Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ALHAMDULILLAH, bersyukur penulis kerana dapat lagi menyumbangkan artikel tafsir untuk pembaca. Marilah sama-sama kita menekuni dua ayat daripada surah al-Syu'ara' yang bermaksud:
(Iaitu) di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih. (al-Syu'ara': 88-89)
Al-Maraghi berkata pada hari itu segala harta tidak dapat memberikan pertolongan walaupun dia menawarkan emas sepenuh bumi. Begitu juga anak lelaki tidak dapat melindunginya walaupun dia menebuskan semua anak lelakinya.
Dalam hal ini, yang amat berguna pada hari itu ialah segala amalan baik di dunia tanpa berasa cinta terhadap dunia.
Dalam ayat tersebut, anak lelaki disebut secara khusus kerana anak lelaki adalah orang yang paling hampir dan berhak memberi perlindungan dan pertolongan. Oleh itu, pada hari akhirat nanti sekiranya anak lelaki tidak boleh menolong kedua-dua ibu bapanya sudah pasti anak yang lain juga tidak dapat membantunya.
Al-Nasafiy berkata, "Betapa indahnya dialog Nabi Ibrahim AS dengan kaum musyrikin. Pertamanya, baginda bertanya kepada mereka tentang sembahan mereka. Ini merupakan sebuah pertanyaan yang bermaksud untuk memastikan sesuatu, bukannya untuk mengetahui.
Kemudian baginda pula bertanya tentang tuhan sembahan mereka, dengan menegaskan tuhan sembahan mereka itu tidak boleh memberikan kebaikan, keburukan dan mengkabulkan permintaan (permohonan mereka).
Nabi Ibrahim AS mendakwa mereka menganut dengan bertaklid kepada agama tinggalan nenek moyang mereka itu tidak boleh diambil kira dan tidak boleh dijadikan hujah kerana mengingkari-Nya.
Selepas itu dia berjanji kepada dirinya sendiri untuk berzikir mengingati Allah SWT dengan mengagungkan-Nya serta mensyukuri nikmat-Nya bagi mengharapkan rahmat-Nya di akhirat kelak.
Selanjutnya Baginda AS mengajukan pula permohonan dengan penuh kesopanan sebagaimana yang biasa dilakukan oleh orang yang ikhlas. Kemudian diterangkan pula tentang hari kiamat, pahala dan azab Allah SWT di samping penyesalan orang musyrik yang telah tersesat dari jalan kebenaran kemudian berangan-angan kembali semula ke dunia untuk beriman dan taat kepada Allah SWT.
Menurut pendapat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibnu Majah telah meriwayatkan kepada Tauban, iaitu ketika ayat surah at-Taubah diturunkan yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
Sebahagian sahabat berkata,
"Sekiranya kami mengetahui harta yang paling baik, nescaya akan kami kumpulkan."
Kemudian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Yang paling utama ialah lidah yang sentiasa berzikir, hati yang sentiasa bersyukur dan isteri solehah yang sentiasa menolong suami dengan menetapkan keimanannya."
Doa Al-Khansa'
Seorang sahabat mulia yang bernama al-Khansa' al-Nakhaiyah R.Anha bergegas menuju ke peperangan al-Qadisiyah, sementara orang lain sudah berbaris untuk berperang. Kaum muslimin berada dalam satu tempat dan kaum kafir juga berada dalam satu tempat yang lain.
Kedua-dua tentera saling berhadapan. Hizbullah (tentera Allah) berada dalam satu sudut, sementara Hizbu Syaitan (tentera syaitan) berada pada sudut yang lain, bendera kalimah "Lailahaillallah" ditinggikan di sini, sementara bendera kebatilan ditinggalkan di sana.
Maka al-Hamzah menghadap kiblat seraya mengangkat tangan dan berdoa:
"Ya Allah, pada saat ini saya tidak mempunyai sesuatu yang lebih berharga daripada keempat-empat anak yang saya miliki. Ya Allah, saya telah menyerahkan mereka semua kepada-Mu. Ya Allah, berikanlah kepada mereka al-Syahadah (mati syahid) pada hari ini."
Al-Khansa' mendatangi keempat-empat orang anaknya, padahal dia tidak lagi mempunyai orang yang akan memberi nafkah untuknya selain daripada mereka. Dan dia tidak ada orang yang paling dia cintai selain daripada keempat-empat anaknya itu, sementara bapa mereka sudah meninggal dunia.
Al-Khansa' berkata kepada mereka:
Wahai anak-anakku! Berangkatlah kalian, mandilah dan pakailah kain kafan kalian, kalian mesti berani menghadapi kematian! Merekapun bergegas pergi mandi dan memakai kain kafan lalu mereka mendatangi ibu tercinta.
Al-Khansa' berkata kepada mereka:
Demi Allah, saya tidak berkhianat kepada bapa kalian dan saya tidak menipu bapa saudara kalian. Demi Allah, kalian ini adalah anak-anak daripada seorang lelaki (pejuang).
Sesungguhnya saya sudah berniat kerana Allah untuk mengikhlaskan kalian pada hari kiamat kelak dan mempersembahkan kalian pada hari ini. Apabila kalian berangkat, ikhlaskanlah niat hanya untuk kalimah
"Lailahaillallah" semata-mata dan saya tidak akan melihat kalian lagi kecuali pada hari kiamat kelak.
Tatkala peperangan berakhir, orang ramai pun memberikan khabar gembira kepadanya. Mereka berkata: Sesungguhnya keempat-empat anakmu telah mati syahid. Dia pun tersenyum bahagia. Ini adalah kegembiraan seorang hamba yang beriman.
Seorang penyair berkata:
Kegembiraan telah meresapi diriku sehingga besar luapan, Sehingga kegembiraanku membuat aku menangis.
Al-Khansa' berkata: Segala puji bagi Allah yang telah meninggikan darjat saya! Ya Allah, terimalah mereka di sisi-Mu.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Iaitu) di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih. (al-Syuara': 88-89)
Semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah SWT yang mempunyai hati bersih dan ikhlas kepada-Nya. Amin.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130621/ba_04/Bahana-obses-cinta-dunia#ixzz2Yv1DhuDh
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment