Wednesday, 29 June 2011

Kisah Tanah yang diberkati Allah






Objektif
1. Memahami kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan.

Ringkasan
1. Peristiwa ini telah membongkarkan keimanan dan keyakinan umat manusia tentang kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad SAW. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Israk Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi.
2. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam. *Saidina Abu Bakar mendapat gelaran “As Siddiq”.
3. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan 3 agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.

4. Jeruselam; suci kepada umat Islam kerana dua alasan ;
a. Kiblat pertama.
b. Mukjizat paling besar Nabi Muhammad SAW (perjalanan dari Mekah ke Masjidil Aqsa dan kenaikannya ke langit, kembali ke Masjidil Haram.

5. “Maha suci Allah, yang telah menperjalankan Hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagahagian tanda – tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.” (Surah Al Isra’, 17, 111 ayat. Makkiyah)
a. Berlaku pada 27 Rejab tahun 11 kenabian, semasa Nabi berumur 51 tahun.
b. Isra’ (dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa)
c. Mikraj (dari Masjidil Aqsa ke langit sampai ke Sidratul Muntaha yang merupakan tempat tertinggi.)

Kronologi Peristiwa Israk (perjalanan):
• Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Malaikat Mika’il. Hati Baginda SAW disuci dengan air zamzam dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya.
• Kemudian dituangkan hikmah, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah sebelum dijahit dan dimeteri dengan 'khatimin nubuwwah'.
• Kemudian Rasulullah dibawa dengan kenderaan yang dinamakan Buraq ditemani oleh malaikat Jibril dan Israfil.
Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa)
• Sepanjang perjalanan (Isra’) itu Rasulullah SAW ditemani oleh malaikat Jibrail dan Israfil.

Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah) Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan sembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah :
I. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
II. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.
III. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan).


Baginda banyak melihat kejadian pelik dan penuh pengajaran seperti ;-

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum, Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikaan dilakukan berkali-kali, Jibrail memberitahu: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail Itulah orang2 yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

1. Fakir (al Fuqara) adalah orang yang tiada harta pendapatan yang mencukupi untuk dan keperluannya. Tidak mempunyai keluarga untuk mencukupkan nafkahnya seperti makanan,pakaian dan tempat tinggal. Contohnya ia memerlukan RM10.00 sehari tetapi hanya mampu RM3.00 sahaja.

2. Miskin (al-Masakin) mempunyai kemampuan usaha untuk mendapatkan keperluan hidupnya akan tetapi tidak mencukupi sepenuhnya seperti ia memerlukan RM10.00 tetapi hanya memperoleh RM8.00.

3. Amil - orang yang dilantik untuk memungut dan mengagih wang zakat.

4. Muallaf - seseorang yang baru memeluk agama Islam.

5. Riqab - seseorang yang terbelenggu dan tiada kebebasan diri.

6. Gharimin - penghutang muslim yang tidak mempunyai sumber untuk menjelaskan hutang yang diharuskan oleh syarak pada perkara asasi untuk diri dan tanggungjawab yang wajib ke atasnya.

7. Fisabillillah - orang yang berjuang, berusaha dan melakukan aktiviti untuk menegakkan dan meninggikan agama Allah.

8. Ibnus Sabil - musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan dari negaranya yang mendatangkan pulangan yang baik kepada Islam dan umatnya atau orang Islam yang tiada perbekalan di jalanan.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagu kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang yang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali di gunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (takbur), kemudian menyesal tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensiakan umurnya sampai tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia’, aulia’ dan mursalin menjadi makmum. Pada suatu tika Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu jumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba’ dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

3. Langit Ketiga: Bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

4. Langit Keempat: Bertemu dengan Nabi Idris AS.

5. Langit Kelima: Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.

6. Langit keenam: Bertemu dengan nabi-nabi.

7. Seterusnya dengan Nabi Musa AS, Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai termasuk 70000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

8. Langit Ketujuh : Bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW Nabi Ibrahim AS bersabda.
“Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat terakhir dan terlalu dha’if , maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syuga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah.

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda :

“Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah iaitu : Subhanallah, Walhamdulillah, Wa La Ila Haillallah Allahuakbar dan La Haulawala Quwatta Illa Billahil Azim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.”

9. Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

10. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “Al – Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.

11. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka beserta dengan malaikat Malik penunggunya.

12. Tangga kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul- Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.

13. Tangga Kesepuluh : Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya.

Allah SWT: Ya Muhammad
Rasullah: Labbaika

Allah SWT:
Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah:
Ya Rabb, Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau
berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau
berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau
kurniakan kerajaan Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa
pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin.
Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat
menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati.
Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT :
Aku ambil mu sebagai kekasih.
Aku perkenankan mu sebagai
penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu.
Aku buka dadamu dan buangkan dosamu.
Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat.
Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepada mu pada hari kiamat.
Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelum mu.
Aku berikan mu ayat-ayat di akhir surah al Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah “Arasy”.
Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakan panji-panji Liwa – ul – hamd. Maka Adam dan semua yang lainya di bawah panji-panji mu.
Dan aku fardukan atas mu dan umat mu 50 (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW dibawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), baginda tidak mahu lagi merayu kerana malu kepada Allah, dan akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam tetapi mengekalkan nilai pahalanya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul- Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama.

Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua

mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa?

Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.

Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia. Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al- Haram hingga ke hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka.

Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat. Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas. Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.

Intipati Surah Al Isra’
1. Mukjizat Al – Quran ; Nama – nama lain dalam Al Quran
a. Al – Kitab (Inilah Kitab)
b. Al Furqan (Pembela benar salah)
c. Adz – Zikr (Pemberi ingatan)
d. Al – Mau’idah (Pelajaran/nasihat)
e. As – Syifa’ (Obat/penyembuh)
f. Ah – Hukum (Peraturan/hokum)
g. Al – Hikmah (Kebijaksanaan)
h. Al – Huda (Petunjuk)
i. At – Tanzil (yang diturunkan)
j. Ar – Rahmat (Kurnia)
k. Ar – Ruh (Roh)
l. Al – Bayan (Penerang)
m. Al – Kalam (Ucapan/firman)
n. Al – Busyra (Khabar gembira)
o. An – Nur (Cahaya)
p. Al – Bashir (Pedoman)
q. Al – Balagh (Penyampaian/khabar)
r. Al – Qaul (Perkataan/ucapan)

2. Al – Quran sebagai petunjuk yang teguh. Al – Quran sebagai petunjuk bagi orang – orang yang beriman. Mereka akan mendapat keuntungan di dunia dan di akhirat. QS Al Isra’, 17:9.

Hikmah Al Quran diturunkan secara beransur – ansur ;
a. Untuk menguatkan hati Nabi Muhammad SAW.
b. Untuk menentang orang – orang kafir yang mengingkari Al – Quran.
c. Supaya mudah dihafal dan difahami. Terutama kepada orang yang buta huruf. Umar berkata “Pelajarilah Al – Quran lima ayat lima ayat kerana malaikat Jibril biasa turun membawa lima ayat lima ayat”. HR Baihagi.

3. Berbakti kepada orang tua. Allah mewajibkan hamba – hamba Nya tidak menyakiti kedua orang tua, berkata santun, merendahkan hati dan berdoa untuk keduanya.

4. Ayat – ayat yang diulang ; di dalam Al Quran terdapat banyak ayat – ayat yang di ulang – ulang supaya manusia mengambil perhatian dan pengajaran daripadanya sebagai peringatan. Tetapi orang – orang yang derhaka, ayat –ayat ini tidak lain hanya akan membuatkan mereka semakin jauh daripada Al – Quran.

5. Membazir
a. Ayat 27 “Sesungguhnya orang – orang yang menghemburkan – hemburkan harta dan yang menafkahkan hartanya untuk berbuat maksiat pada Allah, mereka menyerupai syaitan dalam (melakukan) kejahatan, kerosakan dan maksiat, syaitan itu adalah sangat ingkar terhadap nikmat – nikmat Tuhan-nya.
b. Berjimat atau berhemah adalah menggunakan sesuatu sebagaimana yang diharuskan.
c. Rasullullah SAW bersabda “Bahawa pangkal segala penyakit adalah sifat rakus dan pangkal segala ubat adalah berpantang.”

6. Zina, Al Isra’ (32), Al A’raf (33), An Nur (26). Hukum bagi penzina ;
a. Jika pelakunya muhsa (pernah berjima’ dengan nikah yang sah), mukallaf (sudah baligh dan berakal), sukarela (tidak dipaksa, tidak diperkosa), dia di sebat seratus kali, kemudian direjam.
b. Berdasarkan hukuman yang dilakukan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib, cukup direjam tanpa didera dan ini lebih baik, sebagaimana juga dilakukan oleh Rasullullah SAW, Saidina Abu Bakar As – Siddiq dan Umar Al – Khatab.
c. Jika pelakunya belum bernikah, dia disebat 100 kali. Kemudian diasingkan selama setahun.

7. Hikmah Amtsal
a. Gaya bahasa dalam Al –Quran terdapat banyak perumpamaan. Gaya bahasa merupakan mukjizat Al – Quran serta sebagai pelajaran bagi manusia.
b. Tamsil atau perumpamaan memiliki kekuatan pengaruh yang berlipat kali ganda dan mengerakan jiwa manusia ke arah itu.
c. Jika ia merupakan pujian ; dia akan memuliakannya dan membesarkannya dengan kemuliaan yang sesungguhnya.
d. Jika ia merupakan celaan; ia akan menentuhnya dengan tepat.
e. Bila merupakan hujah; akan memiliki kekuatan yang kukuh
f. Jika merupakan pengajaran dan nasihat ; akan menyentuh hati dan merangsang fikiran.
g. Di atara contoh adalah gambaran Allah SWT berkenaan syurga bawaha ;-
i. Syurga itu terdiri atas sungai berisi air tanpa rasa
ii. Sungai madu
iii. Sungai khamar
h. Mengungkap hakikat dari perumpamaan yang merupakan sesuatu yang abstrak menjadi nyata seperti tentang riba (Al-Baqarah -275)
i. Mengeluarkan sesuatu yang sulit menjadi nyata seperti misalan orang yang berinfak ke jalan Allah (Al – Baqarah, 265)
j. Perumpamaan yang paling menyentuh jiwa dan hati manusia kerana keindahan gaya ungkapan dan gaya bahasa yang digunakan.

8. Syaitan musuh manusia yang nyata
a. Berasal dari api. Manusia berasal dari tanah.
b. Syaitan dan manusia adalah dua jenis makhluk yang sentiasa bermusuh sejak awal penciptaan manusia hingga kiamat.
c. Meskipun perbezaan yang jauh antara setan dan manusia, namun Allah menjanjikan manusia dapat mengalahkan syaitan apabila konsisten dalam keimanan dan ketakwaaan.
d. Syaitan dapat melihat manusia dan sebaliknya kerana ia dalam alam ghaib.
e. Jumlah syaitan terus bertambah dan tidak mengalami kematian sejak penciptaaan hingga akhir kiamat. Sementara manusia terus bertambah tetapi usianya cukup terbatas.
f. Syaitan dapat menjelma dalam pelbagai bentuk kecuali Rasullah SAW.
g. Syaitan dapat menjelmakan dirinya menjadi penggoda sedangkan manusia menjadi objek.
h. Dengan segala potensi yang ada, amat mudah bagi syaitan untuk mengintai dan menjerumuskan manusia pada kesesatan dan kecelakaan dunia dan di akhirat.
i. Namun Allah menjanjikan manusia dapat mengalahkan syaitan dan mencapai keberhasilan di dunia dan akhirat jika berpegang teguh pada jalan Nya. Orang – orang yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati kepada yang hak dan kesabaran. (Al – Asr, 103:3)

9. Syaitan selalu menggoda ;
a. “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kepada Adam!”. Maka bersujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia mendurhakai perintah Tuhannya.” (Al-Kahf , 18:50)
b. Namun, syaitan tidak mampu mengheret manusia kepada jurang kebinasaan apabila manusia selalu meminta perlindungan kepada Allah, Zat Pencipta seluruh makhluk.
c. “Katakanlah, “Ya Tuhankan, aku berlindung kepada Engkau dari bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau, ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku.” (Al – Mukminun, 23:97-97)
d. “Barangsiap yang berpaling dari pengajaran Al-Rahman (Al-Quran), Kami adakan syaitan (yang menyesatkan) makan syaitan itu menjadi teman yang selalu menyertainya. Sesungguhnya, syaitan – syaitan itu benar – benar, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk. (Al-Zukhruf, 43;36-37).
e. Siapa yang cenderung kepada mereka akan menjadi musyrik. Siapa yang menentangnya nescaya akan selamat dunia dan akhirat. 17:41

10. Syaitan menjerumuskan perkataan keji. Syaitan sentiasa menginginkan manusia supaya berkata – kata keji dan menjadi perselisihan sesame manusia. Sesungguhnya syaitan tidak henti – henti menggoda manusia dari segenap sisi. Al Isra’ 17:53.

11. Manusia makhluk yang istimewa;
a. Taqwa merupakan kemuncak kepada kemuliaan manusia.
b. Syaitan tidak berkuasa terhadap orang – orang yang bertaqwa. Hanya hamba – hamba Allah yang benar – benar bertaqwa tidak tergelincir dari godaan syaitan. Al Isra’ 17:75.
c. Bendera taqwa ini menyelamatkan manusia daripada fanatic terhadap jantina, bangsa, kabilah, suku, keturunan, negara dan sebaginya.
d. Abu Hurairah bertanya kepada Rasullullah SAW, siapakah manusia paling mulia dan terbaik di sisi Allah? Baginda mejawab, “Manusia paling mulia atau terbaik di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa di antara mereka.”Mereka berkata, kami tidak bertanya tentang hal itu. Baginda bersabda, “Manusia paling mulia adalah Yusuf kerana Nabi Allah, anak Nabi Ya’kub, anak dan kekasih Khalilullah (Kekasih Allah, iaitu Nabi Ibrahim).” Mereka berkata, bukan itu yang kami tanyakan. Lalu Baginda bertanya balik, “Apakah kalian bertanya kepadaku tentang barang tambang orang – orang Arab?” Mereka menjawab, Ya. Nabi SAW bersabda, “Yang terbaik di kalangan kalian pada masa jahiliyah adalah yang terbaik dalam Islam jika mereka faqih (paham dalam urusan agama),” HR Bukhari.
e. “Sungguhnya, Allah tidak melihat kepada bentuk (fizikal) dan harta (kekayaan) kalian, tetapi melihat kepada hati dan amal perbiatan kalian.” HR Muslim.

12. Catitan Amal. Pada hari kiamat, manusia akan dibangkitkan bersama para pemimpin mereka. Masing – masing diadili amal perbuatan mereka di dunia dalam buku catatan dari sebelah kanan dan kiri. Allah tidak menzalimi hambanya walau sekecil mana perbuatan yang dilakukan oleh hamba Nya di dunia. (Al Isra’ 17: 71-71).

13. Kedekut. Allah mengingatkan kepada orang – orang yang kikir dan kedekut. Mereka takut kehabisan harta dan takut miskin padahal semua yang ada di bumi ini milik Allah dan di tangan Nya segala ketentuan. QS Al Isra’ 17:100.

14. Doa dimasukkan ke jalan yang benar dan diberi kekuasaan yang menolong
“Ya Tuhanku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.” (Al Isra’, 17:80)

15. Bani Israel menetap di negeri Palestin. Setelah Bani Israel diselamatkan oleh Allah dari kejaran Firaun menuju tempat hidup nenek moyang mereka Nabi Yakub dan kedua belas anaknya, sebelum perpindahan mereka ke Mesir pada masa Yusuf AS, yaitu di negeri Sinai di wilayah Palestin, sebuah negeri yang memiliki sejarah panjang kenabian. Para sejarah membahagikan perjalanan sejarah kota suci Palestin kepada tiga bahagian :-

a. Pertama ; Qudhah ;
Masa penunjukan hakim bagi setiap suku yang berjumlah 12 setelah masing – masing mendapat wilayah sesuai pembahagian Nabi Yusya’ bun Nun. Masa ini lebih kurang berlangsung selama 400 tahun.

b. Kedua ; Masa raja – raja. Diawali dengan Raja Thalut hingga zaman keemasan saat dipegang oleh Nabi Daud dan Nabi Sulaiman.

c. Ketiga; Masa perpecahan dalaman
, yaitu setelah Nabi Sulaiman wafat. Mereka terbelah kepada dua kutub utara dan selatan. Selatan (Baitul Muqadis) dan utara dengan ibukota Nablus. Kemudian kota, wilayah – wilayah ini dikuasai oleh Mesir, Nebukadnezar, Yunani yang mampu mengusir bangsa Mesir dari sana. Akhirnya dikuasai oleh Bangsa Rom.

i. Pada masa Rom, Isa AS diutus oleh Allah. Pada masa itu musibah dahsyat dialami oleh kaum Yahudi. Bangsa Romawi melakukan genosida (pemusnahan) secara keras etnis mereka lantaran kaum Yahudi melaukan pemberontakan. Baitul Maqdis pun hancur. Bangsa Yahudi bercerai berai. Sebahagian mereka melarikan diri ke seluruh penjuru wilayah bumi.
ii. Demikian hukuman Allah dengan mendatangkan bangsa yang menindas mereka. Seksaan dan kepedihan ditimpakan kepada mereka diakibatkan kerosakan, tindakan aniaya dan akibat buruk akhlak mereka.
iii. Bangsa Rom menguasai tanah Baitul Maqdis hingga beberapa lama hingga kemudian pada abad pertama Hijrah, pada masa Saidina Umar ibnu Khattab RA, kaum muslimin berhasil mengambil alih penguasaan tanah penuh berkat ini dari tangan bangsa Rom.

Akhir kalam :-
Semoga mendapat pengajaran daripada semua peristiwa dan hikmah kejadian Isra’ dan Mikraj.
Sama – sama menasihati satu sama lain kerana agama itu nasihat.
Amal makruf dan nahi mungkar.

Wassalam.

Disediakan oleh
Zulkefli Bin Muhammad
Sempena Sambutan Isra’ dan Mikraj 27 Rejab 1432 H bersamaan 29hb. June 2011 di
Surau Ladang Loagan Bunut
Boustead Pelita Tinjar Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment