Thursday 13 September 2018

Isteri, insan terbaik di dunia buat suami

Bersaksikan Kaabah dan rukun yamani,
Daku menukilkan perasaan jiwa raga ku ini buat para suami di dunia.

Ketahuilah olehmu sang suami,
Dirimu kini punyai isteri. Ketahuilah olehmu, dia adalah insan terbaik di dunia buatmu pilihan Allah, sejak kamu belum pun dilahirkan. Biar pun apa bentuknya, wajahnya, warna kulitnya, perangainya, serta apa jua yang baik buruk pada dirinya, dia tetap insan terbaik di dunia buat masa ini kepadamu dibandingkan dengan seluruh wanita yang bukan muhrim kepada mu dari serata pelusuk dunia.

Kenapa daku berkata demikian?

Para suami, isterimu itu halal buatmu. Ia ada segala yang ada pada wanita lain seisi dunia. Maka, yang halal itu adalah terbaik di antara seisinya dunia ini!
Jika kamu dambakan artis di luar sana,
Jika kamu dambakan ratu cantik dunia,
Jika kamu dambakan sesiapa sahaja,

Semuanya tidak bisa menandingi isterimu yang halal, yang telah ditetapkan jodoh oleh Allah di alam ruh, tika kamu belumpun dilahirkan.

Para suami,
Isterimu jua temanmu dulu dan kini,
Dia lahirkan anak - anakmu dengan penuh kesakitan dan nyawa di hujung tanduk,
Dia jaga, didik, besarkan anak - anakmu siang dan malam tanpa rasa jemu, malah penuh kasih dan sayang
Dia dulu dijaga bapanya, disayangi ibunya, tempat bermanja, tempat menumpang kasih,
Keranamu, dia tinggalkan segalanya,
Kini dia di pelusuk dapur, siang dan malam, menjaga makan dan minum mu,
Dia di rumah, siang dan malam, bekerja tanpa henti,
1001 perkara boleh ku senaraikan betapa dia telah korbankan untuk dirimu suami dan anak - anakmu.

Para suami,
Kasih lah isterimu,
Sayangilah isterimu,
Manjakan dia,
Pujuklah dia,
Dengarlah bebelannya,
Jagailah dia selamanya.

Jangan dikau zalimi dirinya
Jangan dikau hina dirinya
Jangan dikau sindir dirinya
Jangan dikau kecewa dan buatnya menangis

Ingatlah para suami,
Rasulullah SAW pernah bersabda, lelaki terbaik adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan Baginda SAW adalah yang terbaik buat kaum wanita.

Baginda turut berpesan, jika pun dikau terpandang fitnah wanita di luar sana, maka,
Kembalilah kepada isterimu, kerana sesungguhnya, dia jua sama seperti wanita lainnya.

Dialah yang terbaik buatmu dari seluruh wanita dunia!

Masjidil Haram,
1630
13.09.2018