Bab 1: Pangkat Bertindan
Kilang itu dipenuhi dengan mereka yang bergelar “pengurus”, “jurutera kanan”, “penyelia teknikal”, “penolong jurutera”, “ketua jurutera operasi” dan pelbagai lagi gelaran yang panjang berjela. Namun, semakin ramai berpangkat, semakin kabur siapa yang memimpin.
Encik Hafiz, seorang pengurus operasi, lebih gemar berada di pejabat berhawa dingin daripada turun ke lantai kilang. Dia jarang menegur kesalahan dan sering menjawab,
“Itu kerja jurutera. Saya hanya pantau dari jauh.”
Jurutera kanan pula, Cik Ain, sibuk menyiapkan laporan mingguan dan graf prestasi yang akan dihantar ke ibu pejabat. Beliau tidak mempunyai masa untuk menyelia kerja-kerja penyelenggaraan atau memantau kelancaran kerja di loji.
Manakala penyelia seperti Encik Jalal, yang berpengalaman luas di kilang, merasa kecewa.
“Kita semua tunggu arahan. Tapi tiada siapa yang mahu bagi arahan. Semua hanya mahu ‘jaga selamat’ pangkat sendiri.”
Bab 2: Kilang Tanpa Arah
Suatu pagi Isnin, jentera press mengalami kerosakan besar. Tiga shift berlalu tanpa sebarang pengeluaran minyak. Juruteknik saling menuding jari.
Tiada siapa berani membuat keputusan segera — apakah perlu shutdown penuh? Adakah harus panggil kontraktor luar?
Jurutera tidak berani ambil risiko. Pengurus pula sibuk dengan mesyuarat dalam talian. Akhirnya, masalah itu berlarutan selama 2 hari, menyebabkan kehilangan pengeluaran lebih 200 metrik tan minyak mentah.
Bab 3: Malapetaka Menjelma
Keselamatan juga semakin terabai. Operator boiler mengadu kebocoran kecil pada steam valve. Aduan itu disalurkan kepada penyelia, yang mengarahkan untuk buat catatan dahulu — katanya,
“Nanti kita bincang dalam meeting safety bulan depan.”
Namun sebelum sempat bulan berganti, satu letupan kecil berlaku di kawasan boiler. Syukur tiada korban jiwa, tetapi dua pekerja cedera ringan. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dipanggil dan mendapati kilang gagal mematuhi beberapa keperluan penyelenggaraan berjadual.
Paling mengecewakan, tiada seorang pun antara pengurus atau jurutera yang hadir ketika siasatan dijalankan — masing-masing menyerahkan kepada pegawai keselamatan dan penyelia yang “tidak tahu-menahu” butiran teknikal.
Bab 4: Suara dari Bawah
Seorang operator muda bernama Zaki akhirnya memberanikan diri menulis satu nota ringkas, ditampal di papan kenyataan:
“Bukan pangkat yang kita perlukan, tapi pemimpin yang sanggup turun ke lapangan, bertindak bila perlu dan melindungi kami, bukan melindungi jawatan sendiri.”
Nota itu menjadi bualan. Beberapa pekerja mula bercakap terbuka. Ada yang menyuarakan di sesi townhall — bahawa terlalu banyak “bos” tetapi tiada “pemimpin”.
Bab 5: Mula Berubah
Ibu pejabat mula menghidu masalah selepas siasatan JKKP dan penurunan drastik produktiviti kilang. Seorang pengurus kanan dari HQ, Puan Faridah, dihantar untuk siasatan menyeluruh.
Dalam masa sebulan, beliau membuat rombakan. Jawatan dikurangkan, peranan diperkemas. Siapa yang tidak perform, diberi amaran. Siapa yang komited, dinaikkan walau tanpa gelaran besar.
Yang paling penting, beliau menghidupkan semula nilai kepimpinan — memimpin dengan teladan, bukan gelaran.
“Di sini, kamu bukan hanya penyelia atau jurutera. Kamu pemimpin kepada manusia lain. Jika kamu tidak boleh pimpin diri sendiri, jangan harap boleh pimpin orang lain.”
Penutup:
Kilang Lestari hari ini masih mengeluarkan bau yang sama, masih mengalirkan minyak dari lori ke tangki penyimpanan. Tapi budaya dalamannya telah berubah. Tiada lagi gelaran besar tanpa tanggungjawab. Tiada lagi mesyuarat panjang tanpa tindakan. Dan Zaki, operator muda tadi, kini sedang dilatih untuk menjadi jurutera — bukan kerana dia punya gelaran, tetapi kerana dia pernah berani bersuara.
Kerana pangkat itu bukan kepimpinan.
Dan kilang sawit bukan perlukan lebih ramai “bos”,
tetapi lebih ramai “pemimpin”.
No comments:
Post a Comment