“Kenapa abang pindah lagi? Kali ni keluar negara pula. Jauh…”Soalan itu datang dari seorang adik yang memandang penuh hairan. Barangkali dalam fikirannya, hidup itu sepatutnya stabil – duduk di satu tempat, bina kehidupan, dan teruskan di situ.
Aku hanya senyum. “Sebab syarikat suruh pindah, jadi abang pindahlah.”
Jawapan ringkas, tapi penuh cerita di sebaliknya.
Tidak ramai tahu, beberapa tahun lalu, aku pernah berada di titik paling rendah dalam hidup dan kerjaya. Aku telah meninggalkan sebuah syarikat, tanpa jaminan untuk masa depan. Waktu itu, keraguan menghantui. Siapa lagi yang mahu menerima aku? Bagaimana untuk bangkit?
Namun, Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Mengatur.
Mereka yang pernah bekerja dengan aku dahulu, tahu siapa aku. Mereka tidak menilai berdasarkan cerita atau persepsi orang lain. Mereka tahu kerja aku. Mereka tahu aku siapa.
Lalu, mereka membuka pintu. Memberi aku ruang untuk kembali, untuk membina semula.
Tidak mudah. Di tempat baharu, cabaran tetap ada. Ada juga yang tidak senang dengan kehadiran aku. Tetapi sekali lagi, beberapa individu berdiri teguh menyokong. Mereka percaya, mempertahankan aku, ketika aku sendiri hampir goyah.
“Zul, kamu bakal memegang jawatan ini. Kami yakin.”
Ayat itu bukan sekadar kata-kata. Ia adalah satu amanah. Satu harapan.
Tahun demi tahun berlalu. Aku bangkit, bekerja sepenuh hati. Gaji yang pernah aku minta – diberikan. Kedudukan yang pernah dijanjikan – ditunaikan. Hingga ke satu tahap, aku kembali ke Lahad Datu – tempat aku pernah mengimpikan untuk kembali.
Dan kini, sebuah tugasan baru menanti. Lebih jauh. Lebih besar. Lebih mencabar.
Empat tahun lepas mereka sudah beritahu aku tentang peluang ini. Mereka sudah nampak masa depan aku lebih awal daripada aku sendiri.
“Kilang ini akan jadi yang terbesar dalam sejarah syarikat. Kami semua dah berbincang. Hanya kamu yang paling layak.”
Aku terdiam. Terharu. Bukan kerana peluang itu sahaja, tapi kerana kepercayaan yang begitu besar diberikan.
Bekas CEO pernah berkata:
“I trust Zul. He’s a good leader with excellent communication skills.”
Itu kata-kata yang aku simpan kemas dalam hati. Kata-kata yang membuatkan aku mahu jadi lebih baik setiap hari.
Syarikat ini pernah menyelamatkan aku. Mengangkat aku ketika aku hampir tenggelam. Maka, inilah masanya untuk aku membalasnya.
Dan selebihnya, aku memang suka berkelana. Aku percaya, musafir itu satu pelajaran. Allah suruh kita merantau, mengenal dunia. Inilah jalannya. Untuk belajar, untuk memberi, dan untuk mengenal erti syukur.
Aku harap suatu hari nanti, adikku juga akan mengerti.
Untuk membesar, kau perlu keluar dari zon selesa. Kadang-kadang, kau perlu tinggalkan kampung halaman. Bukan kerana kau tidak sayang. Tapi kerana kau mahu jadi insan yang lebih baik.
Hijrah itu berat, tapi manis di hujungnya.
Ingatlah, kita cuma musafir. Dunia ini bukan rumah sebenar. Tapi dalam perjalanan yang singkat ini, tulislah cerita yang hebat.
Cerita ini kita punya. Maka biarlah ia berakhir dengan kebaikan. Untuk dunia dan akhirat.
"Berhijrah bukan untuk melarikan diri, tapi untuk mendekati erti. Untuk menjadi lebih baik. Untuk memberi lebih banyak. Dan untuk memahami makna syukur yang sebenar."
No comments:
Post a Comment