Tuesday, 26 February 2019

Badai melanda

Keypad

Lautan bergelora, angin kencang, taufan, tsunami dan jua guruh di langit. Menerjah kapal serta sekalian yang bernyawa. Tika dalam kegelapan dibasihi air hujan dan kapal yang hilang arah pandu. Saat itu,

HANYA ALLAH dihati. Hanya Allah dibibir. Hanya Allah tempat bergantung.

Ya Allah. Ampunilah segala dosa kami. Ampunilah kesalahan kami. Kami lemah Ya Allah. Kami kerdil Ya Allah. Kami tidak mampu lagi berdiri. Kami tidak mampu lagi berpegang pada apa jua. Hanya Engkau sahaja Ya Allah. Tempat kami berserah. Tempat kami bergantung harap. Tempat kami memohon pertolongan. Selamatkanlah kami. Matikanlah kami dalam keadaan beriman.

Saat itu, sekalian harta dibumi tiada guna
Saat itu, segala pangkat dan darjat tiadalah berguna
Saat itu, saudara mara rakan raulan tiadalah di sisi
Saat itu segala sijil tak mampu menjadi harapan
Saat itu

Saat itu HANYA ALLAH sahaja yang hadir dijiwa hati akal diri.

.....BAHAGIALAH INSAN, yang tiap tika saat dan detik, sentiasa berpegang pada TALI ALLAH YANG KUKUH.

Datanglah badai
Datanglah gelora

INSYA ALLAH, hati kan tenang.

Kembara Insan
25 Feb 2019

Sunday, 24 February 2019

Telegram ke Syurga

Revolusi Teknologi Maklumat dalam mencari ILMU BERMANFAAT

Telegram
Kelebihan
->jumlah ahli tanpa had
->file yang dikongsi oleh admin sejak awal masih boleh dicapai - download
->pelbagai jenis file audio, video,link,gambar dan juga pdf boleh dicapai/kongsi/download
->percuma
->kita boleh dapatkan apa sahaja data dari seluruh dunia. Yang baik buruk. Cuma tekan butang SEARH Untuk kata kunci channel yang kita cari.

Buat masa ini, disebabkan untuk mengawal jumlah data dalam handphone, saya mengikuti beberapa channel telegram seperti

Kuliah agama
https://t.me/AbuAnasMadani
https://t.me/ceramah_ustadz_abdul_somad
http://t.me/DaurahTafsir2018

Abdul Basit Abdul Rahman Jazman Yob
Dukun Boiler
Mohamed Ashraf Daud
Abu Mu'min
Untuk maklumat teknikal, saya follow channel
http://t.me/DukunBoilerMalaysia

Tujuan saya berkongsi adalah untuk membuka mata kita semua, ilmu di depan mata. Nikmat teknologi sudah ada, adakah ia digunakan ke syurga atau ke neraka.

Dah join channel, download. Guna wifi untuk lebih jimat. Dengar dalam keta sambung melalui Bluetooth radio kereta.

Bawa keta dapat pahala majlis ilmu. Tengah jem ditemani malaikat sambil menadah ilmu. Jiwa akal hati disirami air hujan cahaya ilmu Al Quran Hadis dan kata - kata ulamak murabbi. Insya Allah, ketenangan dan kebahagian mula mengetuk menjelma di dalam diri kita.

Doakan jua, Allah berikan kekuatan kepada kita untuk beramal dan istiqamah dalam jalan kebenaran.

Saya doakan para pendakwah keberkatan rahmat dan pahala buat mereka semua yang menyebarkan ilmu tanpa henti demi mengharapkan redha Allah semata. Doakan mereka dikurniakan kesihatan untuk terus mendidik ummah di zaman penuh fitnah.

Alkalam
Kembara Insan,Lahad Datu,Sabah.
19 Jamadul Akhir 1440H

Thursday, 21 February 2019

Pandangan Manusia itu penting?

Kisah Dua Beranak Dengan Keldai

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Sebagai insan biasa kita sering memikirkan kata-kata dan risau akan pandangan orang disekeliling terhadap diri sehingga boleh mengakibatkan tekanan hebat dengan keadaan dan situasi tersebut.
Kisah Luqman al Hakim, anaknya dan keldai di bawah ini amat mengesankan dan sesuai dijadikan tauladan dan kekuatan diri bagi menerima qadak dan qadar serta akur bahawa kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

Dalam pada itu, kita hanya mampu berserah kepada yang Maha Kuasa dan berharap agar orang-orang di sekeliling tidak memandang serong dan negatif terhadap tindakan dan pebuatan yang dilakukan.

Kisah Luqman Al-Hakim, Si Anak Dan Keldai

Luqman al-Hakim ialah seorang ahli hikmah. Beliau bukanlah seorang yang kaya raya dan banyak harta benda. Diriwayatkan, Luqman al-Hakim hanyalah orang biasa yang mempunyai pelbagai jenis pekerjaan. Malah ada sejarawan yang menyelidik Luqman ialah seorang hamba berkulit hitam. Suatu hari, Luqman al-Hakim ingin pergi ke pasar dan telah dicatit segala peralatan dan barang keperluan yang ingin dibeli oleh Luqman.

Dalam mendidik anaknya untuk berhadapan dengan masyarakat dan pandangan manusia, Luqman al Hakim turut membawa anaknya dan keldai ke pasar tempat orang ramai. Oleh kerana jarak yang jauh antara pasar dan kawasan perkampungan, mereka pergi ke pasar dengan membawa seekor keldai sebagai binatang tunggangan dan bertujuan untuk membawa barang keperluan yang bakal dibeli. Bagi memulakan perjalanan dari rumah mereka, Luqman menaikkan anaknya untuk menunggang keldai memandangkan dirinya masih bertenaga lagi.

Kampung Pertama

Ketika mereka tiba di sebuah perkampungan dengan sianak tengah menunggang keldai tersebut dan Luqman al Hakim menarik keldai dengan berjalan kaki. Orang ramai mula memerhatikan mereka dengan perasaan ganjil dan pelik melihatkan dua beranak itu bersama dengan seekor keldai.

“Mengapa kanak-kanak itu yang menunggang keldai dan membiarkan bapanya berjalan kaki? Kenapa tidak ayahnya yang menunggang? Oh, sungguh biadap dan tercela anak itu, orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang lenang di atas keldai!Ini menunjukkan sikap anak derhaka dan tidak pandai menghormati orang tua. Tidak pernahkah dia sedar ayahnya yang selama ini memberikan makan dan minum kepada dia?”

Semua orang di kampung itu menyatakan perkara sama. Terpinga-pinga Luqman mendengar jawapan daripada mereka. Lantas, Luqman berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, biarlah ayah pula yang menunggang keldai pula pada kali ini.”Kemudian, mereka meneruskan pula perjalanan menuju ke pasar.

Kampung Kedua

Dalam perjalanan, mereka sampai pula ke sebuah lagi perkampungan yang luasnya lebih kurang sama dengan perkampungan sebelum ini. Tanpa memerlukan apa-apa hajat atau keperluan pada masyarakat di kampung tersebut, Luqman yang menunggang keldai, dan anaknya yang menarik tali keldai menuju ke kampung tersebut sebelum boleh tiba ke kawasan pasar.

Ketika itu, semua orang yang melihat kelibat dua beranak ini mula berbisik-bisik. Penduduk kampung itu berasa ganjil dengan tingkah laku Luqman dan anaknya. Mereka mula mencela dan berkata:
“Mengapakah bapa yang menunggang, sedangkan si anak dibiarkan berjalan kakimenarik keldai? Anak itu masih kecil lagi, tentu kepenatan sepanjang perjalanan.Sibapa lebih besar daripada kanak-kanak itu dan sepatutnya sianak yang menunggang keldai tersebut. Bapa yang tidak berhati perut!”

Sekali lagi, Luqman mendengar telahan peduduk kampung yang melihat keadaan mereka berdua dan mereka tetap meneruskan perjalanan.

Kampung Ketiga

Setelah melepasi kampung kedua dan berfikir beberapa ketika, Luqman berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, kali ini kita menunggang keldai ini bersama-sama sehingga tiba di pasar.”

Mereka menukar kedudukan pula dengan kedua-dua anak beranak itu bersama menunggang keldai mereka. Namun, setibanya di sebuah kampung berhampiran dengan pasar berkenaan, tiba-tiba orang ramai mula bersuara, “Lihat!, Seekor keldai membawa dua orang!, Alangkah siksanya keldai itu membawa beban berganda!”

Mereka berkata kepada Luqman dan anaknya. “Tidakkah kamu berdua kasihan kepada keldai itu. Sudahlah berjalan pun tidak larat, inikan pula ingin membawa kamu berdua!”
Dipersalahan juga, apa lagi yang perlu dibuat, Luqman berfikir lagi. Tidaklama kemudian Luqman menyatakan pada anaknya, “Baiklah. Kali ini kita biarkan sahaja keldai ini tanpa penunggang.”

Kampung Keempat

Pada kali ini Luqman al Hakim dan anaknya tidak menaiki keldai tersebut dan mereka berdua hanya membiarkan keldai itu tanpa penunggang dan sebarang beban. Namun apabila mereka melintasi kampung keempat mereka diperkatakan lagi oleh masyarakat di situ pula.

Mereka berkata: “Alangkah anehnya, keldai dibiarkan tidak ditunggangi, tuannya pula berjalan kaki saja, ada kemudahan tidak digunakan, tidak pandai menggunakan nikmat yang sedia ada!”

Serba salah lagi dibuatnya, Luqman berfikir lagi. “Apa lagi yang perlu dilakukan agar perjalanan mereka lancar tanpa pandangan serong orang ramai?”
Setelah lama berfikir, Luqman mula menyatakan pandangannya, “Baiklah. Kali ini biar kita sahaja yang mengangkat keldai ini.”

Pasar

Pada kali ini dua beranak tersebut tidak menunggang, tidak juga membiarkan keldai tersebut berjalan sendirian, tetapi mereka memikul keldai tersebut.

Setibanya ke destinasi terakhir di pasar, kali ini keriuhan pasar bertambah apabila melihat perbuatan Luqman dan anaknya bersama seekor keldai kepunyaan mereka. Hiruk pikuk mereka melihat dari jauh kelibat dua beranak ini yang bermandi peluh mengangkat seekor keldai!

“Ah, gila, tidak masuk akal. Sepatutnya orang yang menunggang keldai. Bukan keldai dipikul mereka!”

Akhirnya, tanpa mahu mendengar sebarang desas desus dan orang mengata tentang tingkah laku mereka, setibanya di pasar berkenaan, keldai itu dijual. Sebelum pulang, Luqman al-Hakim berkata sesuatu kepada anaknya. “Wahai anakku, sekiranya kamu sentiasa melihat dan mengharap kepada pandangan manusia, tiada apa yang bakal berubah pada keadaannya. Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Sikap manusia tidak akan berasa senang dan gembira dengan orang lain.Orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja dan sesiapa memahami kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu.”Yakinlah akan dirimu sendiri dan setelah dilaksanakan sebaiknya, maka bertawakallah kepada Allah SWT.”

Oleh itu, kita tidak hairan dengan kedudukan masyarakat hari ini yang sentiasa ingin bersuara, mungkin mereka perlu maklumat, mahu memperbaiki, mahu membantu, mahu menegur dengan harapan berlaku sebarang perubahan. Selain itu, manusia juga akan sentiasa mengata dan mengata, mengkritik dan terus mengkritik walau apa sahaja yang kau lakukan, sama ada berbentuk kebaikan atau sebaliknya.

Oleh itu, kita kena positif dan berlapang dada kepada sesiapa sahaja kerana itu haknya untuk menegur, tapi biarlah bersopan, berbudi bahasa, ikhlas dan bukan berdasarkan ada kepentingan peribadi.

Islam sangat melarang umatnya berburuk sangka sesama Islam, kerana berburuk sangka akan mengundang malapetaka. Biarlah syakwasangka itu berdasarkan bukti yang kukuh dan bukan sekadar memfitnah. Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka kepada sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristiqfar kepada Allah SWT Dosa orang yang berburuk sangka adalah besar dan perbuatan jahat, setiap perbuatan jahat Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka Allah Ta’ala.
Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka (supaya kamu tidak curiga dengan sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha mengasihani.”
(Al-Hujurat : 12)

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه