Friday, 25 July 2025

Garam & Uban


Benarlah kata orang tua, semakin meningkat usia, semakin banyak garam yang kita sedut dalam hidup ini. Garam itulah pahit manis kehidupan, dan uban di kepala menjadi bukti perjalanan waktu yang penuh pengajaran.

Ketika usiaku mencecah 27 tahun, aku menerima satu tanggungjawab besar—mengurus sebuah kilang sawit. Sebagai seorang jurutera stim yang baru sahaja mendapat lesen, aku terus dilantik sebagai pengurus. Dari kadet jurutera ke penolong jurutera, kini aku menjadi orang nombor satu di kilang. Ia bukan sekadar satu kenaikan pangkat, tapi satu ujian besar kepada jiwa muda sepertiku.

Aku masih ingat betapa sukarnya menjadi pengurus paling muda dalam syarikat. Setiap arahan, setiap keputusan—pasti ada yang mempertikaikan. Lebih-lebih lagi bila ada pekerja yang lebih tua, lebih lama, dan lebih berpengalaman. Salah seorang penolongku, lebih 15 tahun usianya daripadaku, sering mengabaikan arahanku. Aku jadi resah, marah dan kecewa.

Kerana terlalu mengikut darah muda, aku naik ke pejabat atasan dan meminta dia diberhentikan. Emosiku membuak, aku ugut untuk letak jawatan jika permintaanku tidak dipenuhi.

Namun bosku hanya berkata tenang, “Zul, it is not that easy. To terminate someone, we have to follow lots of procedures. Or else, we will end up with Labor Court issues.”

Aku terdiam.

Hari itu aku pulang ke ladang dengan jiwa berkecamuk. Tapi kata-katanya melekat dalam kepala. Beberapa tahun selepas itu, aku belajar selok-belok urusan pengurusan sumber manusia—dari surat tunjuk sebab, laporan disiplin, hingga ke peringkat terakhir. Barulah aku faham, mengurus manusia bukan seperti membaiki enjin. Ia perlu kesabaran, strategi dan... banyak garam.

Kini, bila aku bercerita kepada staf muda yang juga emosional, aku tersenyum. Pengalaman itu mahal. Jangan ikut darah muda, ikut ilmu dan hikmah. Jadilah profesional, dan belajarlah dari mereka yang sudah tinggi tekanan darah dan uban di kepala.

Kerana mereka sudah banyak sedut garam kehidupan.

No comments:

Post a Comment