Satu pagi Isnin yang biasa, langit belum sepenuhnya terang, namun jiwa di pejabat sudah mula mendung. Di ruang mesyuarat tingkat dua, suara tinggi memecah sunyi. COO syarikat – seorang yang disegani – melenting marah kepada anak buahnya. Kata-katanya tajam, air mukanya tegang. Telefon bimbit di tangan seseorang sempat merakam sebahagian adegan itu. Video tular di WhatsApp staf syarikat.
Ramai yang melihat dengan pelbagai rasa. Marah, simpati, benci – bercampur baur. Namun, aku... aku terasa sesuatu lain. Aku terasa tersentuh.
Kerana pada wajah yang marah itu, aku nampak bayang diriku sendiri.
Bekerja dalam tekanan bukanlah perkara asing. Kita semua pernah lalui. Kadang dalam tekanan itu, kita menjadi seseorang yang kita sendiri tidak kenal. Kita marah kerana ada masalah. Tapi yang lebih parah, adalah cara kita mengendalikan masalah.
Di situlah, syaitan membisik dan akal menjadi gelap.
Beberapa hari selepas kejadian itu, aku termenung sendirian di surau pejabat. Langit petang mencurah hujan. Dalam setiap titis, aku bayangkan titisan jiwaku yang semakin hilang sinar.
Marah-marah sampai orang tak sanggup pandang wajah. Sampai orang menyebut nama kita dengan rasa takut dan benci.
TIDAK. Aku tidak mahu.
Di situlah aku sedar. Marah bukan punca utama. Ia hanya simptom. Seperti demam bagi tubuh, marah adalah demam bagi jiwa.
Depression.
Bukan cuma untuk mereka yang gagal. Tetapi juga untuk mereka yang berusaha terlalu keras, terlalu ingin sempurna, terlalu menekan diri... dan akhirnya meletup dari dalam.
Dan malangnya, ia tidak kenal pangkat. Dari kerani ke pengarah, dari pemandu ke profesor. Semuanya terdedah.
"Apa ubatnya?" tanya seorang sahabat.
Aku tidak tahu.
Islam mengajar kita untuk tidak berputus asa. Bunuh diri itu dilarang keras. Tetapi menyembuhkan diri, adalah dituntut.
Hari ini, aku melihat kembali video COO itu sekali lagi.
Wahai hati, bersabarlah.
Amin Ya Rabb.
No comments:
Post a Comment