Untuk melakukan kebaikan, kita tetap perlukan kuasa. Sebab itu politik menjadi platform penting. Kebaikan tidak akan terlaksana hanya dengan bercakap atau membuat hantaran di Facebook.
Tahun ini, aku sepatutnya pulang mengundi di Tuaran untuk PRN Sabah. Tetapi kerana jarak dan komitmen peribadi, besar kemungkinan aku tidak dapat mengundi. Aku kini dalam proses menukar tempat mengundi.
Akhir kata, selamat berkempen kepada semua sahabat. Ingat — yang menang hanya satu kerusi. Tetapi di rumah, di tempat kerja, di kampung, kita ada banyak ‘kerusi’ yang jauh lebih penting: keluarga, sahabat dan saudara-mara. Jangan biarkan PRN menjadi punca kita berpecah atau bermasam muka sesama bangsa dan agama.
#prnsabah #prnsabah2025 #grs #pn #bn #warisN #ph #pru2025 #sabah
No comments:
Post a Comment