Saturday, 13 July 2013

Isteri Solehah (Tafsir surah al-Ahzab ayat 28)

Isteri yang solehah

Isteri yang solehah adalah harta paling berharga bagi seorang suami. - Gambar hiasan

ALHAMDULILLAH, marilah sama-sama kita melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT yang maha Esa kerana dengan-Nya lah kita memperoleh pelbagai nikmat.
Dalam artikel ini berkenaan dengan tafsir, penulis ingin membincangkan berkenaan dengan isteri solehah.
Dalam meraihnya, sudah pasti ketegasan suami memandu keluarga ke arah yang diredai Allah amat penting.

Dalam surah al-Ahzab ayat 28 menjelaskannya, 

"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya yang indah, maka marilah supaya Aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan Aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya."

Al-Maraghi berkata: 
Wahai Rasul! Katakanlah kepada isteri-isterimu, pilihlah salah satu di antara pilihan ini, sama ada kamu memilih kelazatan duniawi kenikmatan dan kesenangan-Nya dan untuk itu kamu tiada tempat lagi di sisiku.

Jika itu pilihan kamu aku berikan kepada kamu apa yang diwajibkan Allah SWT sebagai seorang suami kepada isterinya, iaitu mut'ah (nafkah sementara) ketika mereka bercerai yang berupa pakaian.
Oleh sebab itu, perkara ini amat berbeza mengikut kesesuaian kemampuan ekonomi untuk kesenangan dan penghiburan hati mereka akibat berlakunya perceraian.

Penulis teringat kisah Imam al-Syahid Hasan al-Banna yang disebut dalam kitab Tarbiyatu al-Aulad bagaimana suatu ketika pada bulan Ramadan hampir menjelangnya hari raya, al-Syahid Hasan al-Banna mahu berkelana dalam menyampaikan misi dakwahnya di perkampungan yang jauh, sedangkan anaknya Saiful Islam sedang sakit tenat.

Lantas isterinya dengan rendah diri berkata: 

"Wahai suamiku, jika anda menangguhkan musafir semata-mata kerana anak sakit dan kita boleh menyambut hari raya bersama, alangkah baiknya!"

Maka dalam keadaan tegas, al-Banna dengan penuh prinsip berkata: 

"Hai isteriku, nyawa anak kita di tangan-Nya. Jika Dia mengambilnya, saya reda dan datuknya kenal di mana kuburnya. Jika dia sembuh, maka kita ucapkan alhamdulillah."

Kata Syeikh Abdullah Nasih Ulwan: 
Cukup dengan kisah ini menjadi bukti dan kebanggaan ummah sekalipun tiada lagi kisah lain dalam sejarah Islam untuk menggambarkan betapa tingginya nilai dakwah yang wujud pada sanubari dan damir hati pejuang Islam seperti Hasan al-Banna ini.

Mauqif yang sama dikemukakan oleh ramai tokoh, sama ada suami atau isteri dalam menegakkan syiar agama Allah. Inilah yang sepatutnya dijulang berbanding dengan perkongsian hidup dalam kemewahan harta benda sahaja.

Penulis mengemukakan dua kisah ringkas sebagai suri teladan dalam menggambarkan sikap dan sifat serta prinsip mereka yang berjaya dalam kehidupan.

Penutup

Dalam bicara penutup ini, suka dinyatakan bahawa isteri yang solehah sekalipun yang telah kematian suaminya pasti sifat-sifat yang baik dan akhlak mulia sentiasa dipamerkan. Begitu juga dalam acara ibadah sehingga layak ditulis dengan tinta emas kerana kesungguhan ibadahnya.

Al-Hakim menceritakan dalam al-Mustadrak bahawa Muawiyah Ibnu Abi Sufyan menghantar 80,000 dirham kepada Aisyah R.Anha dan ketika itu Sayidatina Aisyah sedang berpuasa dan berpakaian lusuh.

Maka Sayidatina Aisyah terus membahagi-bahagikan wang itu kepada fakir miskin sehingga habis dan tidak tinggal satu dirham pun padanya. Lalu pembantu rumahnya bersuara kepadanya: 

"Wahai puan, tidak mungkinkah puan menggunakan satu dirham untuk membeli daging buat puan berbuka puasa."

Lalu Aisyah menjawab: 

"Ah, kalaulah engkau mengingatkan aku tadi, tentu akan kulakukan sedemikian."



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment