- Beberapa hari sebelum raya 2024, aku dihubungi oleh kakak mengatakan anaknya mendapat posting guru di sebuah sekolah di Pekan Semporna, Sabah. Dua jam perjalanan dari Lahad Datu, tempat aku bermukim sejak sekian lama.
- Masuk hari raya keempat, sekeluarga mereka sampai di Lapangan Terbang Tawau, termasuk ibuku yang mengiringi mereka. Aku dan keluarga termasuk isteri membawa dua kereta untuk mengiringi mereka ke Semporna. Cari homestay, melawat lokasi sekolah dan seterusnya menghantar anak buah ke rumah sewanya.
- Semua peristiwa itu membuatkan aku mengenang kembali detik - detik pertama kali aku sampai ke Sabah. Pertama kali aku menjejak kaki ke Lahad Datu. Pertama kali aku menjejak kaki ke Jalan Jeroco. Pertama kali aku menjejak kaki ke Kilang Sawit Morisem B. Tiga jam perjalanan jalan berbatu ke kawasan ladang sawit di bahagian pendalaman hilir Sungai Kinabatangan.
- Aku bertanya kepada isteriku, kenapa dulu semasa aku sampai ke Sabah, aku cuma sendirian sampai. Tiada pun seorang mengiringiku? Ah ayat scastikku keluar lagi. Tidak, sebenarnya, jauh di sudut hatiku, pelbagai mehnah dan tribulasi yang aku hadapi bermula 16hb. March 2004, iaitu 20 tahun dulu cukup memberi pengalaman, pengajaran dan erti sebuah kesusahan kehidupan. Maka dengan itu, aku tidak ingin sesiapa pun mengalami kesusahan dan kesulitan yang aku hadapi. Seboleh mungkin aku cuba bantu mereka supaya tidak susah sebagai mana aku dulu susah berada di perantauan sendirian, di bumi asing.
- Bukan setakat itu, aku malah sudah hampir lebih 10 buah rumah pindah sejak hampir 20 tahun. Bayangkan kesukaran pindah rumah setelah selang beberapa tahun.
- Tarikh keramat 16hb March 2004 amat begitu terkesan buat diriku. Ia amat diingati setiap tahun. Pada tarikh itu aku sampai ke Kota Kinabalu. Kemudian ke Tuaran dan bermalam di rumah rakan. Keesokannya aku naik kapal terbang sekali lagi ke Lahad Datu. Dengan sebuah beg galas berisi pakaian. Keadaan lapangan terbang pada masa itu sangat unik. Bangunan ketibaan masih kayu.
- Aku disambut pemandu kilang yang bernama Lajunaida. Kemudian aku terus dibawa masuk ke Jalan Jeroco. Jalan berbatu ke ladang sawit. Tertidur kepenatan dalam kereta. Sesekali terjaga akibat terhantuk kepala di cermin kereta.
- Sampai ke Kilang Sawit Morisem B, aku masih ingat bau kelapa sawit yang menusuk ke hidung. Berjumpa dengan pengurusnya. Hari - hari berikutnya aku menjalani kehidupan sebagai warga kem. Suka duka. Kesedihan. Kegembiraan. Rakan taulan. Mentor. Hari demi hari aku mencari jawapan. Atas pilihan yang aku lakukan.
- Adakah ini tempat yang akan aku lalui sepanjang hayatku? Adakah ini detik - detik aku membina kerjaya? Adakah pilihan aku ini tepat? 1001 perkara aku fikirkan setiap masa dan saat.
- Ah, kusut aku fikirkan semuanya. Apa kata kalau kita cuba dulu. Cuba dulu setahun. Lepas setahun, kita kaji semula. Jika baik, kita cuba lagi tiga tahun. Selepas tiga tahun, kita kaji semula selepas lima tahun. Insya Allah, jika semuanya berjalan dengan lancar, kita fikirkan dan tentukan semula.
- Pada masa itu, telefon tiada, internet tiada. Kita cuma ada Astro, itu pun rakan serumah punya. Selang tiga bulan seterusnya, rakan serumah pindah ke Kota Pamol. Maka tinggallah aku sendirian di rumah. Tiada tv. Malam selepas balik kerja, untuk mengisi masa, aku menanam bunga dan pokok di tepi rumah.
- Bangun awal pagi dan bersiap ke tempat kerja. Tempat jam 7 pagi, ada pembarisan. Kekadang aku dimarahi rakan sebilik kerana lambat bangun. Aku masa itu tumpang beliau ke tempat kerja. Motorsikal pun belum ada. Kalau tak, aku kena jalan kaki pergi kerja dan balik rumah. Selang beberapa bulan seterusnya, aku pinjam motor Kriss rakanku sampai bertahun lamanya.
- Gajiku pada masa itu sebagai kadet jurutera adalah RM1,800. Tolak EPF dan SOSCO, dapatlah RM1500-1600 bersih. Dengan duit itu, aku belanja makan minum seadanya. Pagi petang makan di kantin. Selepas tiga bulan baru bayar hutang kantin. Itulah sebabnya, TV dan Astro bukan keutamaan. Aku tak dapat beli TV dan Astro disebabkan tidak mampu. Lebih teruk lagi, tak mampu nak beli motorsikal dan kereta.
- Aku sudah mempunyai kekasih semasa di universiti. Maka sebaik sahaja mula bekerja, aku terus fokus untuk secepat mungkin berumahtangga. Strategi pertama yang aku lakukan adalah dengan menyimpan duit. RM1000 sebulan. Maka bakinya RM500 itulah aku guna untuk belanja selama setahun.
- Genap setahun, aku bertunang. Tidak sampai setahun, iaitu pada tahun 2005, kami berkahwin. Bayangkan rumah pada masa itu tiada TV dan Astro. Mesin basuh pun tiada. Jadi selepas berkahwin, aku mula beli TV. Kemudian isteri minta line internet, guna telefon yang perlu dial 30 minit, baru dapat linr berkelajuan 10 kb per minit. Itu pun nasib kalau dapat buka beberapa page. Bunyinya jer banyak dari loading page.
- Beberapa bulan seterusnya isteri mengandung. Bunting pelamin. Lapan bulan selepasnya, isteri dijangka akan bersalin pada bulan Apr 2006. Pada bulan march 2006, aku naik bas (van dipanggil bas mini di Sabah) keluar dari kem melalui jalan Jeroco. Entah apa yang berlaku, tayar pancit untuk kali pertama. Jalan lagi beberapa KM, tayar pancit kali kedua. Beberapa KM dari Simpang Jeroco, kali ketiga van itu yang sarat dengan penumpung sekali lagi pancit! Habis semua tayar spare. Isteri yang pada masa itu sarat mengandung lapan bulan dan tayar van pancit kali ketiga. Pemandu itu seterusnya menghubungi rakan beliau dari Lahad Datu untuk mengambil kami semua. Kami tukar van dan meneruskan perjalanan ke Lahad Datu.
- Sampai di Lahad Datu, kami membeli tiket bas ekspress untuk ke Tuaran, Sabah.
- Sebulan seterusnya, isteri selamat bersalin secara pembedahan di Hospital KPJ, Kota Kinabalu, Sabah. Aku masih ingat usaha kami untuk menempah bilik bersalin di Hospital Kerajaan sebelum tarikh bersalin. Tapi kecewa kerana dimaklumkan pekerja swasta tidak dibenarkan untuk menempah bilik bersalin kelas pertama dan kedua. Terasa diskriminisi terhadap pekerja swasta seperti aku walau pun juga warganegara yang membayar cukai setiap tahun.
- Bulan - bulan seterusnya, aku membawa pulang isteri ke kem (nama kami panggil untuk ladang atau kilang sawit) bersama bayi yang baru dilahirkan. Kehidupan kami dengan segala kekurangan diserikan oleh anak pertama. Menjaga seorang bayi dan pengalaman pertama buat kami suami isteri. Alhamdulillah, isteri banyak belajar daripada kakak - kakaknya dan ibu mertua.
- Pergi dan balik kerja dengan motorsikal yang dipinjam kawan, begitulah aku meneruskan kehidupan. Duit perlu dicatu untuk semua perbelanjaan. Jika hendak membeli barang keperluan, kami akan ke pasar yang dibuka di kawasan ladang atau pun menyebarang ke Kg. Sukau. Tidak pun kami akan ke Pekan Lahad Datu dengan menaiki bas mini, sebulan sekali. Naik van yang dalam perjalanannya pergi penuh dengan penumpang, baliknya juga begitu. Ditambah lagi dengan bau ikan di bawah tempat duduk. Kalau bernasib baik, dapat duduk di bahagian depan, kalau tak di bahagian belakang. Kadang - kadang van tiada aircond, kalau panas, buka tingkap. Tertidur dan lupa tutup tingkap, habis muka disapu habuk. Setiap kali sampai ke rumah, sudah pasti perkara pertama aku lakukan adalah mandi bersihkan diri dari habuk.
- Ya, Allah, 1001 kesusahan dan kesulitan kehidupan di kem. Setiap kali melalui kesusahan itu, aku pasti berdoa kepada Tuhan, ya Allah, mudahkan segala urusanku. Kurniakan rezeki kepadaku untuk keluar dari kesusahan ini. Sama ada di rumah, di tempat kerja, mahu pun di mana jua aku berada.
- Tanpa berlengah dan mengeluh atas apa yang berlaku, aku mula mengorak langkah setapak demi setapak. Daripada menangisi tanpa melakukan apa - apa, baik aku berusaha untuk merancang dan membina cita - cita pada masa hadapan.
- Alhamdulillah, tiga bulan pertama semasa mempunyai rakan serumah, mendiang Richard Ginsing, berasal dari Kota Belud, Sabah menjadi mentor kepada aku siang dan malam. Dia banyak memberi aku nasihat di tempat kerja. Balik kerja kami sambung bercerita di hadapan TV sebelum kedua kami mengatuk dan masuk ke bilik untuk tidur. Sebenarnya dia pun rindukan anak dan isteri bila bekerja berjauhan. Sedikit sebanyak beliau mencurahkan segala harapan, nasihat kehidupan dan kerjaya buat diriku.
- Aku masih ingat, Richard pernah berkata kepada diriku, dalam industri sawit hanya adalah dua pilihan. Pilihan pertama adalah buat betul - betul jika ingin berjaya. Pilihan kedua adalah, jika tidak buat betul - betul, jangan buang masa, esok hantar notis dan cari kerja lain.
- Aku juga masih ingat, seorang rakan kerja pernah berkata, kamu walaupun seorang kadet jurutera, kamu adalah bakal pengurus kilang suatu hari nanti. Apa pun kamu lakukan, lakukan persediaan untuk menjadi seorang pengurus kilang.
- Dengan kata - kata dan nasihat itulah menjadi buah semangat buat diri aku yang keseorangan di pendalaman Sabah. Hujung Sungai Kinabatangan. Tiga jam jalan berbatu Jeroco. Aku pada masa itu cuma pandang ke depan. Langkah demi langkah. Meninggalkan segala detik kesusahan di belakang menjadi kenangan diri sendiri hingga kini.
- Selain belanja untuk anak pertama, duit lebih guna untuk ambil peperiksaan jurutera stim. Belanjanya bukanlah besar, namun itulah segala duit yang ada. Dengan duit itu, buat beli tiket bas untuk ke Kota Kinabalu. Sewa bilik hotel. Makan dan minum. Bukan sekali, tapi dua kali baru lulus peperiksaan. Dulu mana boleh claim semua tu. Tiada peruntukan untuk semua tu.
- Mana pengurus yang aku kenal, pasti aku akan tanya soalan itu dan ini. Belajar macam mana nak lulus periksa jurutera stim. Belajar macam mana nak jadi pengurus. Jika pengurus tengah marahkan pekerja, aku akan pergi duduk sebelahnya dan belajar ayat - ayat yang digunakan untuk marah pekerjanya.
- Sesungguhnya antara banyak pengurus aku, Tuan Tahang Muhammad Tang adalah yang paling lama dan paling banyak mengajar aku. Aku suka caranya dan gayanya. Sangat suka menyelesaikan masalah. Satu - satu masalah diselesaikan dan kilang berjalan dengan lancar. Aku masih ingat, sebaik sahaja melawat kolam effluent dan berjalan kaki balik ke kilang, dia bertanya kepadaku, zul, berapa kali kau perlu follow up untuk setiap kerja yang diarahkan kepada anak buah? aku menjawab, 10 kali? tidak jawabnya. 100 kali? tidak sekali lagi. Dia berkata, kau follow up sampai kerja itu siap. Sejenak aku berdiam diri dan dia meneruskan langkah menuju ke kilang. Kata - kata itu begitu menusuk ke jiwa aku.
- Atas segala usaha, doa ibunda di kampung, sokongan isteri tidak berbelah bagi, tidak pernah mengeluh walaupun sedikit, akhirnya aku diminta untuk pindah ke Kilang Leepang, 30 km masuk ke dalam iaitu beberapa KM dari muara Sungai Kinabatangan. Ini adalah kilang paling jauh di IOI. Aku bukanlah calon pilihan untuk ke sana. Ia lebih kepada sementara. Namun, dua calon jurutera paling senior, tidak mahu dipindahkan.
- Aku dipindakah pada bulan September 2006. Lebih manis, rezeki dari Tuhan, aku lulus Peperiksaan Jurutera Gred dua pada bulan Disember 2006. Masa tu kami tiada internet, maklumat lulus diberitahu oleh kontraktor Wah Chai. Susulan kelulusan tersebut, aku maklum kepada pihak syarikat. Dapatkan saguhati RM700 untuk sijil tersebut. Masuk bulan Januari 2007, disebabkan belum dapat calon pengurus ganti, syarikat tiada pilihan lain selain memberi tawaran kepada aku untuk terus menerajui kilang tersebut. Staff berjumlah 90 orang. Kapasiti kilang 90 mt/hr. Pada tahun itu kami memproses 357,000 mt buah sawit. Lebih menarik, kami mendapat kadar OER kedua paling tinggi antara lapan kilang. Sesekali kilang mendapat OER 23 - 24%. Disebabkan oleh kualiti buah yang dijaga oleh pihak ladang.
- Gaji pada masa itu adalah RM2,200 dan diberi alaun incharge sebanyak RM600. Maka dapatlah jumlah jadi sebanyak RM2,800 untuk menjawat jawatan seorang pengurus kilang. Ah, aku tak kisah semua itu. Yang paling penting dan mahal adalah pihak syarikat dan semua pihak pengurusan telah menaruh kepercayaan tinggi kepada aku. Itu lebih bermakna dan berharga buat diri aku pada masa itu. Dan yang lebih menarik adalah, aku ada sebuah kenderaan untuk kegunaan sendiri selaku pengurus. Pada masa itu aku masih belum ada kenderaan sendiri dan masih pinjam motor rakan.
- Dipendekkan cerita, pada tahun 2007 juga aku mengikuti DIPOM dan lulus dengan cemerlang. Akhir tahun 2007, aku diselubungi ujian sekali lagi. Peristiawa minyak tumpah semasa operasi loading CPO di barge pada waktu malam disebabkan kecuaian security yang menjaga. Aku disalahkan dan dipanggil untuk berhenti. Dari situ, detik - detik baru dalam kehidupan aku bermula.
- Balik kampung. Cari kerja. Temuduga di syarikat baru dalam perjalanan pulang. Pada awal tahun 2008, aku menyertai syarikat baru di Miri, Sarawak. Yang juga tiga jam perjalanan masuk ke Loagan Bunut, bersebelahan Long Lama. Cerita di Miri amat menarik. Aku mengenali rakan baru, staff baru berbangsa Iban. Sarawak juga ada 1001 cerita indah dan pahit.
- Pada tahun 2009, aku lulus Jurutera Stim gred 1. Tahun 2010 aku lulus Jurutera IPD gred 2 dan Tahun 2011, aku lulus Jurutera Stim Gred 1. Pada tahun yang sama, aku menyambung pelajaran peringkat MBA di Open Universiti Malaysia. Selain itu, aku juga menduduki peperiksaan LISP Level 1 & 2, juga lulus dengan baik. Peperiksaan ini dianjurkan oleh ISP untuk silibus Planter.
- Tahun 2012 dipindahkan ke Kilang NAK, Sandakan, Sabah. Pada tahun 2013, dipindahkan ke Kilang Segamaha, Lahad Datu. Pada tahun 2015, aku sekali lagi menukar arah laluan untuk menyertai sektor hiliran iaitu kilang penapis. Pada tahun 2018, iaitu semasa isteri hampir melahirkan anak kelima, aku sekali diuji dengan ujian. Pada masa itu, aku berhenti dan menyertai sebuah kilang sawit di Lahad Datu. Tidak berakhir di situ, kilang tersebut telah ditutup sementara pada bulan March 2019. Ini menyebabkan aku terpaksa sekali lagi berhenti dan mencari tempat kerja baru.
- Sesungguhnya, pada tahun 2018, hidup aku penuh warna - warni. Orang kata, nak pergi haji susah, tapi ramai tidak tahu, sebenarnya selepas pergi haji, ujiannya akan lebih tinggi. Pada tahun tersebut, ia adalah tahun langit dan bumi. Aku menemui Pencipta semasa haji Ogos 2018. Menemani ibuku melakuka ibadat haji. Menunaikan hajatnya sekian lama. Aku sebaik mungkin cuba untuk berkhidmat kepadanya.
- Balik haji, ujian besar bermula. Selepas mendapat ketenangan di Tanah Suci, balik ke kehidupan harian, aku mula mendapat 1001 masalah. Paling kritikal adalah apabila aku disuruh merasuah pegawai kerajaan di atas sebuah kelulusan pengadung tekanan. Enough is enough. Aku berhenti dan mencari peluang kerja di tempat lain. Rezeki kita bukan ditentukan oleh manusia, tetapi ditentukan oleh Allah.
- Antara doa yang selalu aku panjatkan semasa tawaf mengelilingi Kaabah adalah supaya Allah mudahkan aku mencari rezeki yang halal. Berikan aku tempat kerja yang baik. Mudah untuk aku mendapat rezeki halal tanpa perlu aku melakukan dosa besar dan melakukan perkara dilarang oleh Islam.
- Selebihnya, ia adalah sejarah.
- Sabah adalah bumi yang indah. Banyak tempat menarik. Orangnya ramah dan mesra. Jelajahi setiap pelusuknya. Bumi ini menjadi tempat ramai manusia mencari rezeki. Carilah rakan taulan, sahabat handai dan orang - orang yang hebat.
Hari ini 17hb. April 2024. Dua puluh tahun berlalu. Aku tinggal di Lahad Datu. Anak lima orang. Semuanya lahir di Hospital KPJ, Kota Kinabalu oleh seorang doktor yang sama, melainkan anak kelima doktor lain.
Aku rindu semua saudara mara di kampung, namun di sini punca rezeki aku. Aku ingin setiap masa berkhidmat untuk kedua orang tuaku, namun ini ruang dan peluang yang Allah tuliskan untuk aku.
Aku ucapkan selamat maju jaya kepada anak buahku yang baru berpindah di bumi Semporna dan anak sepupu di bumi Tawau minggu lepas. Kerjaya guru adalah kerjaya mulia. Laksanakan dengan penuh ikhlas, semoga Allah mudahkan urusan kalian. Sentiasa pohon doa ibu kalian. Semoga kamu dirahmati, diberkati dan dilindungi Allah selamanya.
Jadi, berapa tahunlah kamu akan duduk di sini?
Lawatan akhir tahun 2023 ke Tanjong Labian, antara kawasan pendalaman bersebelahan Felda Sahabat 16.
Kolam effluent saujana mata memandang adalah antara lokasi terbaik untuk lari dari bingit bunyi kilang. Lokasi healing disirami bau kolam.
Land Irrigation diperkenalkan sekitar tahun 2000 - 2005 di Malaysia dalam usaha untuk mengelakkan pelepasan terus buangan kolam effluent ke saliran air.
Jalan Jeroco masih begini keadaannya.
Lapangan Terbang Lahad Datu cuma boleh menerima pesawat jenis ATR.
Jeti Morisem di Kg. Sukau, Sungai Kinabatangan adalah alternatif kepada Jalan Jeroco untuk ke Sandakan.
Taman Negara Tasik Loagan Bunut adalah bersebelahan dengan Ladang Loagan Bunut. Semasa kemarau, air tasik akan kering sepenuhnya membentuk kawasan lumpur kering yang luas.