Sunday 28 July 2019

Aku Seorang Jurutera Kilang Part 2


  1. Sambungan dari kisah 1
  2. Aku minat jadi jurutera kerana beberapa sebab. Antara sebabnya adalah hadis di atas.
RUANG DAN PELUANG UNTUK BUAT KEBAIKAN KEPADA MANUSIA
Sebagai seorang jurutera, ruang dan peluang untuk menghasilkan pahala dan saham akhirat amatlah luas.
1. Bayangkan, jika kita singkirkan duri di jalanan daripada menyakiti kaum muslimin lain pun beroleh syurga dari Allah, maka sebagai jurutera yang terlibat dalam mereka bentuk jalan dan membina kenderaan lebih lagi!
2. Ikhlaskan niat kita dari awal kerjaya. Gunakan pengentahuan, keupayaan dan pengalaman kita untuk memberi manfaat kepada manusia secara umumnya.
3. Jurutera terlibat dalam menguruskan risiko terhadap nyawa manusia. Pelbagai cara boleh menyelamatkan manusia.
4. Cipta alat, mesin, sistem dan prosedur yang selamat untuk pekerja, orang awam, makhluk lain serta alam sekitar.
5. Didik pekerja dan orang awam tentang risiko dan bahaya.
6. Selesaikan sebarang permasalahan manusia yang melibatkan isu teknikal di mana jua kita berada.
7. Mencegah itu lebih baik daripada merawat. Maka sudah pasti, jurutera mampu berfikir untuk mencari jalan kepada sebarang permasalahan yang timbul dalam kehidupan harian.
8. Sebagai contoh, jika terdapat satu jalan yang berbahaya dan sering berlaku kemalangan, seorang jurutera boleh melakukan penyelesaian berikut:-
8.1 Teknikal : Ubahsuai jalan supaya kurangkan cerun, lubang bahaya, 
lebarkan jalan, tambah bund, 
cipta kereta anti kemalangan, 
cipta pembahagi jalan yang mampu selamatkan pemandu
cipta aplikasi makluman awal kepada pengguna berhubung lokasi bahaya
cipta alat untuk mengurangkan had laju kereta secara automatik apabila melalui kawasan gps lokasi kemalangan tinggi
8.2 Kesedaran : Tambah lebih banyak papan tanda amaran sebelum kawasan kemalangan
8.3 Undang - Undang : Pasang kamera had laju, buat roadblock lebih kerap di kawasan terbabit. Kenakan hukuman lebih berat kepada pesalah had laju.

9. Jika di tempat kerja sering berlaku kemalangan, tindakan berikut boleh dilakukan untuk menyelamatkan nyawa manusia :-
Contoh kemalangan melibatkan conveyor
9.1 Turunkan rpm conveyor di bawah 10 rpm. Gearbox, saiz conveyor perlu dibesarkan.
9.2 Pasang penutup conveyor dan bahagian mesin yang bergerak.
9.3 Laksana sistem LOTO (Lock Out Tag Out system).
9.4 Laksanakan Work Permit Sistem (Permit to Work - PTW)
9.5 Laksana Sistem Kerja Selamat untuk semua aktiviti di tempat kerja SOP - Safe Operating Procedures
9.6 Laksana HIRARC (Hazard Indentification, Risk Assessment & Risk Control) di tempat kerja
9.7 Laksana latihan untuk meningkatkan kompetensi pekerja 
9.8 Laksana hukuman atas perlanggaran prosedur
9.9 Ganti mesin bahaya kepada mesin lebih selamat
9.10 Operasikan mesin tanpa kawalan manusia dengan automation.

10. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
11. Beberapa hari lepas kita dikejutkan dengan kematian seorang pelajar sekolah apabila menggunakan jambatan gantung. Pelajar terbabit jatuh sungai disebabkan oleh jambatan yang tidak selamat. Adakah kita akan menyalahkan takdir Allah atas apa yang berlaku?
12. Teringat kisah Khalifah Saindina Umar RA pernah berkata, 
Rakyat kini bukan sahaja lapar, malah turut tidak selamat dan meninggal dunia disebabkan tidak selamat.
Di mana khazanah negara untuk membina jambatan kepada rakyat?
Di mana pakar teknologi negara untuk membina jambatan yang selamat kepada rakyat?
Di mana pakar audit segala jabatan negara dalam memeriksa integriti kemudahan awam negara supaya ianya selamat kepada rakyat?
Di mana hilangnya perasan belas kasihan kita semua kepada kesusahan rakyat?

*ayat emosi seorang yang tidak puas hati terhadap kemalangan yang berlaku. Semoga jambatan dan juga jambatan di setiap pelusuk negara selamat untuk rakyat. Ayuh, kita jalankan tugas!

13. Sebagai seorang jurutera, berikut adalah penyelesaian kepada kes kemalangan ini yang boleh dilakukan :-
13.1 Segera jalankan siasatan terperinci setiap isu teknikal jambatan berkenaan.
13.2 Moving forward, jambatan yang lebih selamat boleh dibina.
13.3 Bina jambatan kekal.
13.4 Jika jambatan gantung masih mahu digunapakai, maka ciri - ciri keselamatan jambatan tersebut perlu ditingkatkan.
13.5 Guna bahan tahan lama seperti stainless steel, FRP atau bahan yang kalis air, karat.
13.6 Lakukan pemeriksaan berkala terhadap integriti jambatan berkenaan.
13.7 Pecat YB kawasan berkenaan segera dan lantik YB baru.
13.8 Pecat Ketua Menteri dan Perdana Menteri sekali.
13.9 Cari pemimpin negara yang beriman.
13.10 Lantik jurutera yang beriman jadi pemimpin negara.

14. Cadangan penyelesaian tidak terhad kepada 10 sahaja, ia boleh jadi 100, 1000 mahupun infiniti. Itulah kehebatan cara seorang jurutera berfikir. 
15. Matlamat utama kita adalah untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang.
16. Jika kejadian yang sama berulang dalam negara selepas ini, maka kita telah gagal dalam melaksanakan tugas kita sebagai jurutera.
17. Jurutera boleh menyelamatkan nyawa manusia. Pegang niat ini. Pegang prinsip ini.
18. Kerjaya kita jauh lebih mulia daripada duit. Nilai dan maruah kita tidaklah semurah duit. Kita adalah matlamat dan tanggungjawab besar.
19. Bangga dengan niat itu.
20. Maka anda akan jadi jurutera berprinsip dan bermaruah.

YA, SAYA MINAT KERJA SEBAGAI JURUTERA :)








Friday 26 July 2019

Aku Seorang Jurutera Kilang

  1. Suatu hari, anakku bertanya, "kenapa ayah suka kerja kilang?"
  2. Pertanyaan itu seumpama mind blowing in the morning of the day. Aku terdiam mencari jawapan paling sesuai. Sampai ke saat ini aku masih tidak menjawab persoalan itu.
  3. Sebenarnya aku telah berkira - kira untuk menjawabnya dengan panjang lebar melalui tulisan ini.
  4. Aku berusia 40 tahun sekarang. Sejak tamat belajar pada tahun 2003 dan terus bekerja di kilang hingga kini. Seingat aku, cuma sebulan aku tidak bekerja. Perjalanan kerjaya daripada tahun 2003 hingga 2019 seumpama bangun dari tidur. Sekejap sahaja masa berlalu pergi. Namun 1001 cerita, pengalaman pahit manis telah aku tempuhi.
  5. Hampir 17 tahun lamanya aku telah bekerja sebagai jurutera kilang.
    1. Kilang buat spare parts kereta
    2. Kilang buat plate, cladding, flatbar
    3. Kilang kayu, jual aircond
    4. Kilang buat cd, dvd, disk video tape
    5. Kilang sawit 1
    6. Kilang sawit 2
    7. Kilang sawit 3
    8. Kilang sawit 4
    9. Kilang sawit 5
    10. Kilang solvent, penapis
    11. Kilang solvent, penapis
  6. Bermula di Pulau Pinang, Kota Bharu, Seberang Jaya, Lahad Datu, Miri, Sandakan, Lahad Datu, Nilai. Dari Semenanjung ke bumi Borneo dan kembali semula ke bumi Semenanjung.
  7. Soalannya, kenapa saya minat kerja kilang?
  8. Sebenarnya ia bukan soal minat. Tapi lebih kepada rezeki saya buat masa ini Allah telah takdirkan berada di sini. Jika ada peluang yang lebih baik, sudah tentu saya akan memilihnya.
  9. Namun, sejak mula menjejak kaki ke kilang pada hari pertama kerja hingga kini, tiada istilah dalam diri buat kerja cukup sekadarnya. Saya akan cuba melakukan yang terbaik setiap kali dipertanggungjawabkan dengan bidang tugas yang diberikan.
  10. Minat adalah salah satu perkara yang saya mesti bina. Jika pun tiada minat, maka ia mesti diciptakan. Sehingga ke satu tempoh, bila minat saya sudah hilang, maka saya akan beralih arah.
  11. Kerja sebagai jurutera kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Kerjaya ini bukan sahaja 3D (Dirty, Difficult and Dangerous), malah ia juga ada 1001 cabaran lain.
  12. Walau bagaimanapun, kerjaya jurutera amat sesuai dengan jiwa dan raga saya. Mungkin itulah sebabnya Allah telah pilih jalan ini untuk saya.
  13. Jika kita mengalihkan duri di jalanya, kita akan beroleh pahala kerana mengelakkan manusia lain daripada terkena bahaya duri tersebut.
  14. Seorang jurutera di tempat kerja bukan sahaja menghilang duri, malah mampu untuk menyelamatkan nyawa, jiwa dan raga seorang individu hingga berpuluh ribu manusia lain.
  15. Jika sebuah mesin dicipta, ia mampu untuk memudahkan kerja manusia selamanya.
  16. Jika satu prosedur dilaksanakan, ia mampu mengelakkan kemalangan daripada terus berlaku.
  17. Kelajuan, kemudahan, keselesaan dan peningkatan kualiti kehidupan manusia tidak akan terhasil tanpa teknologi. Jurutera lah yang mengurus, mencipta dan meningkatkan teknologi tersebut.
  18. Sebaliknya juga jurutera dengan pengentahuan yang ada mampu menghasilkan keburukan dan kemusnahan jika tiada nilai integriti dan amanah dalam jiwa.
  19. Apabila tamat belajar, saya telah mendaftar sebagai ahli BEM sebagai persediaan untuk prosedur jurutera professional. Salah satu sebabnya adalah kerana jumlah jurutera muslim di negara masih kurang di dalam negara.
  20. Kerjaya sebagai jurutera memerlukan pengorbanan berpanjangan. Tanpa niat dan minat yang kuat, tidak semua mampu untuk menggalas bidang tugas ini.
  21. Namun, jika niat yang betul sudah ada tertanam dalam jiwa dan raga, insya Allah, segala urusan kita akan dipermudahkan oleh Allah.
  22. Untuk menjadi seorang jurutera yang mampu menghadapi cabaran di zaman ini, anda perlu :-
    1. Minat belajar tanpa henti
    2. Minat kepada mesin
    3. Minat kepada penyelesaian masalah
    4. Seorang yang jujur, benar dan amanah
  23. Akhirnya, saya sebenarnya nak jadi petani. Bukan nak jadi jurutera. Saya masih fikir kenapa Allah bagi saya jalan ini. Masih mencari hikmah di sebaliknya. Namun, saya redha dan bersyukur kepada Allah dengan segala rezeki yang Allah kurniakan.
  24. Bab tema blog ini, ia sebuah pengembaraan. Saya akan terus berjalan dari destinasi ke destinasi. Berhenti rehat sejenak sebelum meneruskan kembali kembara.
  25. Semoga kita semua sampai ke destinasi akhir dengan jayanya iaitu di syurga.