Alif,
Hari ini Homeroom Alif mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa di sekolah. Salah satu program yang dirancang ialah supaya ibu bapa menulis surat kepada anak masing-masing, sempena peperiksaan SPM yang bakal Alif dan rakan-rakan hadapi, setelah lima tahun berada di sekolah menengah. Namun disebab ayah di luar negara dan mama pula ada urusan PIBG di sekolah adik - adik, kami tidak dapat hadir program tersebut.
Sebenarnya semalam hari bekerja. Ayah tidak sempat mencari idea untuk menulis surat. Disebabkan dikejar oleh AJK program, ayah cuma sempat meminta ChatGPT menyenaraikan beberapa pesanan untuk Alif, dan ayah terus menghantarnya kepada Alif. Alif terima dengan baik, tetapi Alif membalas dengan jujur — Alif lebih suka jika ayah menulis sendiri, seperti ayah menulis blog dulu-dulu.
Baiklah, ayah berjanji.
Ini pesanku, khas untuk Alif, anak kedua kami yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.
1. Homeroom
Luangkan masa sebaiknya dengan rakan-rakan homeroom. Selepas keluar dari maktab nanti, semua kenangan ini akan menjadi detik terindah yang akan dikenang sepanjang hayat. Bantulah rakan jika mereka memerlukan bantuan. Ayah sendiri masih berhubung dengan rakan-rakan di MRSM walaupun sudah lebih 30 tahun meninggalkan maktab. Persahabatan itu mahal nilainya.
2. Rakan maktab
Alif sebenarnya bertuah kerana mempunyai dua maktab sepanjang sekolah menengah. Ya, ayah tahu ia bukan pengalaman yang mudah apabila Alif di Tingkatan 4 terpaksa menyesuaikan diri dengan rakan-rakan baharu. Namun, di sebalik kesukaran itu, Alif mempunyai kelebihan yang besar — sama ada di Sandakan atau di Pontian, Alif mempunyai ramai rakan. Suatu hari nanti, Alif akan bertemu semula mereka, sama ada di universiti atau dalam kerjaya. Yang paling penting sekarang, hargailah dan luangkan masa dengan rakan-rakan yang ada di depan mata Alif hari ini.
3. Ingatan yang kuat
Alif dikurniakan ingatan yang sangat kuat. Itu satu kelebihan yang ayah sendiri tidak miliki. Jika ayah boleh meminta sesuatu, ayah mahu Alif menggunakan kelebihan ini untuk menghafal banyak surah Al-Quran. Ia akan menjadi bekalan terbaik sepanjang hayat, peneman ketika susah dan penenang ketika gelisah.
4. Skill untuk hidup
Akademik itu penting, tetapi hidup memerlukan lebih daripada sekadar akademik. Kita perlukan kemahiran komunikasi, kemahiran sosial, kawalan emosi, kepimpinan, memasak, memahami AI, keusahawanan dan banyak lagi. Kemahiran ini sentiasa berubah mengikut zaman, tempat dan matlamat hidup. Untuk menjadi khalifah di muka bumi dan insan yang berjaya dunia serta akhirat, kita mesti sentiasa belajar kemahiran baharu yang bermanfaat.
5. Hiduplah dan buat yang terbaik
Dunia ini luas dan penuh dengan perkara untuk diterokai — pengalaman baharu, tempat baharu, kenalan baharu, budaya baharu, bahasa baharu dan makanan baharu. Namun semua itu tidak akan bermakna tanpa kesihatan. Ilmu dan pengalaman tidak akan sampai ke mana-mana jika tubuh tidak sihat. Jaga kesihatan seawal mungkin. Elakkan makan terlalu banyak maggi kerana kesannya buruk dalam jangka masa panjang. Jika kesihatan rosak ketika muda, banyak perkara dalam hidup tidak dapat dilakukan. Jagalah tubuh badan kerana ia amanah daripada Allah sepanjang hayat. Tubuh yang sihat menentukan kualiti hidup — dengan kesihatan, kita mampu membantu orang lain, berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.
6. Pahit dan manis kehidupan
Dalam hidup, semuanya ada hikmah daripada Allah. Ada masa kita faham, ada masa kita tidak faham sehinggalah Allah sendiri menyedarkan kita. Belajarlah menerima qada’ dan qadar, kerana di situlah letaknya ketenangan hati.
7. Adab dan ilmu
Hormatilah guru dan jagalah keberkatan ilmu. Jaga adab dalam setiap keadaan, kerana manusia yang beradab itu tanda tingginya ilmu. Ilmu tanpa adab adalah ilmu yang pincang.
Belajarlah ilmu agama — Al-Quran dan hadis. Ikutilah para ulama. Ambillah ilmu daripada mereka yang arif tentang dunia dan akhirat. Semua ilmu ini diperlukan, sama ada sekarang mahupun pada masa hadapan.
Alif, SPM hanyalah salah satu daripada banyak peperiksaan dalam hidup. Ayah sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Alif — bukan sahaja untuk SPM, tetapi untuk seluruh perjalanan hidup Alif di dunia dan di akhirat.
Ayah sentiasa bangga dengan Alif.
Ayah
Dumai
24 Januari 2026
Cakap saja.#PesanAyah #SuratUntukAnak #AyahDanAnak #KasihSeorangAyah #DoaAyah #SPM2026 #CalonSPM #PerjalananSPM #PendidikanAnak #Homeroom #MRSM #AdabDanIlmu #IlmuDanAkhlak #QadaDanQadar #BekalAkhirat #InsanSeimbang #Khalifah #CatatanAyah #TulisanHati #CoretanAyah #Keluarga #AmanahAllah
No comments:
Post a Comment