Sunday 10 April 2022

ISO Risk-Based Thinking

Universiti Kehidupan

Ketidak selesaan itu adalah pengalaman berharga dalam universiti kehidupan

Bila ditanya, bagaimana saya boleh survive dalam industri sawit dan kejuruteraan hingga kini? Jawapan saya sebab dulu saya PALAPES.

Semasa 3 tahun latihan, kami pernah tidur dalam ladang sawit baru tanam, sawit 10 tahun dan sawit nak tebang. Selain ladang sawit, ladang getah pun pernah. Dalam hutan itu biasa, mara berpuluh km dan berkubu atas bukit botak panas terik mentari. Bila kita buat latihan, maka disitulah kami tidur, makan, minum dan mandi. Jika disitu ada lopak air, maka itulah air yang kami buat mandi.

Jika bukan kem tahunan selama 2 minggu, kami ada latihan 2 hari setiap hujung minggu. Bangun awal pagi pukul 5 dan berbaris pukul 6. Kami buat latihan fizikal, kawad, teori dan amali sepanjang hari. Masa itu rakan kami yang lain lena dibuai mimpi tidur sampai tengahari.

Tamat latihan tahunan, cuti berbaki kami buat aktiviti rekreasi sesama sendiri. Kami buat ekspedisi kayak dari Seberang Prai hingga Tanjong Tokong, Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Berhenti di Pantai Batu Feringgi akibat ombak tinggi.

Apabila semester berjalan, kami buat aktiviti kelab makan malam, baktisiswa, jaga sekuriti jaga universiti 🤭, kawad pembukaan konvokesyen universiti, kawad hari kebangsaan serta banyak aktiviti lain. Saya jadi tukang belakang tabir dan sejak dulu tidak suka persembahan diri. Beri saya kerja belakang tabir, sudah pasti segalanya selesai.

Akhirnya, kami bergaya dengan baju mahal No. 1 kutipan duit alaun latihan bertahun untuk makan malam rejimental di hotel mewah 5 bintang. Balik makam malam, kami cari roti canai depan universiti akibat kelaparan 🤣🤭.

Ya, kami bangga sebab pengorbanan itu menjadi sebuah kenangan indah sepanjang hayat. Sekali seumur hidup, jika kita susah, tidak selesa, sakit, sengsara, namun selepas itu ia menjadi indah sepanjang hayat. Ya, kita mampu dan kuat mengharungi segalanya. Kehidupan menanti lebih besar cabarannya.

Seni Mengurus - Science of Management

Dari Teknikal kepada Pengurusan

Suatu hari, semasa menemani seorang GM menyusuri kolam - kolam effluent, saya bertanyakan nasihat kepada beliau tentang apa yang perlu saya lakukan untuk membina kerjaya sebagai jurutera? Apa lagi bidang teknikal yang perlu saya belajar?

Tanpa diduga, dia menjawab, "Jika kejuruteraan itu adalah sains, maka pengurusan juga adalah sains. Seni mengurus manusia". 

Maka sejak itu, disamping menambahkan kompetensi dalam teknikal, saya memulakan pengembaraan belajar tentang pengurusan. Dari hari ke hari, semakin banyak ilmu baru tentang pengurusan saya perlu pelajari. Komunikasi, kepimpinan dan pengurusan adalah perkara yang sangat luas. Ia amat kompleks kerana kita berhadapan dengan manusia yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

Mesin rupanya lebih mudah. Tetapi tidak manusia. Ia memerlukan ilmu pengurusan tanpa henti.

Pemimpin perlu sentiasa belajar, mengajar, diajar dan sentiasa berubah ke arah lebih baik.

Usia Muda

Umur muda remaja dewasa 

Masa untuk belajar. Fizikal dan mental dalam keadaan paling terbaik untuk dibentuk. Dulu kita belum ada zaman gadjet. Masih pakai telefon awam guna duit syiling nak telefon awek.

3 tahun lebih di universiti antara perkara terindah yang banyak membentuk diri saya hari ini adalah kerana saya menyertai PALAPES - ROTU.

Sepanjang 3 tahun latihan, kami dilatih dan diuji fizikal serta mental. Hanya mereka yang pernah menyertai latihan tentera tahu pahit manis derita dan air mata dalam latihan tahunan, kawad dan siri pentaulihan. 

Dalam masa 3 tahun pahit dan manis, kemudian ditauliahkan sebagai Leftenan Muda. 3 tahun itu masa yang amat singkat, namun kesannya membentuk diri sepanjang hayat.

Apabila berkerja, rupanya cabaran lebih besar kita akan hadapi. Fizikal dan mental. Di laut kita dibuang menjadi pulau, di darat menjadi gunung, di langit menjadi bintang - tiber.

Moralnya, kita adalah apa yang kita lakukan di zaman remaja muda dewasa. Gunalah masamu sebaik mungkin anak bangsa.