“Encik! Encik pernah dengar cerita Kapten Jemat tak?”
Itu Mat Denan. Nama sebenarnya Mohamad bin Adenan. Seorang mechanical chargeman yang lebih dikenali kerana satu perkara — suka bercerita.
Setiap pertemuan dengannya pasti dihiasi cerita. Kadang-kadang cerita baru. Kadang-kadang cerita lama yang dicerita semula. Tapi setiap kali disampaikan, semangatnya tak pernah luntur. Kaki kangkang ala penyanyi rock, tangan melayang-layang bantu ekspresi. Bila dia bercerita, semua akan diam. Tak nak terlepas walau sebutir pun.
"Cerita camni," Mat Denan mula dengan gaya serius.
“Satu hari, di pelabuhan, ada sorang tukang sapu. Masa tengah sapu-sapu tu, dia jumpa satu lesen. Lesen Kapten — foreign-going. Nama dalam lesen tu, Jemat.”
Mat Denan berhenti sekejap, tengok sekeliling, pastikan semua orang beri perhatian.
“Dia simpan lesen tu. Tak lama lepas tu, ada satu syarikat kapal cari kapten. Dia pun cuba nasib… dan dapat kerja tu! Dari tukang sapu jadi kapten kapal! Bangga tak terceritakan!”
Hari pertama, kapal nak mula belayar.
Kelasi tanya, “Kapten, kita nak buat macamana?”
Kapten Jemat tenang. “Buat macam biasa.”
Seorang lagi datang. “Kita hidupkan enjin, Kapten?”
“Buat macam biasa.”
“Tali tambatan nak bukak ke, Kapten?”
“Macam biasa ko orang buat, buatlah.”
Dan kapal pun mula berlayar. Satu demi satu soalan dijawab dengan ayat yang sama: Buat macam biasa.
Hingga akhirnya, kapal sampai ke tengah lautan.
Beberapa minggu kemudian.
Abdul Karim — seorang jurutera dan juga bos kepada Mat Denan — berdiri di hadapan khalayak. Dia tak pilih fakta, tak pilih carta. Dia pilih cerita Kapten Jemat.
Suaranya tegas, nadanya yakin.
“Dan akhirnya kapal itu berjaya sampai ke tengah lautan…”
Semua peserta tekun mendengar.
Tiba-tiba, angin bertiup kencang dalam cerita. Ombak mengganas.
Kelasi panik, tanya kapten. “Macamana, Kapten?”
Jawapannya masih sama: “Buat macam biasa.”
Laut makin bergelora. Kapal terhuyung-hayang. Akhirnya semua kelasi jerit serentak:
“Abort ship! Abort ship!”
Semua terjun ke laut. Tinggal Kapten Jemat, masih berdiri di atas dek.
Kapal pun perlahan-lahan tenggelam.
Semua hadirin diam. Abdul Karim senyum, lalu berkata:
“Kadang-kadang, kita tak tahu semua jawapan. Tapi kita tak boleh tunjuk panik. Kepimpinan bukan tentang tahu semua benda — tapi tahu bagaimana memberi kepercayaan kepada orang lain. Kadangkala, satu ayat kecil cukup untuk hidupkan keberanian.”
“Buat macam biasa.”
Ayat simple, tapi luar biasa.
Penutup:
Mat Denan sambung cerita itu petang esoknya.
Dia kata:
“Kalau kau jadi Kapten Jemat, pastikan kau belajar berenang dulu.”
No comments:
Post a Comment