Showing posts with label Aku. Show all posts
Showing posts with label Aku. Show all posts

Saturday, 22 February 2020

Keypad : Umur 22 tahun pada 2001


  1. Dah lama bersarang blog ini.
  2. Tengah cuci - cuci dan share di page FB, terjumpa gambar masa muda berumur 22 tahun, 19 tahun lepas, 2001.
  3. Gambar semasa Peringkat Tiga PALAPES, Kem Tahunan, Berkubu di Gurun, Kedah.
  4. Saya tertarik melihat gambar ini kerana masa berlalu sangat pantas. Pada waktu yang sama, situasi tubuh badan pada saat ini berumur 41 tahun amatlah berbeza pada saat gambar ini diambil.
  5. Sejak beberapa bulan yang lepas, badan saya mulai rasa lemah. Tidak seperti ketika saat muda.
  6. Kena mula jaga pemakanan dan tidak lagi boleh melakukan aktiviti ekstrem seperti usia muda.
  7. Jika dulu, apa sahaja boleh dilakukan. Kini tidak lagi. 
  8. Rakan sekolah dan universiti juga ada sudah yang meninggalkan dunia menuju akhirat beberapa tahun yang lepas.
  9. Saat dan sisa masa yang berbaki, semoga diisi dengan penuh kebajikan, kebaikan dan mengumpul bekalan untuk Hari Akhirat.
Semoga Allah berkati kita semua dalam rahmat dan hidayah selamanya.


Monday, 28 October 2019

Cerita tentang PhD (Part 2)

1. Seorang pesakit memasuki dewan bedah.
2. Sebelum operasi bedah dilakukan, pesakit bertanya kepada doktor. Siapakah dia dan apa kelulusannya?
3. Doktor yang berdiri di depannya menjawab. Saya seorang doktor. Namun saya tidak belajar secara formal dalam mana - mana institusi pendidikan dalam bidang kedoktoran. Saya belajar ilmu kedoktoran melalui bacaan Facebook dam juga belajar komen group Whatsapp. Saya juga banyak tonton Youtube. Jadi, saya sudah layak untuk membedah manusia lain dengan sempurna.

Doktor akhiri jawapannya dengan senyuman kambing. 😁

.....
Tuan Puan,
4. Itulah analogi mudah, kenapa PhD itu hadir dalam kehidupan kita.
5. Orang yang mempunyai PhD telah melalui proses pembelajaran dan kajian yang telah melayakkan beliau untuk dipanggil pakar dalam bidang kajian beliau.
6. Jika PhD itu tidak penting, maka seperti jua seorang doktor bedah, kelayakkan beliau juga tidak penting semasa di dewan bedah. Namun, jika anda pesakit tersebut, mahukah anda dibedah oleh doktor yang tidak ditauliah itu?
7. Jika kelayakkan dan tauliah itu tidak penting, maka dunia akan hancur.
8. Semua orang boleh jadi pakar untuk ulas semua perkara.
9. Dengan kelayakkan dan tauliah, seseorang telah melalui semua proses yang melayakkan beliau untuk mengambil tugas dan tanggugjawab.
Diyakini.
Dipercayai.
Untuk memikul beban besar.

10. Dunia sains maju sebab budaya ilmu yanh punyai disiplin yang tinggi.
11. Manusia maju disebabkan ilmu dan akhlak bertaut sesama dalam jadikam ia sumber mengubah kehidupan manusia ke arah lebih baik.
12. Dalam kaedah Islam, authoriti itu sangat utama dalam menilai sumber dan kesahihan ilmu.

Sunday, 27 October 2019

PhD

Cerita tentang Phd (permenant head damage)

1. Baru - baru ini viral seorang graduan Phd yang bekerja sebagai Grabfood.
2. Alhamdulillah dan tahniah, beliau memilih untuk berusaha mencari rezeki yang halal. Ia suatu semangat yang wajar dipuji.
3. Namun, kisahnya berkaitan Phd sangat unik. Adakah kisahnya memberi inspirasi kepada mereka yang bakal, sedang atau tamat Phd?
4. Membaca kisahnya yang unik bakal memberikan 1001 persepsi negatif terhadap mereka yang bercita - cita menyambung pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi iaitu Phd.
.....
5. Saya masih tidak mempunyai Phd. Namun, membaca kisahnya yang unik menyebabkan saya rasa ingin turut berkongsi pandangan yang amat bertentangan dengan pandagan beliau.
6. Apakah tujuan kita belajar?
7. Apakah tujuan kita melanjutkan pelajaran?
8. Kenapa ramai kalangan kita yang mengambil Phd?
9. Adakah Phd itu melambangkan seseorang cukup mahir dengan itunya?
10. Adakah orang yang tidak mempunyai Phd dikategorikan sebagai orang yang tak berilmu?
11. Adakah Phd itu jaminan untuk kita mendapat pekerjaan?

Baik. Ini pandangan saya.

12. Pada pendapat saya, keilmuan itu nilainya tinggi melebihi harta dan materialistik.
13. Apabila kita mula belajar ABC, tujuan kita adalah untuk membaca. Membaca membawa kita keluar daripada kejahilan. Dengan membaca, kita boleh mendapat ilmu daripada pelbagai bidang. Kepandaian itu menyebabkan kita boleh kebahagian dunia akhirat.
14. Setelah kita menamatkan pengajian ijazah pertama, kita memasuki alam pekerjaan atau perniagaan.
15. Proses pembelajaran tidak pernah terhenti. Kita masih perlu membaca dan menambahkan ilmu kompetensi terhadap bidang kerja kita.
16. Jika seorang doktor ingin menjadi doktor pakar, maka mereka perlu belajar dan mengambil peperiksanaan.
17. Jika seorang jurutera ingin menjadi jurutera stim, maka mereka perlu belajar akta kilang dan jentera serta ilmu berkaitan boiler dan keselamatan.
18. Pendek kata, pembelajaran tidak pernah terhenti.
19. Bagi mereka yang bercita - cita untuk menjadi pensyarah atau pakar dalam bidang yang beliau minati, mengambil Phd adalah salah satu caranya.
20. Banyak lagi cara lain, namun ia adalah salah satunya.
21. Setelah melalui proses pembelajaran dari sekolah rendah hingga ke universiti, tidak ramai yang mahu meneruskan proses pembelajaran hingga ke peringkat Phd.
22. Mereka yang telah membuat keputusan untuk mengambil Phd dalam bidang yang dipilihnya, sudah pasti memikirkan dengan mendalam perancangannya pada masa hadapan.
23. Isunya, apakah niat dari awal untuk proses tersebut?

Pilih bidang yang memberi impak kepada masyarakat
24. Konsep utama Phd adalah kajian.
25. Kita akan lakukan kajian berkenaan sesuatu topik.
26. Tujuannya adalah untuk menyelesaikan masalah dan menyumbang hasil kajian kita itu kepada masyarakat.
27. Maka, sudah pastinya kajian kita itu mesti boleh diguna pakai untuk masyarakat.
28. Namun, jika kita melakukan kajian terhadap perkara yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat, maka seperti jua Phd kita, kajian kita itu tidak akan memberi manfaat kepada diri kita.
29. Niat dan tunjuan awal keputusan kita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Phd amatlah penting.
30. Kerana ia bakal memberi impak kepada diri dan juga masyarakat.

Cerita tentang ujian kehidupan


1. Kehidupan ini sebuah pengembaraan.
2. Kembara alam dunia menuju alam Akhirat yang abadi.
3. Setiap apa yang berlaku, ia umpama sebuah persinggahan.
4. Setiap antara kita diuji dalam bentuk yang berbeza.
5. Namun kita punya musuh yang sama. Iaitu nafsu dan syaitan.
6. Nafsu kita terkenal dengan cenderung kepada keduniaan.
7. Syaitan pula telah bersumpah akan memastikan kita bersama - samanya menjadi ahli neraka.
8. Maka, Allah yang Maha Pengasih, hadirkan kita para Nabi sebagai petunjuk dan Al Quran sebagai bekalan untuk kita menghadapi nafsu dan syaitan. Selama hayat kita dikandung badan, supaya kita sentiasa beroleh hidayah dan taufek ke arah jalan yang lurus.
9. Ada antara kita diuji dengan harta. Yang terlebih harta dengan membazir. Yang kurang harta dengan melakukan penyelewengan, mencuri dan merompak.
10. Ada antara kita diuji dengan penyakit yang kronik sehingga membawa kematian.
11. Ada antara kita diuji dengan ilmu yang membawa kepada sifat ego, riak dan sombong.
12. Ada antara kita diuji dengan anak - anak dan keluarga. Anak yang terlibat dengan gejala sosial dan juga pasangan yang curang.
.....
13. Disebalik ujian, musuh utama anak Adam iaitu Syaitan turut juga memasukkan hasutan bisikan dan jarum - jarumnya untuk menjauhkan hamba Allah dan seterusnya menjadikan kita semua penghuni neraka.
14. Di sebalik ujian nafsu dan bisikan syaitan yang tak pernah ada nokhtah, Allah telah bekalkan kita dengan kisah para Nabi yang banyak memberi inspirasi kepada kita semua untuk terus kekal istiqamah dalam apa jua cabaran kehidupan supaya tetap teguh mentauhidkan Allah.
15. Rahmat Allah tak pernah terhenti buat hambaNya.
16. Setiap dosa dan noda, pintu taubat sentiasa terbuka luas.
17. Jalan dan pintu ke arah jalan yang lurus telah ada ditunjuk oleh Rasulullah SAW untuk kita sebagai umat akhirat zaman.
18. Ikutilah Islam dan insya Allah, kebahagian di dunia dan di Akhirat jadi milik kita.

Kota Bharu, Kelantan.

Thursday, 1 August 2019

Keypad Zulhijjah 1440H




  1. Setahun yang lepas aku, tika ini aku bersiap untuk menunaikan fardhu haji.
  2. Kini. Aku sedang memandang bintang di langit yang cerah dibelakang rumah sambil menunggu waktu isyak. Duduk dengan bangganya di atas kerusi kayu solid yang baru siap minggu lepas. Hasil kerja yang cukup aku banggakan. Di sebelah aku penuh papan yang telah dibuka sejak 2 hari lepas. 18 keping pallet semuanya. Pelbagai idea timbul untuk menghasilkan perabut lain seterusnya!
  3. Maha Suci Allah. Syukur ke atas segala nikmat dan rezeki yang telah Allah kurniakan kepada aku.
  4. Rezeki masa.
  5. Rezeki kesihatan.
  6. Rezeki keamanan.
  7. Rezeki kebahagiaan.
  8. Rezeki mental yang sihat dan cerdas.
  9. Rezeki ilmu agama yang tak kunjung putus.
  10. Rezeki anak isteri dan keluarga yang penyayang.
  11. Rezeki ibubapa dan adik beradik yang sentiasa ada di sisi.
  12. Rezeki rakan taulan sahabat yang beriman.
  13. Perabut yang dihasilkan ibarat sebuah karya.
  14. Untuk dihasilkan, ia perlukan mental yang sihat.
  15. Fizikal yang sihat.
  16. Masa yang lapang.
  17. Peralatan yang lengkap.
  18. Rezeki Allah atas segala yang terjadi.
  19. Maka, terhasilnya kerusi ini adalah satu lambang kesyukuran aku kepada Allah. Bukan mudah untuk diri aku yang telah mengalami fasa besar dalam usia aku untuk menghasilkan sebuah karya indah ini.
  20. Ya, aku masih dalam proses penyembuhan. Luka masih belum sembuh sepenuhnya. Ia masih ada walaupun wajahku kian tersenyum setiap hari.
  21. Zikir. Doa. Tidak pernah aku lupa. Ia adalah ubat paling mujarab buat aku kini.
  22. Di saat kesakitan mendalam, Allah hadirnya minat aku sekian lama.
  23. Bertukang.
  24. Ia amat menenangkan aku.
  25. Perbuatan berulang kali semasa bertukang telah menenangkan dan menyempuhkan luka aku dengan amat pantas.
Untuk tempahan, sila hubungi aku.
  • Perabut yang dibuat dengan penuh kasih sayang jiwa dan raga.

Sunday, 28 July 2019

Aku Seorang Jurutera Kilang Part 2


  1. Sambungan dari kisah 1
  2. Aku minat jadi jurutera kerana beberapa sebab. Antara sebabnya adalah hadis di atas.
RUANG DAN PELUANG UNTUK BUAT KEBAIKAN KEPADA MANUSIA
Sebagai seorang jurutera, ruang dan peluang untuk menghasilkan pahala dan saham akhirat amatlah luas.
1. Bayangkan, jika kita singkirkan duri di jalanan daripada menyakiti kaum muslimin lain pun beroleh syurga dari Allah, maka sebagai jurutera yang terlibat dalam mereka bentuk jalan dan membina kenderaan lebih lagi!
2. Ikhlaskan niat kita dari awal kerjaya. Gunakan pengentahuan, keupayaan dan pengalaman kita untuk memberi manfaat kepada manusia secara umumnya.
3. Jurutera terlibat dalam menguruskan risiko terhadap nyawa manusia. Pelbagai cara boleh menyelamatkan manusia.
4. Cipta alat, mesin, sistem dan prosedur yang selamat untuk pekerja, orang awam, makhluk lain serta alam sekitar.
5. Didik pekerja dan orang awam tentang risiko dan bahaya.
6. Selesaikan sebarang permasalahan manusia yang melibatkan isu teknikal di mana jua kita berada.
7. Mencegah itu lebih baik daripada merawat. Maka sudah pasti, jurutera mampu berfikir untuk mencari jalan kepada sebarang permasalahan yang timbul dalam kehidupan harian.
8. Sebagai contoh, jika terdapat satu jalan yang berbahaya dan sering berlaku kemalangan, seorang jurutera boleh melakukan penyelesaian berikut:-
8.1 Teknikal : Ubahsuai jalan supaya kurangkan cerun, lubang bahaya, 
lebarkan jalan, tambah bund, 
cipta kereta anti kemalangan, 
cipta pembahagi jalan yang mampu selamatkan pemandu
cipta aplikasi makluman awal kepada pengguna berhubung lokasi bahaya
cipta alat untuk mengurangkan had laju kereta secara automatik apabila melalui kawasan gps lokasi kemalangan tinggi
8.2 Kesedaran : Tambah lebih banyak papan tanda amaran sebelum kawasan kemalangan
8.3 Undang - Undang : Pasang kamera had laju, buat roadblock lebih kerap di kawasan terbabit. Kenakan hukuman lebih berat kepada pesalah had laju.

9. Jika di tempat kerja sering berlaku kemalangan, tindakan berikut boleh dilakukan untuk menyelamatkan nyawa manusia :-
Contoh kemalangan melibatkan conveyor
9.1 Turunkan rpm conveyor di bawah 10 rpm. Gearbox, saiz conveyor perlu dibesarkan.
9.2 Pasang penutup conveyor dan bahagian mesin yang bergerak.
9.3 Laksana sistem LOTO (Lock Out Tag Out system).
9.4 Laksanakan Work Permit Sistem (Permit to Work - PTW)
9.5 Laksana Sistem Kerja Selamat untuk semua aktiviti di tempat kerja SOP - Safe Operating Procedures
9.6 Laksana HIRARC (Hazard Indentification, Risk Assessment & Risk Control) di tempat kerja
9.7 Laksana latihan untuk meningkatkan kompetensi pekerja 
9.8 Laksana hukuman atas perlanggaran prosedur
9.9 Ganti mesin bahaya kepada mesin lebih selamat
9.10 Operasikan mesin tanpa kawalan manusia dengan automation.

10. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
11. Beberapa hari lepas kita dikejutkan dengan kematian seorang pelajar sekolah apabila menggunakan jambatan gantung. Pelajar terbabit jatuh sungai disebabkan oleh jambatan yang tidak selamat. Adakah kita akan menyalahkan takdir Allah atas apa yang berlaku?
12. Teringat kisah Khalifah Saindina Umar RA pernah berkata, 
Rakyat kini bukan sahaja lapar, malah turut tidak selamat dan meninggal dunia disebabkan tidak selamat.
Di mana khazanah negara untuk membina jambatan kepada rakyat?
Di mana pakar teknologi negara untuk membina jambatan yang selamat kepada rakyat?
Di mana pakar audit segala jabatan negara dalam memeriksa integriti kemudahan awam negara supaya ianya selamat kepada rakyat?
Di mana hilangnya perasan belas kasihan kita semua kepada kesusahan rakyat?

*ayat emosi seorang yang tidak puas hati terhadap kemalangan yang berlaku. Semoga jambatan dan juga jambatan di setiap pelusuk negara selamat untuk rakyat. Ayuh, kita jalankan tugas!

13. Sebagai seorang jurutera, berikut adalah penyelesaian kepada kes kemalangan ini yang boleh dilakukan :-
13.1 Segera jalankan siasatan terperinci setiap isu teknikal jambatan berkenaan.
13.2 Moving forward, jambatan yang lebih selamat boleh dibina.
13.3 Bina jambatan kekal.
13.4 Jika jambatan gantung masih mahu digunapakai, maka ciri - ciri keselamatan jambatan tersebut perlu ditingkatkan.
13.5 Guna bahan tahan lama seperti stainless steel, FRP atau bahan yang kalis air, karat.
13.6 Lakukan pemeriksaan berkala terhadap integriti jambatan berkenaan.
13.7 Pecat YB kawasan berkenaan segera dan lantik YB baru.
13.8 Pecat Ketua Menteri dan Perdana Menteri sekali.
13.9 Cari pemimpin negara yang beriman.
13.10 Lantik jurutera yang beriman jadi pemimpin negara.

14. Cadangan penyelesaian tidak terhad kepada 10 sahaja, ia boleh jadi 100, 1000 mahupun infiniti. Itulah kehebatan cara seorang jurutera berfikir. 
15. Matlamat utama kita adalah untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang.
16. Jika kejadian yang sama berulang dalam negara selepas ini, maka kita telah gagal dalam melaksanakan tugas kita sebagai jurutera.
17. Jurutera boleh menyelamatkan nyawa manusia. Pegang niat ini. Pegang prinsip ini.
18. Kerjaya kita jauh lebih mulia daripada duit. Nilai dan maruah kita tidaklah semurah duit. Kita adalah matlamat dan tanggungjawab besar.
19. Bangga dengan niat itu.
20. Maka anda akan jadi jurutera berprinsip dan bermaruah.

YA, SAYA MINAT KERJA SEBAGAI JURUTERA :)








Friday, 26 July 2019

Aku Seorang Jurutera Kilang

  1. Suatu hari, anakku bertanya, "kenapa ayah suka kerja kilang?"
  2. Pertanyaan itu seumpama mind blowing in the morning of the day. Aku terdiam mencari jawapan paling sesuai. Sampai ke saat ini aku masih tidak menjawab persoalan itu.
  3. Sebenarnya aku telah berkira - kira untuk menjawabnya dengan panjang lebar melalui tulisan ini.
  4. Aku berusia 40 tahun sekarang. Sejak tamat belajar pada tahun 2003 dan terus bekerja di kilang hingga kini. Seingat aku, cuma sebulan aku tidak bekerja. Perjalanan kerjaya daripada tahun 2003 hingga 2019 seumpama bangun dari tidur. Sekejap sahaja masa berlalu pergi. Namun 1001 cerita, pengalaman pahit manis telah aku tempuhi.
  5. Hampir 17 tahun lamanya aku telah bekerja sebagai jurutera kilang.
    1. Kilang buat spare parts kereta
    2. Kilang buat plate, cladding, flatbar
    3. Kilang kayu, jual aircond
    4. Kilang buat cd, dvd, disk video tape
    5. Kilang sawit 1
    6. Kilang sawit 2
    7. Kilang sawit 3
    8. Kilang sawit 4
    9. Kilang sawit 5
    10. Kilang solvent, penapis
    11. Kilang solvent, penapis
  6. Bermula di Pulau Pinang, Kota Bharu, Seberang Jaya, Lahad Datu, Miri, Sandakan, Lahad Datu, Nilai. Dari Semenanjung ke bumi Borneo dan kembali semula ke bumi Semenanjung.
  7. Soalannya, kenapa saya minat kerja kilang?
  8. Sebenarnya ia bukan soal minat. Tapi lebih kepada rezeki saya buat masa ini Allah telah takdirkan berada di sini. Jika ada peluang yang lebih baik, sudah tentu saya akan memilihnya.
  9. Namun, sejak mula menjejak kaki ke kilang pada hari pertama kerja hingga kini, tiada istilah dalam diri buat kerja cukup sekadarnya. Saya akan cuba melakukan yang terbaik setiap kali dipertanggungjawabkan dengan bidang tugas yang diberikan.
  10. Minat adalah salah satu perkara yang saya mesti bina. Jika pun tiada minat, maka ia mesti diciptakan. Sehingga ke satu tempoh, bila minat saya sudah hilang, maka saya akan beralih arah.
  11. Kerja sebagai jurutera kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Kerjaya ini bukan sahaja 3D (Dirty, Difficult and Dangerous), malah ia juga ada 1001 cabaran lain.
  12. Walau bagaimanapun, kerjaya jurutera amat sesuai dengan jiwa dan raga saya. Mungkin itulah sebabnya Allah telah pilih jalan ini untuk saya.
  13. Jika kita mengalihkan duri di jalanya, kita akan beroleh pahala kerana mengelakkan manusia lain daripada terkena bahaya duri tersebut.
  14. Seorang jurutera di tempat kerja bukan sahaja menghilang duri, malah mampu untuk menyelamatkan nyawa, jiwa dan raga seorang individu hingga berpuluh ribu manusia lain.
  15. Jika sebuah mesin dicipta, ia mampu untuk memudahkan kerja manusia selamanya.
  16. Jika satu prosedur dilaksanakan, ia mampu mengelakkan kemalangan daripada terus berlaku.
  17. Kelajuan, kemudahan, keselesaan dan peningkatan kualiti kehidupan manusia tidak akan terhasil tanpa teknologi. Jurutera lah yang mengurus, mencipta dan meningkatkan teknologi tersebut.
  18. Sebaliknya juga jurutera dengan pengentahuan yang ada mampu menghasilkan keburukan dan kemusnahan jika tiada nilai integriti dan amanah dalam jiwa.
  19. Apabila tamat belajar, saya telah mendaftar sebagai ahli BEM sebagai persediaan untuk prosedur jurutera professional. Salah satu sebabnya adalah kerana jumlah jurutera muslim di negara masih kurang di dalam negara.
  20. Kerjaya sebagai jurutera memerlukan pengorbanan berpanjangan. Tanpa niat dan minat yang kuat, tidak semua mampu untuk menggalas bidang tugas ini.
  21. Namun, jika niat yang betul sudah ada tertanam dalam jiwa dan raga, insya Allah, segala urusan kita akan dipermudahkan oleh Allah.
  22. Untuk menjadi seorang jurutera yang mampu menghadapi cabaran di zaman ini, anda perlu :-
    1. Minat belajar tanpa henti
    2. Minat kepada mesin
    3. Minat kepada penyelesaian masalah
    4. Seorang yang jujur, benar dan amanah
  23. Akhirnya, saya sebenarnya nak jadi petani. Bukan nak jadi jurutera. Saya masih fikir kenapa Allah bagi saya jalan ini. Masih mencari hikmah di sebaliknya. Namun, saya redha dan bersyukur kepada Allah dengan segala rezeki yang Allah kurniakan.
  24. Bab tema blog ini, ia sebuah pengembaraan. Saya akan terus berjalan dari destinasi ke destinasi. Berhenti rehat sejenak sebelum meneruskan kembali kembara.
  25. Semoga kita semua sampai ke destinasi akhir dengan jayanya iaitu di syurga.

Friday, 17 May 2019

Sahabat Dunia Akhirat

1. Saudara Emeyusrezal dan Martunis adalah sahabat saya semasa belajar di USM. Mereka adalah antara sahabat karib saya. Walaupun lebih 16 tahun dipisahkan oleh Laut China Selatan, mereka tidak pernah melupakan saya.
2. Sebaik sahaja sampai di bumi bertuah taman ilmu Bandar Bangi, mereka terus menjemput saya untuk berbuka puasa. Walaupun jarak jauh hampir 30 km.
3. Kerana Emeyusrezal, saya berkenalan dengan Dato Dr Basit Abdul Rahman.
4. Kerana Martunis Muhammad, saya mengenali erti tidak mudah putus asa.

Terima kasih sahabat. Semoga Allah berkati dan rahmati hidupmu dunia akhirat.

Monday, 22 April 2019

Keypad Kembara Insan, menuju ke destinasi

Assalamualaikum wt.

1. Sejak berumur 16 tahun, kembara insan keluar dari kampung. Menuju ke luar negeri buat pertama kali dalam hidup. Tinggal berjauhan dengan keluarga. Meninggalkan rumah, kampung tempat bermain, saudara rakan bergaul. Meninggal ibu ayah abang kakak dan adik. Demi menuntut ilmu.
2. Berulang alik dari sekolah dan akhirnya universiti tika musim cuti. Tiada tempat tinggal yang hakiki. Semuanya persinggahan.
3. Tempat baru silih berganti. Tempat ditinggal silih berganti. Kawan dan kenalan silih berganti.
4. Selepas tamat universiti, si ibu memanggil pulang. Mencari peluang di kampung halaman. Membantu keduanya apa jua yang mampu. Maka bermulalah kerjaya sebagai buruh kasar bina rumah. Pembantu tukang kayu bina gerai si ibu di tepi rumah. Selepas dicari-cari peluang kerja, dapatlah peluang kerja. Dengan gaji RM700/sebulan. Cukup bekal makan dan minum serta minyak motor buat ulang alik ke tempat kerja.
5. Dicuba lagi mencari peluang. Habis 2 rim kertas A4. The Start hari sabtu tidak pernah kulupa. Maka akhirnya aku sampai ke Subang Jaya.
6. Tidak lama selepas itu, panggilan industri sawit tiba. Namun, ia di kepulauan Borneo. Nun jauh di bahagian timur. Aku tidak pernah jejak kaki ke sana. Aku tidak tahu apa pun hal sawit.
7. Bak kata, kerna sebuah pengalaman, maka aku terbang ke bumi Lahad Datu. Sampai ke sebuah kilang sawit. Selepas tiga kali terlelap kepala dihempap cermin kereta. Dek kerana jalannya Jeroco penuh duka. Aku masih ingat bau itu kilang sawit. Menusuk ke hidup. Sebuah kilang terpampang di mata. Setelah beratus km jalan kiri kanan semuanya dihiasi pokok sawit. 16 March 2004, maka bermulalah kehidupan aku sebagai warga industri sawit.
8. Masa silih berganti. Aku tiba di bumi Borneo berbekal sebuah beg. Diiringi doa dan keyakinan. Inilah pilihan yang telah aku buat. Apa jua di hadapan, baik buruk, pahit manis, semuanya kutelan. Tiada lagi peluang mundur ke belakang.
9. Selang setahun, aku berumahtangga. Dikurnia anak pertama. Kehidupan serba kekurangan, namun bahagia buah sebuah keluarga yang kecil.
10. Isteriku adalah anugerah yang paling berharga pernah aku perolehi. Dialah segalanya. Ke mana jua aku pergi, dia sentiasa menjadi teman. Di saat kandungan 8 bulan, aku masih ingat tika keluar dari ladang sawit untuk menghantarnya pulang ke Tuaran. Bas mini yang kami naiki 3 kali pancit. Kali ketiga kami terpaksa menukar bas lain. Kerana tiada lagi tayar ganti.
11. 1001 cerita manis pahit suka duka. Walaupun kekadang yang pahit dan duka itu lebih banyak menjelma. Tapi, itulah dia isteriku, dia tetap tabah bersamaku di mana jua, tiap saat dan ketika.
12. Dari bumi Sabah, kami menuju ke Sarawak. Sebuah negeri yang juga tidak pernah aku jejaki. Empat tahun lamanya di bumi kenyalang.
13. Kusangkakan lama, namun begitulah lumrah kehidupan. Siapa sangka, akhirnya aku kembali ke bumi di bawah bayu. Meneruskan khidmat dengan jawatan yang dipegang.
14. Bagaikan kembara tidak kesudahan. Akhirnya aku memilih Lahad Datu. Setelah pertama kali sampai ke bumi Lahad Datu, maka aku tiba kembali ke Lahad Datu buat kali kedua.
15. 2019. Setelah 16 tahun di bumi Borneo. Jiwa kembara insan tidak lagi seteguh dulu. Setelah 24 tahun keluar kampung. Lebih dari separuh umurnya.

Ia mula keletihan.
Kepenatan.
Kerinduan kampung halaman mula menjelma.
Kedua ibubapanya yang tua itu bagaikan memanggilnya pulang.

Kaki ini sudah penat.
Jiwa ini keletihan.
Hati ini rindukan Tuhan.

Ya Allah. Tunjukki lah aku jalan yang lurus.
Aku tidak tahu lagi untuk memilih jalan mana untuk dituju.

Aku ingin rehat sebentar.
Buat melepaskan penat lelah.
Aku sedar, jalan masih jauh. Nun di sana destinasinya belum kelihatan.

Aku hanya insan yang lemah.
Telah banyak aku lalui.
Telah banyak keluarga ku korbankan untuk perjalanan ini.

......kepada Allah aku berserah segalanya.

Tuesday, 26 February 2019

Badai melanda

Keypad

Lautan bergelora, angin kencang, taufan, tsunami dan jua guruh di langit. Menerjah kapal serta sekalian yang bernyawa. Tika dalam kegelapan dibasihi air hujan dan kapal yang hilang arah pandu. Saat itu,

HANYA ALLAH dihati. Hanya Allah dibibir. Hanya Allah tempat bergantung.

Ya Allah. Ampunilah segala dosa kami. Ampunilah kesalahan kami. Kami lemah Ya Allah. Kami kerdil Ya Allah. Kami tidak mampu lagi berdiri. Kami tidak mampu lagi berpegang pada apa jua. Hanya Engkau sahaja Ya Allah. Tempat kami berserah. Tempat kami bergantung harap. Tempat kami memohon pertolongan. Selamatkanlah kami. Matikanlah kami dalam keadaan beriman.

Saat itu, sekalian harta dibumi tiada guna
Saat itu, segala pangkat dan darjat tiadalah berguna
Saat itu, saudara mara rakan raulan tiadalah di sisi
Saat itu segala sijil tak mampu menjadi harapan
Saat itu

Saat itu HANYA ALLAH sahaja yang hadir dijiwa hati akal diri.

.....BAHAGIALAH INSAN, yang tiap tika saat dan detik, sentiasa berpegang pada TALI ALLAH YANG KUKUH.

Datanglah badai
Datanglah gelora

INSYA ALLAH, hati kan tenang.

Kembara Insan
25 Feb 2019

Monday, 3 December 2018

Keypad : Mengubah Mentaliti

1. Sebelum ini saya telah melakukan kesilapan dalam perihal asas pengurusan dan kepimpinan.
2. Kesilapan itu menyebabkan saya membuang masa selama hampir empat tahun. Walau bagaimanapun, saya telah reda dengan qadar Allah yang telah menetapkan perjalanan hidup ini. 
3. Kesilapan saya adalah,  saya berpendapat, dengan kaedah pengurusan yang baik, kepimpinan yang baik, sistem yang baik, akan mampu mengubah mentaliti manusia.
4. Namun saya silap. Tidak. Ia tidak akan mampu mengubah sedikit pun.
5. Allah telah tunjukkan kesilapan saya.
6. Saya redha dan saya taat. Saya memohon keampunan daripada Allah di atas kesilapan itu.
7. Sebenarnya saya terlupa satu perkara utama yang maha penting. Yang telah ditunjukki oleh teladan sunnah Baginda Rasulullah SAW. Kita selaku manusia tidak berkuasa untuk mengubah manusia. Hanya Allah yang mampu mengubahnya.
8. Ya. Hanya Allah sahaja yang mampu mengubahnya.
9. Kita cuma mampu berusaha. Namun, bila sampai ke tahap mengubah mentaliti, maka ia adalah kerja Allah SWT.
10. Hatta anak kita. Hatta adik kita. Hatta ibubapa kita. Hatta siapa saja yang kita rapat atau kenali, hidayah dan kuasa mengubah itu terletak pada Allah SWT.

Saya mohon keampunan Allah atas kesilapan selama ini.
Ya Allah, ampunilah dosaku.
Semoga saya dapat lalui ujian Mu ini dengan sebaiknya.
Ameen.

Tuesday, 12 June 2018

Back to basic “aku petani”

Back to the basic
Falsafah seorang petani

Beberapa batang sayur manis, RM2/seikat disemai. Ditanam. Apabila tinggi mencecah dua kaki, dipotong, dibuang daun dan ditanam lagi. Setiap hari cuma 2-3 batang dipotong dan ditanam. Begitulah berlalunya hari - hari selama 6 bulan. Disiram setiap hari. Dibaja setiap bulan. Atas sebuah tapak seluas 6 inci simen. Natijahnya, pucuk sayur manis dikutip setiap hari lebih dari seikat dibuat sayur untuk makan malam.

Al kisah pokok limau di dalam tong biru. Hampir layu kecundang mati kerana kurang air. Akhirnya dipindah lokasi di bawah pancuran air hujan yang bocor. Jika dulu daunnya berguguran ibarat air mata yang menunggu ajal. Ia mula menumbuhkan dedaun di batang yang pernah dipotong. Bukan sekadar dedaun baru bercambah, bebunga turut muncul di segenap batang dan daun.

Dalam kesibukan kerja, pancaroba Malaysia Baru, beberapa hari menjelang takbir raya, aku terpaku melihat hasil usaha ku yang tidaklah sebesar mana. Namun hasilnya atas izin Illahi cukup untuk aku kembali ke lumrah sebenar jiwa raga aku. Aku anak petani. Aku minat bertani. Dan selamanya jiwa raga aku adalah petani. Kesabaran. Kegigihan. Istiqamah. Janji Allah itu pasti. Berusahalah. Setiap masa. Setiap hari. Setiap saat. Ibarat kata Nas Daily, setitip air selama dua jam ke muka cukup buat manusia begitu stress. Teori pembalikan berkata, begitulah jua kebaikan. Jika air setitik itu terus menitis, batu pun akan terbelah. Pedang yang tumpul pun akan jadi tajam!

Pepohon itu perlu kasih sayang. Dibelai. Dicium. Dibajai. Disiram setiap hari. Usahanya tidak perlu banyak, cuma ia perlukan kesabaran. Kegigihan. Istiqamah dan berterusan. Selebihnya selepas segala usaha dilakukan, maka berserahlah kepada Allah.

Ya kawan, belajarlah falsafah pepohon kayu!




Friday, 30 March 2018

Hari Mendung Cerah Panas

Ada hari hujan
Ada hari panas
Ada hari mendung
Ada hari ribut
Ada hari cerah

Apa pun, life goes on. Selagi nyawa dikandung badan, selagi hidup masa tersisa, selagi masa masih ada.

Lupakah kita, jika si mati ditanya apa yang mereka mahu lakukan jika dihidupkam kembali? 
Mereka menjawab, hidupkan kami semula supaya kami dapat bersedekah!

Ya kawan,
Apa pun harimu, hujan panas ribut serta taufan sekalipun,

BERSEDEQAHLAH!

Salam Jumaat!

Saturday, 17 March 2018

Keypad 17.3.2018



Target 1 juta page view

Terima kasih!

Blog KEMBARA INSAN adalah hadiah balasan kepada semua atas apa jua jasa baik Tuan Puan kepada saya.

Matlamat utama blog ini adalah untuk kongsi segala apa yang saya rasa bermanfaat kepada semua. 

Selain itu, ia juga bertujuan mempromosi industri sawit yang saya sertai sejak 2004. Mempromosi bidang kejuruteraan terutama jurutera stim. 

Susah senang orang sawit banyak saya kongsikan dalam blog ini. Kepada semua follower saya sejak sekian lama, terima kasih atas sokongan dan juga minat terhadap blog campur aduk saya ini.

Tahun 2018, saya letak target untuk capai view 1,000,000. Kini ia telah capai 820,000 view. Semoga target ini tercapai. Makin banyak view, semoga perkara dan niat baik saya kepada Tuan Puan semua tercapai.

Sekali lagi, terima kasih semua!


Saturday, 10 March 2018

Kembara Insan

Kembara membuatkan kita hilang kata - kata, namun kemudian menjadikan kita seorang pencerita.

(Ibnu Battuta)

Monday, 19 February 2018

Self healing

Saya minat Wolfverine. Sebab ia mampu pulih sendiri.

Karekter leader perlu ada self healing. Self healing daripada segalanya.

Diwaktu kita dihujani 1001 cabaran dugaan dan ujian, seorang ketua tak boleh nak harapkan ambulan jururawat doktor datang membantu.

Ya kawan, jadilah seperti Wolfverine jika anda mahu jadi ketua!