Monday, 22 April 2019

Keypad Kembara Insan, menuju ke destinasi

Assalamualaikum wt.

1. Sejak berumur 16 tahun, kembara insan keluar dari kampung. Menuju ke luar negeri buat pertama kali dalam hidup. Tinggal berjauhan dengan keluarga. Meninggalkan rumah, kampung tempat bermain, saudara rakan bergaul. Meninggal ibu ayah abang kakak dan adik. Demi menuntut ilmu.
2. Berulang alik dari sekolah dan akhirnya universiti tika musim cuti. Tiada tempat tinggal yang hakiki. Semuanya persinggahan.
3. Tempat baru silih berganti. Tempat ditinggal silih berganti. Kawan dan kenalan silih berganti.
4. Selepas tamat universiti, si ibu memanggil pulang. Mencari peluang di kampung halaman. Membantu keduanya apa jua yang mampu. Maka bermulalah kerjaya sebagai buruh kasar bina rumah. Pembantu tukang kayu bina gerai si ibu di tepi rumah. Selepas dicari-cari peluang kerja, dapatlah peluang kerja. Dengan gaji RM700/sebulan. Cukup bekal makan dan minum serta minyak motor buat ulang alik ke tempat kerja.
5. Dicuba lagi mencari peluang. Habis 2 rim kertas A4. The Start hari sabtu tidak pernah kulupa. Maka akhirnya aku sampai ke Subang Jaya.
6. Tidak lama selepas itu, panggilan industri sawit tiba. Namun, ia di kepulauan Borneo. Nun jauh di bahagian timur. Aku tidak pernah jejak kaki ke sana. Aku tidak tahu apa pun hal sawit.
7. Bak kata, kerna sebuah pengalaman, maka aku terbang ke bumi Lahad Datu. Sampai ke sebuah kilang sawit. Selepas tiga kali terlelap kepala dihempap cermin kereta. Dek kerana jalannya Jeroco penuh duka. Aku masih ingat bau itu kilang sawit. Menusuk ke hidup. Sebuah kilang terpampang di mata. Setelah beratus km jalan kiri kanan semuanya dihiasi pokok sawit. 16 March 2004, maka bermulalah kehidupan aku sebagai warga industri sawit.
8. Masa silih berganti. Aku tiba di bumi Borneo berbekal sebuah beg. Diiringi doa dan keyakinan. Inilah pilihan yang telah aku buat. Apa jua di hadapan, baik buruk, pahit manis, semuanya kutelan. Tiada lagi peluang mundur ke belakang.
9. Selang setahun, aku berumahtangga. Dikurnia anak pertama. Kehidupan serba kekurangan, namun bahagia buah sebuah keluarga yang kecil.
10. Isteriku adalah anugerah yang paling berharga pernah aku perolehi. Dialah segalanya. Ke mana jua aku pergi, dia sentiasa menjadi teman. Di saat kandungan 8 bulan, aku masih ingat tika keluar dari ladang sawit untuk menghantarnya pulang ke Tuaran. Bas mini yang kami naiki 3 kali pancit. Kali ketiga kami terpaksa menukar bas lain. Kerana tiada lagi tayar ganti.
11. 1001 cerita manis pahit suka duka. Walaupun kekadang yang pahit dan duka itu lebih banyak menjelma. Tapi, itulah dia isteriku, dia tetap tabah bersamaku di mana jua, tiap saat dan ketika.
12. Dari bumi Sabah, kami menuju ke Sarawak. Sebuah negeri yang juga tidak pernah aku jejaki. Empat tahun lamanya di bumi kenyalang.
13. Kusangkakan lama, namun begitulah lumrah kehidupan. Siapa sangka, akhirnya aku kembali ke bumi di bawah bayu. Meneruskan khidmat dengan jawatan yang dipegang.
14. Bagaikan kembara tidak kesudahan. Akhirnya aku memilih Lahad Datu. Setelah pertama kali sampai ke bumi Lahad Datu, maka aku tiba kembali ke Lahad Datu buat kali kedua.
15. 2019. Setelah 16 tahun di bumi Borneo. Jiwa kembara insan tidak lagi seteguh dulu. Setelah 24 tahun keluar kampung. Lebih dari separuh umurnya.

Ia mula keletihan.
Kepenatan.
Kerinduan kampung halaman mula menjelma.
Kedua ibubapanya yang tua itu bagaikan memanggilnya pulang.

Kaki ini sudah penat.
Jiwa ini keletihan.
Hati ini rindukan Tuhan.

Ya Allah. Tunjukki lah aku jalan yang lurus.
Aku tidak tahu lagi untuk memilih jalan mana untuk dituju.

Aku ingin rehat sebentar.
Buat melepaskan penat lelah.
Aku sedar, jalan masih jauh. Nun di sana destinasinya belum kelihatan.

Aku hanya insan yang lemah.
Telah banyak aku lalui.
Telah banyak keluarga ku korbankan untuk perjalanan ini.

......kepada Allah aku berserah segalanya.

No comments:

Post a Comment