Back to the basic
Falsafah seorang petani
Beberapa batang sayur manis, RM2/seikat disemai. Ditanam. Apabila tinggi mencecah dua kaki, dipotong, dibuang daun dan ditanam lagi. Setiap hari cuma 2-3 batang dipotong dan ditanam. Begitulah berlalunya hari - hari selama 6 bulan. Disiram setiap hari. Dibaja setiap bulan. Atas sebuah tapak seluas 6 inci simen. Natijahnya, pucuk sayur manis dikutip setiap hari lebih dari seikat dibuat sayur untuk makan malam.
Al kisah pokok limau di dalam tong biru. Hampir layu kecundang mati kerana kurang air. Akhirnya dipindah lokasi di bawah pancuran air hujan yang bocor. Jika dulu daunnya berguguran ibarat air mata yang menunggu ajal. Ia mula menumbuhkan dedaun di batang yang pernah dipotong. Bukan sekadar dedaun baru bercambah, bebunga turut muncul di segenap batang dan daun.
Dalam kesibukan kerja, pancaroba Malaysia Baru, beberapa hari menjelang takbir raya, aku terpaku melihat hasil usaha ku yang tidaklah sebesar mana. Namun hasilnya atas izin Illahi cukup untuk aku kembali ke lumrah sebenar jiwa raga aku. Aku anak petani. Aku minat bertani. Dan selamanya jiwa raga aku adalah petani. Kesabaran. Kegigihan. Istiqamah. Janji Allah itu pasti. Berusahalah. Setiap masa. Setiap hari. Setiap saat. Ibarat kata Nas Daily, setitip air selama dua jam ke muka cukup buat manusia begitu stress. Teori pembalikan berkata, begitulah jua kebaikan. Jika air setitik itu terus menitis, batu pun akan terbelah. Pedang yang tumpul pun akan jadi tajam!
Pepohon itu perlu kasih sayang. Dibelai. Dicium. Dibajai. Disiram setiap hari. Usahanya tidak perlu banyak, cuma ia perlukan kesabaran. Kegigihan. Istiqamah dan berterusan. Selebihnya selepas segala usaha dilakukan, maka berserahlah kepada Allah.
Ya kawan, belajarlah falsafah pepohon kayu!