Saturday, 26 July 2025

Tough as Rambo, Lembut dalam doa

Walau aku kini jauh, langkah kaki ini menjejak bumi asing, namun hatiku masih terpaut pada satu berita yang meruntun jiwa — kisah arwah adik Zara. Setiap hela nafasku sebagai musafir, aku sisipkan doa agar kebenaran akan tersingkap, dan keadilan memayungi yang tertindas. Si pelaku — walau siapa pun dia — biarlah dijatuhi hukuman yang setimpal.

Kerana aku tahu — buli itu bukan perkara baharu, apatah lagi di asrama.

Anakku sendiri banyak bercerita tentang suka duka dunia asrama — kisah disuruh bangun tengah malam oleh senior, disuruh buat benda bukan-bukan. Namun hari ini, aku mahu bercerita pengalaman aku sendiri — dari sisi seorang budak asrama berusia 14 tahun yang naif, yang tak pernah kena tumbuk, tapi hati dan emosi dikerat-kerat dengan kata dan fitnah.

Aku bukan budak popular. Aku bukan pelawak kelas. Aku cuma budak baru yang cuba sesuaikan diri. Tapi entah kenapa, aku jadi mangsa mulut orang. Kata-kata yang aku tak pernah ucap, konon keluar dari mulutku. Dan bila berlaku pergaduhan, wajah akulah yang disorot. Tiada siapa yang mahu dengar penjelasan budak baru.

Aku dipulau.

Bukan sehari dua, tapi berminggu. Dan saat itu, rasa sepi dalam lautan manusia adalah siksaan yang hanya mereka yang pernah alami saja akan faham.

Dan waktu itu jugalah, malam jadi lebih gelap dari biasa.

Bayangkan — perutku memulas tengah malam. Aku kejut seorang rakan. Dia menolak. Aku cuba yang lain, dipinggirkan. Akhirnya aku terpaksa ke tandas seram itu seorang diri. Tanpa suara, tanpa lampu yang pasti. Cuma aku, dan ketakutan yang menggenggam jantung.

Lampu padam ketika aku di dalam.

Boleh bayang tak, rasa macam nyawa nak tercabut? Tapi aku keluar. Berlari. Menang. Dan esoknya, aku ulangi lagi — bukan sebab aku suka, tapi sebab aku dah tak punya siapa.

Dan dari situlah, aku mula sedar — kalau aku tak kuatkan diri, siapa lagi nak bela aku?

Umur 16, aku jatuh cinta pada Rambo. Sylvester Stallone bukan sekadar pelakon — dia jadi simbol keberanian yang aku tak ada masa tu. Aku mula aktif dalam sukan. Tubuh jadi tegap, hati jadi keras. Aku mula belajar pertahankan diri. Aku dah tak beri muka pada mulut celupar. Kalau kau perli aku, kau akan dengar jawabnya — bukan dengan tangan, tapi dengan suara yang dah tak takut lagi.

Tough As Rambo — itu moto aku.

Tapi jauh di sudut hati, aku masih manusia. Aku masih ingat nama-nama yang spin cerita pasal aku. Yang buat aku dipulau. Yang buat aku tidur malam dalam tangis. Aku tak dendam, tapi aku ingat. Dan kalau kau baca ini, mintalah maaf, kalau kau masih punya rasa.

Kerana aku, dengan rendah hati, maafkan semua.

Hari ini, bila orang tanya aku, kenapa aku berani ride keliling dunia seorang diri — aku cuma senyum. Kadang aku bergurau: “Berani ni aku beli kat Shopee.” Tapi hakikatnya, keberanian aku ditempa dari luka. Dari gelap malam tandas asrama. Dari kata-kata yang lebih tajam dari pedang.

Dan buat adik Zara, semoga syurgalah tempatmu. Untuk keluarganya, semoga diberi kekuatan. Kita semua bersama kalian. Kerana setiap anak yang dizalimi, setiap insan yang dipendamkan suaranya — adalah kisah yang tak boleh kita diamkan.


Akhir kata:

Buli fizikal dan buli emosi — dua sisi luka yang sama dalam. Jangan normalisasikan. Jangan diamkan.

🤲 Al-Fatihah buat arwah adik Zara.

No comments:

Post a Comment