Wednesday, 29 June 2011
Hakikat Ketuhanan dan kekuasaan-Nya, Kelantan terus sejahtera
Diterbitkan pada 28 June 2011 Kategori Informasi, islam, Ucapan
Sedutan ucapan Majlis Santapan Malam Kesyukuran Diraja, 20 Rajab 1432H/22 Jun 2011 Istana Negeri, Kubang Kerian.
Maksudnya: “Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya” (Al-Quran Surah Ibrahim, ayat 34)
Alhamdulillah, sepenuh kesyukuran serta puji-pujian dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita semua berkumpul di majlis kesyukuran ini. Semoga bertambah kasih sayang dan limpah kurnia berkat daripada Allah SWT.
Manusia sepertimana diperakui oleh Allah, adalah sebaik-baik dan semulia-mulia makhluk ciptaan-Nya. Allah menjadikan semua makhluk yang lain seperti tumbuhan, binatang dan alam sekeliling sebagai satu kemudahan dan untuk dinikmati oleh manusia. Bahkan malaikat sendiri diperintahkan supaya memberikan khidmat mereka kepada manusia. Setiap manusia wajib mensyukuri nikmat-nikmat yang Allah SWT telah berikan kepada kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Firman Allah SWT :
Maksudnya: “(Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah Engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah Engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur.” (Al-Quran Surah Az-Zumar, ayat 66)
Namun demikian, tetap ada juga di kalangan manusia yang engkar serta berpaling dari jalan kebenaran yang dibawa oleh para rasul yang mulia. Manusia lebih suka menurut langkah syaitan serta jejak hawa nafsunya dalam melayari kehidupan duniawi ini. Golongan ini, yang tidak mahu mengakui kehambaan di hadapan Allah, Tuhan Rabbul Jalil, menafikan nikmat Tuhan kepada mereka. Maka dengan kekufuran itu, menjadilah mereka kumpulan manusia yang sombong, sesat lagi menyesatkan. Maka dengan itu, mereka lalu diberikan peringatan.
Maksudnya: “(Ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: ”Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras.” (Al-Quran Surah Ibrahim, ayat 7)
Bertitik tolak dari hakikat itulah, kita mengadakan majlis kesyukuran pada malam ini sebagai merenung kembali betapa besarnya nikmat Allah SWT kepada kita selaku hamba-hambaNya. Bermula dengan nikmat kehidupan, nikmat pancaindera yang lengkap dan sejahtera, nikmat keamaanan dan ketenangan serta nikmat kekuasaan. Dan paling penting ialah nikmat yang paling besar ke atas diri kita iaitu nikmat Iman dan Islam yang tidak boleh dijual-beli. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Kuredhai Islam itu jadi agama bagimu.” (Al-Quran Surah Al-Ma’idah, ayat 3)
Malangnya, sebahagian kita tidak menyedari dan menghargai nikmat ini kerana mungkin kita mewarisi Islam tanpa susah payah dan tidak berusaha untuk mengenal kebaikan di dunia dan akhirat. Nikmat Islam adalah segala-galanya dan tiada bandingan dengan nikmat yang lain. Hanya dengannya kita dapat merasakan kesempurnaan hidup maka kita perlu berusaha menjadi Muslim yang sentiasa bersyukur kerana mendapat nikmat yang besar ini.
Nikmat Islam adalah yang paling mahal dan tinggi nilainya kerana ia bukan setakat untuk di dunia tetapi berterusan hingga ke hari akhirat. Seorang pemimpin yang menghargai nikmat ini akan menggunakan kepimpinan dan kekuasaannya untuk melakukan keadilan kerana menyedari semuanya akan disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak.
Justeru, al-Quran merakamkan kisah Nabi Sulaiman, Raja yang menguasai seluruh dunia sehingga dunia binatang dan dunia jin berada di bawah kekuasannya. Namun baginda menyedari semuanya adalah kurniaan Allah SWT yang menjadi ujian kepadanya. Baginda bersabda sebagimana yang difirmankan oleh Allah SWT:
Maksudnya: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.” (Al-Quran Surah an-Naml, ayat 40)
Tidak kurang juga al-Quran menceritakan kisah Fir’aun yang juga diberikan kekuasaan yang hebat oleh Allah SWT tetapi menggunakannya untuk tujuan yang keji bahkan sampai ke satu peringkat Fir’aun menganggap segala kekuasannya adalah hak mutlak dirinya dan mengaku dirinya sebagai tuhan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya? (Al-Quran Surah az-Zukhruf, ayat 51)
Kesudahan kedua-dua penguasa yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran ini sangat berbeza. Nabi Sulaiman, raja yang bertaqwa dipuji oleh Allah SWT dan berkesudahan dengan syurga manakala Firaun dikeji oleh Allah SWT dan dicampakkan masuk ke dalam neraka.
Alhamdulillah, di Kelantan, semenjak 21 tahun yang lepas, kita memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam sebagai satu tanda kita menghargai nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Di bawah dasar ini, kerajaan komited (istiqomah) menjayakan amalan pentadbiran berteraskan Membangun Bersama Islam. Segala dasar atau polisi kerajaan dipacu berpandukan al-Quran dan al-Hadis serta ijmak-qias ulama’. Justeru pendekatan amalan pentadbiran itu telah melakukan transformasi dan pembinaan keyakinan kepada model pemerintahan Islam yang pernah mencapai kegemilangan pada zaman Madinah dan era khulafa ar-Rasyidin serta Othmaniah.
Sejak 20 tahun lalu, perubahan ketara boleh dilihat, biar pun ada pihak-pihak yang masih mendakwa Negeri Kelantan dalam kemunduran, miskin dan tidak membangun. Namun, mata memandang sedia menjadi saksi bila mana susuk pembangunan berlaku di setiap pelosok negeri. Malah penyaksian itu turut merakamkan selama dua dekad ini, Negeri Kelantan menerajui perubahan dan mendahului di dalam beberapa aspek pembangunan.
Di sebalik liku-liku itu ramai yang tidak tahu hakikat kemenangan dan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri. Misalnya, tatkala kita mengambil alih mengambil alih tampuk pentadbiran, hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu berjumlah RM760 juta. Hutang tersebut menjadi beban kepada rakyat dan kerajaan negeri untuk dilunaskan. Kerajaan negeri berusaha melunaskan hutang tersebut secara beransur-ansur menurut kemampuan dan hari ini ia semakin mengecil.
Kita juga berjaya melaksanakan transformasi kewangan negeri dengan memindahkan semua wang Kerajaan Negeri dari bank-bank konvensional berasaskan ribawi (interest base)kepada perbankan Islam yang akhirnya mencetuskan tsunami sistemperbankan tanpa faedah (SPTF) di seluruh negara.
Kita juga memperkenalkan amalan pentadbiran yang berteraskan Ubudiah, Mas`uliyyah dan Itqan. Ia membawa kepada usaha pemerkasaan syariat dengan tidak mengeluarkan lesen premis untuk kegiatan perjudian dan tempat-tempat yang menjadi punca maksiat, tidak membenarkan kelab malam dibuka, menggalak dan menguatkuasakan etika pakaian Islam (menutup aurat) dan menjadi syarat pengeluaran lesen premis oleh pihak berkuasa tempatan dan menyusun semula penjualan arak mulai 1 Julai 1993, iaitu semua jenis arak tidak dibenarkan lagi diminum di tempat awam, termasuk hotel-hotel, restoran-restoran atau pun kedai-kedai makan. Paling besar ialah kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II pada tahun 1993.
Apa yang dapat rakamkan di sini hanyalah sekelumit daripada pelbagai perubahan yang telah kita laksanakan di Kelantan. Alhamdulillah, di dalam menerajui pentadbiran ini, pihak Kerajaan Negeri amat bersyukur kerana berlaku kerjasama yang cukup mesra dari anggota pentadbiran yang diketuai oleh Dato’ Sri Setia Raja Setiausaha Kerajan Negeri Kelantan dan keserasian ini semakin terasa pada era Tuanku Al-Sultan Muhammad Ke-V yang menaungi pemerintahan kerajaan negeri Kelantan.
Amat besarlah harapan Kerajaan Negeri dan atas sifat Menteri Besar pastinya sentiasa bedoa ke hadrat Allah SWT agar memberikan kesejahteraan yang berpanjangan untuk Tuanku Al-Sultan. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya sepanjang Tuanku menaungi Kerajaan Negeri Kelantan. Dan berjalanlah rakyat dan Kerajaan Kelantan di dalam keberkatan Allah SWT jua
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment