Maksud
Khalifah (bahasa Arab: خليفة)(bahasa Inggeris: Caliph) secara harfiyah bermakna "pengganti" atau "wakil" yakni pemimpin umat Islam setelah Nabi Muhammad s.a.w. wafat. Mereka digelar sebagai khalifah Allah (perwakilan Allah) dan khalifah Rasulullah (pengganti utusan Allah).
Gelaran khalifah ini juga dikenali sebagai Amīr al-Mu'minīn (أمير المؤمنين) yang bermakna "pemimpin orang yang beriman". Sejak tumbangnya Empayar Turki Uthmaniyyah, gelaran ini tidak lagi digunakan.
Syarat menjadi Khalifah
Syekh Taqiyuddin An Nabhani dalam Kitab Nizamul Hukm Fil Islam menyebutkan tujuh syarat sehingga seseorang layak menjadi Khalifah, dimana syarat tersebut menjadi syarat sah untuk diangkat menjadi Khalifah atau disebut sebagai syarat in’iqâd. Jika ada satu saja kekurangan, maka akad pengangkatan Khalifah menjadi tidak sah. Adapun syarat tersebut adalah :
- Muslim
- Lelaki
- Baligh
- Berakal (Bukan Gila)
- Adil
- Merdeka (Bukan Hamba)
- Mempunyai Kemampuan Memimpin Negara (Daulah Islamiyah)
Khalifah Menerapkan Sistem Islam
Sistem yang benar. Ketika di Makkah, Nabi Muhammad s.a.w. pernah ditawarkan kekuasaan dan menjadi pemimpin di kalangan orang Arab. Tetapi Nabi Muhammad s.a.w. menolaknya kerana sebenarnya mereka mahukan Nabi Muhammad s.a.w. meninggalkan dakwahnya. Apabila kita teliti secara jernih, Nabi Muhammad s.a.w. merupakan manusia terbaik di kalangan orang Arab sehingga digelar Al-Amin. Sudah tentu beliau lebih dari layak untuk menyandang jawatan ketua kaum Quraish ini.
Namun begitu, beliau tetap menolaknya. Ini berbeza di zaman Madinah iaitu selepas Hijrah Rasulullah, beliau tanpa berlengah-lengah terus melaksanakan Islam secara keseluruhan dan memimpin kaum Muslimin. Semua permasalahan dan perselisihan diselesaikan menurut ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Di Madinah, karisma Rasulullah benar-benar telah menyatu dengan sistem yang digunakan untuk memerintah, yakni Sistem Islam. [1]
Di dalam Sistem Islam ada empat asas perlu diperhatikan iaitu;
Kedaulatan di tangan syara’. Hanya syara’ yang berhak menentukan apa yang halal dan haram serta apa yang terpuji atau tercela. Manusia hanya memahami ayat-ayat Allah dan melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.
Kekuasan di tangan umat. Maksudnya umatlah yang memilih pemimpin dengan rela untuk menerapkan Syariat Islam.
Wajib mengangkat satu pemimpin sahaja di dunia Islam.
Hanya pemimpin (Khalifah) yang berhak mengadopsi hukum syara’.
Khalifah hanya satu untuk Umat Islam
Keharaman mengangkat dua orang pemimpin (Khalifah) sebagai ketua negara ditegaskan oleh Hadis Rasulullah s.a.w. :
«إِذَا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ فَاقْتُلُوا اْلآخِرَ مِنْهُمَا»
Jika dibaiat dua orang khalifah maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya. (HR Muslim)
Makna Hadis dan Faedahnya
Hadis ini mengandung pengertian, jika dibaiat dua orang khalifah, maka orang yang dibaiat lebih akhir harus dibunuh. Baiat atas orang yang pertama haruslah baiat yang sah secara syar‘ie. Orang kedua, baik ia mengetahui adanya baiat pertama yang sah itu ataupun tidak, disuruh menanggalkan baiatnya dan segera membaiat Khalifah yang sah itu. Jika ia menolak, kata as-Suyuthi, ia harus diperangi meski sampai ia harus dibunuh; kecuali jika ia mengumumkan pembatalan baiat atas dirinya, berhenti dari merobek kesatuan kaum Muslim dan memecah jamaah mereka, berhenti menentang khalifah yang sah, dan segera memberikan baiat taat kepadanya.
Hadis ini memerintahkan Daulah Khilafah. Kaum Muslim hanya boleh memiliki seorang khalifah dan satu Khilafah. Haram diakadkan baiat kepada dua orang, apalagi lebih. Ibn Hazm menuturkan, kaum Muslim di seluruh dunia tidak boleh memiliki dua orang imam/khalifah, baik keduanya saling sepakat ataupun berselisih, di dua tempat berbeza atau di tempat yang sama. Imam an-Nawawi berkata, “Para ulama telah bersepakat bahwa tidak boleh diakadkan baiat kepada dua orang khalifah pada satu masa, baik wilayah Negara Islam itu luas ataupun tidak.”.
Tanggungjawab Khalifah
Pertama : Memelihara Keturunan.
Antara langkah-langkah praktiknya:
Mensyariahkan nikah dan mengharamkan penzinaan;
Tidak memberikan kebebasan dalam tingkah laku, berhubungan bebas, seks bebas dan sebagainya;
Menetapkan berbagai hukuman terhadap mereka yang berzina.
Dalam sistem kehidupan sekular, tentunya perkara-perkara tersebut tidak dapat dilakukan kerana melanggar hak asasi manusia yang merupakan tunjang kepada sistem demokrasi.
Kedua : Memelihara Akal.
Islam telah menetapkan beberapa perkara antaranya;
Mewajibkan seluruh warganegara menuntut ilmu dengan pembiayaan sepenuhnya oleh negara. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan para khalifah;
Mencegah dan melarang dengan tegas segala perkara yang merosakkan akal seperti minuman keras dan dadah;
Menetapkan hukuman terhadap semua yang terlibat dengan barangan larangan tersebut.
Dalam sistem sekarang, minuman keras dianggap barang yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi kerana cukai importnya. Maka, ianya hanya ‘diharamkan’ sekiranya tidak membayar cukai atau diseludup secara haram. Itu pun, hukumannya langsung tidak meninggalkan kesan terhadap pelakunya.
Ketiga : Memelihara Kehormatan.
Hal ini diatur dengan;
Memberikan kebebasan untuk melakukan apa pun yang mubah selagi tidak keluar dari sempadan syariah;
Melarang orang menuduh zina, jika tiada bukti, hukuman had al-qazaf iaitu disebat 80 kali akan dilaksanakan;
Wanita dijadikan sebagai “kehormatan” yang mesti dipelihara, dan bukannya sebagai barangan murahan.
Era dunia sekular sekarang tidak menjamin kehormatan seseorang. Acara-acara hiburan, ekploitasi ke atas wanita, malah aksi-aksi pornografi (lucah) dibiarkan berleluasa.
Keempat : Memelihara Jiwa (Nyawa) Manusia.
Dengan syariah Islam setiap warga daulah Islam walau apa pun bangsa dan agamanya, akan terpelihara dan dijamin keselamatan jiwanya.
Sebaliknya, tanpa syariah Islam, realiti hari ini menunjukkan bahawa setiap hari media ada melaporkan kes pembunuhan. Keluarga mangsa korban selalunya tak dilayan seadilnya. Berbeza dengan Islam yang menetapkan hukum qisas dan diyat.
Kelima : Memelihara Harta.
Dalam Islam, bukan hanya harta peribadi yang dilindungi, tetapi keperluan asas setiap individu juga terjamin. Harta milik umum seperti hasil galian, petroleum dan sebagainya hanya akan dikelolakan oleh negara dan dikembalikan bagi kesejahteraan rakyat.
Sebaliknya, dalam sistem sekular keperluan asas pun tidak dijamin, apatah lagi harta milik umum hanya dirasai segelintir orang kaya termasuklah rakyat asing.
Keenam : Memelihara Agama.
Islam mempunyai hukuman bunuh bagi orang yang murtad.
Dalam sistem sekular, agama ini sering diperlecehkan, aqidah umat juga tidak terpelihara untuk disesuaikan dengan prisip kebebasan beragama.
Ketujuh : Memelihara Keamanan.
Khalifah yang telah dibaiat, sudah tentu tidak akan membiarkan pihak asing menguasai kemanan daulah. Bahkan mereka yang merompak, merusuh dan membuat jenayah akan dibunuh, disalib dan diasingkan dari daulah (salah satu atau ketiga-tiganya). Bandingkan dengan situasi kini, penjenayah bebas keluar masuk penjara tanpa rasa kesal dan rakyat sentiasa rasa tidak aman dan selamat.
Kelapan : Memelihara Negara.
Dalam Islam, keutuhan daulah sentiasa dijaga. Pemberontak negara akan dihukum. Sebarang usaha untuk memecahbelahkan daulah akan dilumpuhkan. Bezanya kini, sistem sekular membiarkan negeri umat Islam berpecah menjadi serpihan kecil dan lemah.
Rujukan
No comments:
Post a Comment