Showing posts with label Kemalangan. Show all posts
Showing posts with label Kemalangan. Show all posts

Wednesday, 29 January 2025

Apa lagi yang boleh kita buat?

  1.  Pada suatu petang semasa kami sedang minum di kantin, kami nampak seorang lelaki tua berlari ke arah kami dari hujung jalan. Tercungap - cungap keletihan. Kami terus menghampirinya.
  2. Beliau memaklumkan, cucunye lemas di dalam kolam air kilang. Kolam air kilang terletak agak terpencil dari pandangan kilang. Di bawah bukit dan di sedikit terlindung dari jalan utama. 
  3. Sepantasnya kami mencapai kenderaan motor dan kereta memandu menuju ke lokasi kejadian.
  4. Hampir sepuluh orang pekerja termaksud penyelia kilang sampai ke kolam air kilang. Setelah mengenal pasti lokasi tempat budak lelaki berumur lapan tahun itu terjatuh, beberapa orang antara kami terjun dan menyelam mencari mangsa. Saya juga turut serta menyelam mencari mangsa. Lokasi kejadian ada kawasan konkrit tempat air limpahan mengalir. Ia sangat licin dengan lumut. Kolam pula sangat dalam melebihi paras 10 meter.
  5. Beberapa minit kemudian, salah seorang penyelia kilang menyambar tali pancing dan menariknya. Badan mangsa dicapai dan dibawa ke atas tebing. Melihat sebujur tubuh basah dan pucat. Kami melakukan CPR. Malah kami juga turut mengangkat badan mangsa dan menterbalikkannya untuk mengeluarkan air dari badan.
  6. Lebih menyayat hati, di badan mangsa masih ada tali pancing terlilit. Dari keadaan kawasan konkrit limpahan air yang licin penuh lumut, kami boleh jangka mangsa tergelincir jatuh ke kolam. Mangsa tidak dapat naik mahu pun pandai berenang dan disebabkan itu boleh nampak kesan tali pancing dikeliling badan.
  7. Mana mungkin mangsa mampu diselamatkan. Jarak jalan kaki ke kantin sahaja sudah hampir 20 minit. lebih kurang 15 minit kami menyelam sebelum mangsa ditemui.
  8. Mangsa adalah anak buah kepada foreman kami. Dia keluar memancing bersama datuknya. Kolam air kilang sebenarnya telah diwartakan sebagai kawasan larangan. Dilarang memancing dan melakukan sebarang aktiviti air. Semua pekerja tahu tentang perkara ini.
  9. Satu nyawa hilang. Pada masa itu kami melihat wajah foreman dan datuk mangsa menangis tanpa henti. Sangat sayu melihat suasana yang terjadi dan tidak mampu diubah lagi.
  10. Selang seminggu kemudianya, saya dan pengurus kilang duduk di kantin. Setelah lama berdiam diri, dia bertanya kepada saya. Kita telah buat banyak usaha untuk melarang pekerja daripada memancing dan melakukan sebarang aktiviti di sana, namun kenapa masih ada yang degil dan melanggarnya? Apa lagi yang kita boleh lakukan?
  11. Nak letak pagar agak mustahil kerana kawasan kolam itu sangat luas.
  12. Kemudian saya berkata, apa kata kalau kita letak tanda amaran, di sini ada buaya? supaya menakutkan orang daripada menghampiri kawasan ini.
  13. Bukan setakat letak papan tanda, malah kita boleh terus letakkan buaya di sana! supaya tidak ada lagi orang yang hendak pergi ke sana!
.....setelah lebih 18 tahun, soalan yang sama muncul dalam minda saya. Terutama apabila berbincang perihal sifat para pekerja yang degil dan tidak mahu mengikut undang - undang. Apa lagi yang boleh kita lakukan? Dengan lebih baik?

sebenarnya, jawapannya cuma satu. Keselamatan adalah sebuah perjalanan. Ia tidak noktah. Usaha perlu giat dilakukan setiap masa oleh setiap orang tanpa henti penat dan lelah. Sebuah perjalanan panjang.

Jangan putus asa. Teruskan usaha!

Monday, 15 February 2010

Kemalangan

  1. Selepas bekerja beberapa bulan sebagai cadet engineer di kilang sawit, aku mendapat kemalangan.
  2. Kejadian itu berlaku pada pukul 9 malam. Kami biasa balik lewat malam untuk menandatangan buku seal gate selepas operasi penerimaan buah sawit.
  3. Semasa pintu utama kilang hendak ditutup, gate tersangkut separuh. Aku sudah beberapa minggu tahu mengenai kejadian tersebut dan sudah mengarahkan foreman untuk membaikpulih. Mungkin disebabkan pengaruh aku yang masih kurang, arahan itu tidak diambil berat serta pintu pagar itu tidak dibaiki.
  4. Disebabkan faktor itu, aku terus mengambil tindakan drastik serta berazam untuk menyelesaikannya pada malam itu juga. Serta - merta, aku arahkan fitter yang standby operasi malam untuk datang membaiki pintu pagar tersebut. Aku turut sama membantu.
  5. Disebabkan kurang pengalaman serta kurang peka terhadap faktor keselamatan, wheel loader dipanggil untuk membantu mengangkat beberapa inci pagar tersebut supaya penukaran bearing dapat dilakukan. Semasa proses tersebut, jari tengah kanan aku terhimpit disebabkan oleh pagar tersebut jatuh akibat terlepas dari bucket wheel loader.
  6. Serta - merta aku menarik jari berlumuran darah. Episod seterusnya menyaksikan aku menunggu untuk menerima rawatan di Hospital Besar Bandar Lahad Datu.
  7. Aku mendapat 6 jahitan serta ditahan selama 5 hari. Sepanjang tempoh 5 hari di hospital, aku sedih kerana berseorangan di hospital (tiada sesiapa melawat aku dalam tempoh tersebut). Aku merahsiakan kejadian tersebut daripada keluarga di kampung untuk mengelak ibubapa aku risau. Lagipun, aku rasa boleh mengharunginya sendirian. Berseorangan di hospital banyak mengajar aku mengenai arah tuju yang bakal dipilih dalam industri. Kenapa aku memilih jalan ini? Segala macam kesusahan perlu ditanggung oleh aku sendiri kerana pilihan ini dilakukan oleh aku. Perantau - bersedirian di hospital. Ia bukan sebab duit. Ia bukan sebab kekasih. Ia bukan sebab jawatan. Hanya diri sendiri yang mampu memberikan jawapan tak kala motivasi diri berada pada tahap paling rendah! Kejadian itu juga menyebabkan aku lebih teratur merancang untuk mencapai lebih banyak kejayaan setiap waktu aku berada dalam industri.
  8. Aku sepatutnya pulang lebih lewat, namun aku meminta untuk pulang awal dan bekerja. Aku diberi cuti 2 minggu untuk berehat. Namun, hari - hari seterusnya menyaksikan aku pergi berkerja kerana mahu menghilangkan kebosanan di rumah.
  9. Antara kerja yang aku lakukan adalah menyelesaikan kerja yang belum aku siapkan. Bezanya kali ini kerja tersebut dilakukan sendiri oleh foreman tanpa banyak soal.
  10. Minggu - minggu berikutnya aku membuat laporan kemalangan sendiri ke JKKP, PERKESO serta insurance. Segala proses diuruskan oleh aku sendiri kerana rakan sekerja yang lain tiada pengalaman.
  11. Aku mendapat lebih RM2800 daripada pampasan PERKSO selang beberapa bulan selepas kejadian tersebut . Jari tengah aku kurang beberapa mm.
  12. Duit itu aku gunakan untuk belanja kawin beberapa bulan kemudian.
banyak yang aku pelajari daripada kejadian tersebut.